Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 Kembali Atas Permintaan, Satukan 10 Legenda Seni Era 80-an & 90-an

Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 Kembali Atas Permintaan, Satukan 10 Legenda Seni Era 80-an & 90-an

KUALA LUMPUR, 26 FEBRUARI 2026 – Kehadiran bulan Ramadan sentiasa dinanti-nantikan umat Islam di seluruh dunia kerana ia merupakan bulan penuh keberkatan yang menuntut umatnya menunaikan ibadah puasa serta memperbanyakkan amal ibadah, doa dan muhasabah diri. Ramadan bukan sahaja mendidik jiwa melalui pengorbanan dan kesabaran, malah menjadi ruang untuk memperbaiki hubungan sesama manusia melalui amalan sedekah dan kebajikan.

Sebagai bulan kesembilan dalam kalendar Islam, Ramadan turut memiliki keistimewaan tersendiri apabila Al-Quran pertama kali diturunkan pada bulan ini, khususnya pada malam penuh kemuliaan iaitu Lailatul Qadar, malam yang ganjarannya lebih baik daripada seribu bulan.

Mengambil keberkatan bulan suci ini, pelbagai program berunsur dakwah dan kebajikan dianjurkan saban tahun bagi menghidupkan suasana Ramadan. Tidak terkecuali syarikat HS Event & Ent Sdn Bhd yang terus komited meneruskan tradisi penganjuran hiburan berteraskan nilai spiritual menerusi Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0.

Konsert yang kembali atas permintaan ramai ini bakal berlangsung pada 14 Mac 2026 di Saloma Kuala Lumpur, menampilkan gabungan artis popular era 80-an dan 90-an yang cukup sinonim dengan perjalanan muzik tanah air.

Barisan artis yang bakal menjayakan konsert ini terdiri daripada Shima, To’Ki, Zur Eda, Norshila Amin, Dayangku Intan, Roy Ratnaku, Mamat Exists, Kopratasa, Zack Kacamata serta The Rayhan.

Menurut penganjur, Datin Sri Dr Riza Dato’ Che Umar bersama rakan kongsi Mubarak Akhtar, penganjuran edisi ketiga ini tercetus hasil sambutan luar biasa peminat terhadap konsep hiburan dakwah yang diketengahkan sebelum ini.

Konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya menggabungkan elemen kerohanian yang bersesuaian dengan suasana Ramadan. Antara pengisian utama termasuk sesi tadarus Al-Quran, tazkirah sebelum berbuka puasa, diikuti solat Maghrib secara berjemaah, sebelum diteruskan dengan solat Isyak dan Tarawih. Persembahan artis hanya akan bermula selepas selesai ibadah tersebut, menjadikan pengalaman konsert ini lebih bermakna dan berbeza.


Mengulas penglibatan barisan artis legenda yang terlibat, Mubarak mengakui pihaknya amat terharu apabila kesemua nama besar industri muzik tanah air bersetuju untuk bersama menjayakan konsert berkonsepkan dakwah ini. Kehadiran mereka diyakini mampu mengimbau nostalgia peminat sambil menyampaikan mesej positif dan spiritual sepanjang Ramadan.

Lebih istimewa, setiap pembelian tiket turut membuka peluang kepada peminat untuk beramal. Sebahagian hasil jualan tiket akan disalurkan bagi membantu sekurang-kurangnya 25 anak seni yang berdepan masalah kesihatan dan kesempitan kewangan menjelang Aidilfitri.

Selain itu, program ini juga akan meraikan anak-anak yatim menerusi pemberian duit raya sebagai usaha berkongsi kegembiraan dan meringankan beban mereka menjelang sambutan Syawal.

Penganjur berharap Konsert Ijmal Cinta Ramadan 3.0 bukan sahaja menjadi medan hiburan yang mendidik jiwa, malah mampu menyatukan masyarakat melalui seni, dakwah dan amal kebajikan dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan.


Comments