Dari kiri: Goh Chin Yee, Lu Yieng Ping, Cheong Woon Chee, Kok Teck Kuan, Winston Chai Fung Chun, Datu William Anak Patrick Nyigor, Chyr Ye Hong, Lee Yo-Hunn, Kenneth Lee Foo Chong, Rachel Ong Ly-Shil dan Lim Jit Suan pada majlis penyenaraian sulung Impact Capital Holdings Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
KUALA LUMPUR, 24 NOVEMBER 2026 – Impact Capital Holdings Berhad (“Impact Capital” atau “Kumpulan”), penyedia penyelesaian integrasi peralatan dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi infrastruktur kritikal, mencatatkan prestasi positif pada hari pertama penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.
Saham Kumpulan yang disenaraikan di bawah nama saham “IMPACT” dengan kod saham “0483” dibuka pada harga RM0.32 sesaham, mewakili premium sebanyak 45.45 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM0.22 sesaham.
Dengan rekod operasi selama kira-kira 21 tahun, Impact Capital telah membina kepakaran dalam integrasi peralatan dan sistem ICT bagi infrastruktur kritikal, merangkumi infrastruktur telekomunikasi, rangkaian perusahaan, pusat data, sistem keselamatan serta penyelesaian digital twin.
Selain itu, Kumpulan turut membekalkan perkakasan dan perisian ICT serta menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan, termasuk penyelenggaraan dan sokongan ICT, pelaksanaan pengurusan perkhidmatan teknologi maklumat serta perkhidmatan rangkaian terurus.
Menerusi IPO tersebut, Impact Capital berjaya mengumpul RM21.27 juta melalui penerbitan 96.69 juta saham baharu pada harga RM0.22 sesaham. Sebanyak 28.62 juta saham sedia ada turut ditawarkan untuk dijual melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Dana yang diperoleh daripada terbitan awam akan digunakan bagi menyokong pelan pertumbuhan dan pengembangan operasi Kumpulan.
Daripada jumlah tersebut, RM4.67 juta diperuntukkan untuk pengembangan pejabat, termasuk pembukaan pejabat baharu yang dirancang di Lembah Klang bagi menempatkan Pusat Inovasi dan Penyelesaian Digital (DISC), selain pengembangan pejabat di Bintulu, Kota Kinabalu dan Johor Bahru.
Sebanyak RM4.53 juta pula akan digunakan untuk pengembangan tenaga kerja dan inisiatif pembangunan perniagaan, manakala RM2.10 juta diperuntukkan bagi meningkatkan keupayaan teknologi.
Kumpulan turut memperuntukkan RM5.17 juta untuk keperluan modal kerja serta RM4.80 juta bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Impact Capital Holdings Berhad, Winston Chai Fung Chun berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting bagi Kumpulan dan membuka lembaran baharu sebagai sebuah syarikat tersenarai awam.
“Sepanjang dua dekad yang lalu, kami telah membangunkan keupayaan kami dalam infrastruktur ICT dan integrasi sistem sambil membina hubungan jangka panjang dengan pelanggan dan rakan kongsi teknologi,” katanya.
Beliau berkata, IPO berkenaan menyediakan sumber tambahan kepada Kumpulan untuk melaksanakan pelan pertumbuhan yang digariskan dalam prospektus secara berdisiplin.
Menurutnya, Impact Capital berhasrat memperluaskan jejak operasinya, memperkukuh keupayaan tenaga kerja dan pembangunan perniagaan serta meningkatkan keupayaan teknologi, termasuk menerusi pembangunan DISC yang dirancang.
Sebagai sebuah syarikat tersenarai, Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada penyampaian penyelesaian yang boleh dipercayai kepada pelanggan, selain membina nilai jangka panjang yang mampan untuk pemegang saham.
DISC yang dirancang itu bakal berfungsi sebagai platform demonstrasi penyelesaian, penglibatan pelanggan dan pengesahan teknikal dalaman.
Dalam masa sama, pengembangan pejabat dan tenaga kerja dijangka memperkukuh keupayaan Kumpulan untuk memenuhi keperluan pelanggan serta meneroka peluang perniagaan di seluruh Malaysia.
Public Investment Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan Tunggal bagi IPO Impact Capital.

Comments
Post a Comment