EXISTS KEMBALI KE AKAR, JOHOR JADI SAKSI KEPULANGAN TUJUH ANGGOTA LEGENDA MENERUSI KONSERT PULANG 2027
Selepas lebih tiga dekad mencipta sejarah dalam industri muzik tanah air, kumpulan pop rock legenda EXISTS bakal membawa peminat menyusuri perjalanan nostalgia menerusi sebuah konsert istimewa di negeri kelahiran mereka pada 9 Januari depan.
JOHOR BAHRU, 17 NOVEMBER 2026 – Ada perjalanan yang sejauh mana pun melangkah, akhirnya tetap membawa seseorang kembali ke tempat segala-galanya bermula. Begitulah gambaran perjalanan kumpulan legenda EXISTS yang bakal kembali ke negeri kelahiran mereka, Johor, menerusi Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru pada 9 Januari 2027.
Bakal berlangsung di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, konsert anjuran Nusantara Live Entertainment dengan kerjasama Infinity Love Creative Ventures itu bukan sekadar sebuah persembahan muzik, sebaliknya membawa makna sentimental tersendiri buat kumpulan yang sudah lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air.
Mengangkat tema ‘Pulang’, konsert berkenaan menjadi simbol kepulangan EXISTS ke akar perjalanan seni mereka, iaitu Johor, tempat kumpulan itu mula membina impian sebelum berjaya mencipta nama menerusi deretan lagu malar segar yang terus mendapat tempat di hati peminat sehingga hari ini.
Kepulangan tersebut pastinya menjadi detik yang cukup bermakna, bukan sahaja buat anggota kumpulan berkenaan, malah ribuan peminat yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS sejak era 1990-an.
Lebih istimewa, konsert ini bakal menghimpunkan ketujuh-tujuh anggota yang mempunyai sejarah tersendiri dalam perjalanan kumpulan berkenaan iaitu Mamat dan Ezad selaku vokalis, Along dan Shah sebagai pemain gitar, Musa sebagai pemain bass, Ujang selaku pemain dram serta Ajai sebagai pemain keyboard.
Penyatuan dua vokalis daripada era berbeza bersama barisan pemuzik yang membentuk identiti EXISTS menjadikan konsert ini sebuah pertemuan istimewa yang pastinya dinantikan peminat.
Bagi mereka yang mengikuti perjalanan kumpulan ini sejak awal, EXISTS bukan sekadar sebuah nama dalam industri muzik. Lagu-lagu mereka pernah menjadi teman ketika zaman persekolahan, mengiringi kisah percintaan, persahabatan serta pelbagai fasa kehidupan yang kini tersimpan sebagai kenangan.
KEMBALI KE TEMPAT SEGALANYA BERMULA
Menurut Ajai, kepulangan ke Johor membawa nilai sentimental yang sukar digambarkan kerana negeri itu merupakan tempat mereka mula mengenali dunia muzik dan membina perjalanan bersama sebagai sebuah kumpulan.
“Johor adalah tempat kami bermula. Di sinilah perjalanan EXISTS dibentuk, di sinilah kami belajar mengenal muzik dan mengejar impian. Apabila diberi peluang untuk kembali dan mengadakan sebuah konsert besar di negeri sendiri, perasaannya memang berbeza.
“Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan, tetapi tentang pulang dan menghargai tempat yang membentuk siapa kami hari ini,” katanya.
Seorang lagi anggota kumpulan, Musa, turut menyifatkan konsert berkenaan sebagai peluang untuk menghubungkan kembali perjalanan muzik EXISTS dengan peminat yang telah bersama mereka sejak awal kemunculan.
“Kami tahu ramai yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mereka mendengar lagu yang sama.
“Kami mahu malam ini menjadi satu pertemuan antara generasi. Kami mahu peminat datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi untuk merasai kembali kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya.
35 TAHUN PERJALANAN SENI, DERETAN KONSERT MENGHIDUPKAN KEMBALI LEGASI EXISTS
Perjalanan EXISTS dalam industri muzik bukanlah sesuatu yang singkat. Ditubuhkan di Johor Bahru pada 1991 dengan nama Exist, kumpulan ini mula mendapat perhatian menerusi lagu Untukmu Ibu yang menjadi antara karya penting dalam sejarah muzik pop rock tempatan.
Sejak itu, EXISTS terus berkembang dan melalui pelbagai fasa perubahan, termasuk pertukaran vokalis, perkembangan muzik serta cabaran industri yang silih berganti. Namun, kekuatan karya mereka membolehkan nama EXISTS terus bertahan dan kekal dekat dengan peminat merentas generasi.
Selepas melalui beberapa fasa perjalanan dan persembahan pentas, penyatuan semula anggota kumpulan ini menerusi Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019 menjadi antara detik penting yang mengembalikan nostalgia peminat.
Konsert yang turut menampilkan dua vokalis, Mamat dan Ezad, bersama Along, Shah, Musa, Ajai serta Ujang itu membuka ruang kepada peminat untuk menyaksikan kembali gabungan anggota daripada era berbeza dalam satu persembahan.
Sambutan terhadap konsert tersebut turut membawa EXISTS ke Singapura apabila mereka meneruskan persembahan reunion di MES Theatre, MediaCorp pada 5 Oktober 2019.
Malah, rakaman persembahan di Stadium Malawati itu kemudiannya diterbitkan sebagai album konsert langsung pertama EXISTS pada 2021, sekali gus mengabadikan momen penyatuan semula berkenaan sebagai sebahagian daripada sejarah kumpulan tersebut.
Perjalanan konsert EXISTS kemudian diteruskan menerusi Konsert Resolusi Exists di Zepp Kuala Lumpur pada 18 November 2022, sebelum kumpulan itu kembali mengadakan persembahan reunion di Singapura pada Januari 2023.
Tidak terhenti di situ, EXISTS turut memperlihatkan sisi muzik yang lebih luas menerusi persembahan di Dewan Filharmonik PETRONAS pada Jun 2023 dan kolaborasi bersama orkestra menerusi Konsert EXISTS X Orkestra di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Disember tahun yang sama.
Pada 2024, peminat sekali lagi berpeluang menyaksikan persembahan mereka menerusi Exists Reunion Unplugged di The Star Theatre, Singapura pada 24 Februari. Kumpulan itu turut muncul dalam beberapa acara muzik berskala besar, termasuk Hausboom Music Festival dan Battle of Time Exists X Masdo.
Kolaborasi bersama kumpulan Slam menerusi Konsert Slam X Exists: Our Journey di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada Julai 2025 turut menjadi satu lagi pertemuan istimewa buat peminat muzik rock tempatan.
Comments
Post a Comment