KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER 2026 – Persatuan Wanita Bumiputera Dalam Perniagaan dan Profesyen Malaysia (PENIAGAWATI) bakal menganjurkan Pre-Loved Charity Carnival 2026 pada 27 dan 28 November ini di Ruang Legar, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), sebagai usaha menyemarakkan budaya keprihatinan dan membantu golongan yang memerlukan.
Karnival yang dianjurkan dengan kerjasama WTCKL itu merupakan sebahagian daripada inisiatif kebajikan dan tanggungjawab sosial PENIAGAWATI dalam mengumpul dana bagi membantu golongan kurang bernasib baik, khususnya anak-anak asnaf, warga emas dan ibu tunggal.
Majlis pelancaran Pre-Loved Charity Carnival 2026 dijadualkan berlangsung pada 27 November, jam 4.30 petang, dan bakal dirasmikan oleh Presiden PENIAGAWATI Malaysia, YBhg. Dato’ Emmy Suraya Hussein.
Karnival amal berkenaan menghimpunkan ahli PENIAGAWATI, usahawan, rakan strategik serta masyarakat umum menerusi sumbangan barangan terpakai yang masih berada dalam keadaan baik dan aktiviti jualan amal sepanjang dua hari penganjuran.
Menurut Dato’ Emmy Suraya, penganjuran program itu bukan sekadar platform jualan amal, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan PENIAGAWATI dalam memperkasakan peranan wanita sebagai penggerak pembangunan masyarakat dan penyumbang kepada kesejahteraan sosial.
Beliau berharap inisiatif berkenaan dapat menggalakkan lebih ramai pihak tampil menyumbang serta membantu golongan yang memerlukan, selain memperkukuh hubungan kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor korporat dan masyarakat.
Selain mengumpul dana kebajikan, Pre-Loved Charity Carnival 2026 turut membawa mesej penting mengenai amalan guna semula barangan yang masih berkualiti, sekali gus menggalakkan budaya penggunaan yang lebih berhemah dan mampan.
Kemuncak penganjuran karnival itu bakal diteruskan menerusi Majlis Penyampaian Sumbangan Pre-Loved Charity Carnival 2026 yang dirancang berlangsung pada 9 Disember di Bilik Tanjung, WTCKL.
Majlis berkenaan dijadualkan diadakan pada jam 10 pagi atau 3 petang, tertakluk kepada pengesahan masa oleh pihak tetamu kehormat.
PENIAGAWATI turut merancang untuk menyambut keberangkatan YAM Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke majlis tersebut, tertakluk kepada pengesahan pihak Istana.
Hasil kutipan dan sumbangan yang diterima sepanjang karnival akan disalurkan kepada penerima yang telah dikenal pasti, termasuk anak-anak asnaf, warga emas serta ibu tunggal yang memerlukan bantuan dan sokongan.
PENIAGAWATI turut mengalu-alukan sokongan daripada agensi kerajaan, sektor korporat, NGO, pihak media dan masyarakat umum bagi bersama-sama menjayakan inisiatif kebajikan berkenaan.
Penganjuran Pre-Loved Charity Carnival 2026 diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik dan program kemasyarakatan pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh peranan PENIAGAWATI bukan sahaja dalam memperjuangkan pembangunan wanita dalam bidang perniagaan dan profesion, malah turut menyumbang kepada kebajikan serta kesejahteraan masyarakat.

Comments
Post a Comment