EMPG GROUP SASAR KUTIP RM34.05 JUTA MENERUSI IPO, RANCANG BUKA 115 PREMIS RUNCIT BAHARU




KUALA LUMPUR, 23 NOVEMBER 2026 – EMPG Group Berhad (EMPG), kumpulan pakaian tempatan yang terlibat dalam perniagaan peruncitan dan pemborongan pakaian, secara rasmi melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 21 Disember 2026.

Menerusi IPO berkenaan, EMPG menyasarkan kutipan kira-kira RM34.05 juta melalui penerbitan 121.60 juta saham baharu pada harga RM0.28 sesaham.

Dana yang diperoleh bakal digunakan terutamanya untuk memperluaskan rangkaian perniagaan runcit Kumpulan menerusi pembukaan 100 Kaunter Konsainan baharu dan 15 butik dalam tempoh 24 bulan selepas penyenaraian.

Daripada jumlah kutipan tersebut, sebanyak RM25 juta diperuntukkan bagi pengembangan rangkaian runcit, RM4.35 juta untuk modal kerja tambahan, manakala baki RM4.70 juta digunakan bagi menampung anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Pengembangan itu akan menyaksikan 30 Kaunter Konsainan baharu dibuka di bawah jenama Hummer, 45 kaunter bagi Pierre Cardin dan 25 kaunter lagi untuk jenama sedia ada termasuk Exhaust, Brittania, Idexer, Millward serta John Rider.

Kesemua 15 butik baharu pula akan dibangunkan di bawah jenama Pierre Cardin, sekali gus memperkukuhkan kehadiran jenama berkenaan dalam pasaran pakaian tempatan.

Pengarah Urusan EMPG Group Berhad, Loh Tau Sing berkata, pelancaran prospektus itu merupakan pencapaian penting dalam perjalanan Kumpulan untuk memasuki pasaran modal selepas membina platform perniagaan pakaian yang disokong rangkaian runcit seluruh negara dan portfolio jenama pelbagai segmen.

Menurutnya, hasil IPO akan menyediakan sumber tambahan untuk memperluaskan kehadiran pasaran menerusi pertambahan Kaunter Konsainan dan butik Pierre Cardin, selain memperkukuhkan modal kerja bagi menyokong pertumbuhan jenama milik Kumpulan.

Setakat tarikh praktikal terkini (LPD), EMPG mengendalikan sebanyak 578 Pusat Runcit di seluruh negara, terdiri daripada 563 Kaunter Konsainan dan 15 Kedai Runcit.

Kumpulan itu memiliki portfolio jenama sendiri termasuk Exhaust, Idexer, Silverland, Brittania, Ventine, Millward, Aplus, John Rider, Oxen, Elmer dan MU-7, selain memasarkan produk di bawah jenama Hummer dan Pierre Cardin menerusi perjanjian pelesenan.

Operasi perniagaannya turut merangkumi jualan melalui platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan TikTok, selain saluran borong menerusi jualan langsung serta perkhidmatan penyumberan pakaian dan fabrik.

Sementara itu, Ketua Pasaran Modal/Kewangan Korporat Berjaya Securities Sdn Bhd, Anuar Bin Omar berkata, EMPG memasuki pasaran modal dengan asas perniagaan yang disokong rangkaian runcit seluruh negara, portfolio jenama pelbagai serta model pengedaran yang merangkumi beberapa saluran jualan.

Beliau berkata, peruntukan sebahagian besar hasil IPO untuk pembukaan Kaunter Konsainan dan butik baharu akan menyediakan platform lebih kukuh kepada Kumpulan bagi melaksanakan strategi pengembangannya dalam industri pakaian Malaysia.

Menurut Laporan Penyelidikan Pasaran Bebas, industri pakaian Malaysia mencatatkan peningkatan nilai jualan runcit daripada RM20.5 bilion pada 2020 kepada RM28.3 bilion pada 2025, bersamaan pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak 6.7 peratus.

Segmen pakaian pasaran massa menyumbang sebanyak 95.8 peratus daripada keseluruhan pasaran pakaian negara pada 2025.

Pasaran berkenaan dijangka terus berkembang dengan nilai jualan runcit pakaian lelaki, wanita, kanak-kanak dan aksesori diunjurkan meningkat kepada RM32 bilion menjelang 2029, berbanding RM28.3 bilion pada 2025, bersamaan CAGR sebanyak 3.1 peratus.

Pertumbuhan itu disokong beberapa faktor termasuk peningkatan jumlah penduduk, perkembangan sektor pelancongan dan peruncitan, permintaan terhadap pakaian berfungsi, pertumbuhan e-dagang serta peningkatan pelaburan asing dan domestik.

Permohonan IPO EMPG dibuka mulai 23 November 2026, jam 10 pagi dan akan ditutup pada 2 Disember 2026, jam 5 petang.

Syarikat dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 21 Disember 2026 dengan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 606 juta saham dan anggaran permodalan pasaran RM169.68 juta berdasarkan harga IPO RM0.28 sesaham.

Berjaya Securities Sdn Bhd bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan bagi IPO berkenaan, manakala WYNCORP Advisory Sdn Bhd dilantik sebagai Penasihat Kewangan Korporat.


Comments