KONSERT 2027: DUA LEGENDA KEMBALI TERJALIN 1 MEI 2027, SLAM X EXISTS: THE GREATEST HITS HIMPUNKAN LAGU-LAGU PALING UNGGUL
Waktu mungkin membawa pergi zaman, usia mungkin mengubah segalanya, namun ada lagu yang tetap utuh bersemadi di sudut paling dalam ingatan. Setiap baitnya menyimpan cerita, setiap melodinya menghidupkan kenangan, sementara liriknya terus berbisik tentang cinta, rindu dan perjalanan kehidupan yang pernah kita lalui. Begitulah keabadian karya Slam dan Exists, dua nama yang bukan sekadar mencipta lagu, tetapi pernah menjadi suara kepada sebuah generasi. Setelah sekian lama menganyam memori dalam perjalanan muzik tanah air, dua legenda ini bakal kembali bertaut dalam satu pentas menerusi konsert Slam X Exists: The Greatest Hits pada 1 Mei 2027 di Unifi Arena, Bukit Jalil, menghidupkan kembali lagu-lagu yang tidak pernah benar-benar meninggalkan jiwa pendengarnya.
Selepas kejayaan persembahan terdahulu, Our Journey pada 2025 yang membawa peminat menelusuri perjalanan muzik kedua-dua kumpulan, konsert kali ini menjanjikan pengalaman berbeza dengan tumpuan khusus kepada karya-karya paling ikonik, lagu yang pernah menjadi siulan ramai dan masih kekal berbekas dalam ingatan sehingga hari ini.
Peminat boleh menjangkakan sebuah malam yang sarat dengan nostalgia, emosi dan euforia apabila rangkaian lagu popular Slam serta Exists dipersembahkan secara langsung dalam sebuah konsert berskala besar.
Itulah tanggungjawab yang bakal digalas ICON Entertainment bersama SS Karya Entertainment selaku penganjur bersama, dengan misi menghadirkan sebuah persembahan yang bukan sekadar mengimbau kenangan, tetapi turut meraikan kekuatan karya muzik yang terus hidup merentasi generasi.
Pengasas SS Karya Entertainment, Shah, yang juga pemain gitar Slam, berkata idea untuk menggabungkan kedua-dua kumpulan sekali lagi tercetus selepas kejayaan persembahan terdahulu serta perbincangan bersama pihak ICON Entertainment.
“Memang Slam dan Exists sudah pernah berkongsi pentas di Kuala Lumpur pada 2025, kemudian satu kali di Singapura.
“Namun, selepas ICON Entertainment datang berbincang dan kami bertukar idea serta pandangan mengenai mengapa dan adakah masih relevan Exists serta Slam berada di atas satu pentas lagi, maka lahirlah Slam X Exists: The Greatest Hits.
“Apa yang akan peminat dapat pada kali ini adalah untaian lagu-lagu hit, terunggul dan terbaik yang ada dalam katalog Slam mahupun Exists. Bukan lagu-lagu side B,” katanya.
Shah turut berikrar peminat akan pulang dengan rasa berbaloi, bukan hanya kerana dihiburkan dengan lagu-lagu terunggul, tetapi juga pengalaman euforia yang sukar dilupakan.
“Dengan lokasi yang lebih besar iaitu Unifi Arena Kuala Lumpur, pelaburan peminat akan lebih berbaloi dengan sistem bunyi dan visual juga,” katanya ketika ditemui pada sidang media di GeTai @ A Quiet Place, Bukit Bintang, yang merupakan lokasi rasmi sidang media.
Menurut pengasas ICON Entertainment, Iman Tang, kerjasama bersama SS Karya Entertainment merupakan langkah permulaan untuk kedua-dua penganjur mencapai matlamat sama, iaitu mempersembahkan konsert berskala besar sambil memartabatkan pemuzik tempatan.
“Slam dan Exists mempunyai pengaruh cukup besar dalam landskap muzik tempatan dan Nusantara. Siapa yang tidak tahu sekurang-kurangnya satu lagu Slam dan satu lagu Exists?
“Walaupun sudah ada banyak konsert sebelum ini, saya percaya Slam X Exists: The Greatest Hits akan tetap dihadiri peminat mereka bukan kerana hanya nostalgia, tetapi karya mereka sudah melekat dalam hidup mereka dan mahu didengar serta dilihat dalam persembahan langsung lagi dan lagi,” ujar Iman Tang.
SLAM: DARI GRAND SLAM UNPLUGGED KE KURNIA DAN KEMBALI TERJALIN
Perjalanan Slam di pentas konsert mempunyai sejarah tersendiri yang cukup dekat dengan peminat muzik era 1990-an.
Antara persembahan paling ikonik kumpulan itu ialah The Grand Slam Unplugged yang berlangsung di Stadium Negara pada 3 Ogos 1996. Konsert berkenaan menjadi antara persembahan penting dalam perjalanan seni Slam, malah kekal dikenang peminat sehingga hari ini.
Selepas konsert tersebut, Slam tidak mengadakan persembahan berskala besar di Kuala Lumpur untuk tempoh hampir dua dekad. Bagaimanapun, kumpulan itu tetap meneruskan hubungan dengan peminat menerusi persembahan lain, termasuk Konsert Slam Kembali Merindu di Singapura pada 2012.
Pada 14 Mei 2016, Slam kembali mengadakan konsert berskala besar di Kuala Lumpur menerusi Kurnia Slam yang berlangsung di StarXpo Centre, Kenanga Wholesale City.
Konsert berkenaan dianggap sebagai hadiah buat peminat yang sekian lama menantikan kemunculan Slam dalam sebuah persembahan besar di ibu negara. Lebih 20 lagu popular kumpulan itu dipersembahkan dengan susunan muzik yang diberi nafas baharu.
Tidak lama selepas itu, Slam meneruskan momentum menerusi Konsert Dua Dekad Slam Kembali Terjalin di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor, pada 3 September 2016.
Persembahan tersebut membawa Slam lebih dekat dengan peminat di selatan tanah air, dengan kira-kira 24 lagu disampaikan termasuk karya yang tidak dipersembahkan dalam konsert Kuala Lumpur sebelum itu.
Selepas beberapa tahun terus aktif dalam persembahan dan festival muzik, Slam kembali mengangkat legasi konsert unplugged mereka menerusi The Grand Slam Unplugged 2 pada 20 Jun 2026 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert itu mengimbau kembali persembahan unplugged pertama mereka pada 1996, termasuk detik gangguan bekalan elektrik yang pernah mencetuskan kenangan tersendiri dalam sejarah persembahan kumpulan tersebut.
Rangkaian konsert berkenaan membuktikan Slam bukan sekadar kumpulan yang bergantung pada nostalgia, sebaliknya terus mempunyai tempat dalam hati peminat yang membesar bersama lagu-lagu mereka.
EXISTS: REUNION, RESOLUSI DAN KEMBALI MERAIKAN LEGASI
Exists juga mempunyai perjalanan konsert yang panjang dan penuh warna, seiring dengan perubahan anggota serta perkembangan muzik mereka sejak awal 1990-an.
Antara persembahan penting kumpulan itu ialah Exists Reunion Concert pada 28 September 2019 di Stadium Malawati, Shah Alam, yang menghimpunkan anggota daripada era berbeza termasuk dua vokalis, Mamat dan Ezad Lazim.
Konsert reunion tersebut menjadi detik istimewa buat peminat yang mahu menyaksikan kembali gabungan anggota yang pernah membentuk sejarah Exists, termasuk Along, Shah, Musa, Ajai dan Ujang.
Pada 18 November 2022, Exists meneruskan perjalanan konsert menerusi Resolusi Exists di Zepp Kuala Lumpur. Persembahan selama kira-kira dua jam itu menampilkan vokalis asal Mamat bersama penyanyi jemputan, dengan lagu-lagu popular daripada album awal sehingga karya terakhir kumpulan tersebut.
Exists kemudian tampil dalam persembahan berkonsepkan orkestra menerusi Exists X Orkestra pada Disember 2023 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, sekali gus memperlihatkan karya-karya mereka dalam pendekatan muzik yang lebih luas.
Selain itu, Exists turut berkongsi pentas dengan Kugiran Masdo menerusi Battle of the Time: Exists X Masdo pada November 2024, mempertemukan dua generasi muzik tempatan dalam sebuah persembahan yang menggabungkan nostalgia dan pengaruh muzik semasa.
Pada 1 Ogos 2026, Exists kembali ke Unifi Arena, Bukit Jalil menerusi konsert Exists Memento Mori sempena meraikan perjalanan seni kumpulan itu. Persembahan berkenaan turut menjadi detik reunion istimewa dengan penyatuan anggota daripada beberapa era, termasuk Mamat dan Ezad.
Sejarah konsert Exists memperlihatkan bagaimana kumpulan itu terus memperbaharui pendekatan persembahan, namun tetap mengekalkan kekuatan lagu-lagu yang menjadi identiti mereka.
OUR JOURNEY MENJADI TITIK PERTEMUAN DUA LEGENDA
Slam dan Exists akhirnya berkongsi pentas buat pertama kali menerusi Slam X Exists: Our Journey yang berlangsung pada 26 Julai 2025 di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan mencatat sejarah apabila lebih 5,000 peminat hadir menyaksikan gabungan dua kumpulan legenda itu, dengan tiket dilaporkan habis terjual dua minggu sebelum acara berlangsung.
Persembahan hampir tiga jam tersebut membuka tirai dengan duet Zamani dan Ezad menerusi lagu Jesnita serta Kembali Merindu, sekali gus mencetuskan sorakan gemuruh daripada penonton.
Konsert itu bukan sekadar mempertemukan dua kumpulan di atas pentas, tetapi turut menyatukan peminat yang membesar dengan lagu-lagu mereka sejak era 1990-an dan awal 2000-an.
Selepas kejayaan di Kuala Lumpur, Slam dan Exists kembali bertemu peminat Singapura menerusi persembahan di The Star Theatre pada 29 November 2025.
Gabungan tersebut membuktikan bahawa daya tarikan kedua-dua kumpulan masih utuh, malah mampu menarik peminat dari luar negara yang mahu menyaksikan lagu-lagu kegemaran mereka dipersembahkan secara langsung.
Kini, Slam X Exists: The Greatest Hits bakal menjadi kesinambungan kepada perjalanan bersama itu, dengan konsep yang lebih tertumpu kepada lagu-lagu paling popular dan karya yang menjadi penanda aras muzik kedua-dua kumpulan.
HIMPUNAN LAGU HIT, DARI GERIMIS MENGUNDANG HINGGA SEPERTI DULU
Vokalis Exists menyifatkan Slam X Exists: The Greatest Hits yang bakal berlangsung pada 1 Mei 2027 di Unifi Arena Kuala Lumpur sebagai medan untuk menarik peminat daripada pelbagai generasi agar terus dekat dengan karya mereka.
“Selain mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peminat, Slam X Exists: The Greatest Hits juga mahu menarik minat generasi baharu yang mula mengenali kami menerusi platform dan aplikasi muzik digital.
“Peminat juga dapat menikmati karya-karya terunggul Slam dan Exists pada satu malam,” katanya.
Kekuatan kedua-dua kumpulan bukan hanya terletak pada populariti ketika zaman kegemilangan mereka, tetapi juga pada karya yang terus dimainkan, dinyanyikan dan dikenang sehingga hari ini.
Sudah tentu lagu seperti Gerimis Mengundang, Nur Kasih dan Kembali Terjalin daripada Slam, manakala Exists pula mempunyai rangkaian karya popular termasuk Alasanmu, Langkah Seiringan, Julia dan Seperti Dulu, dijangka menjadi antara lagu yang dinantikan peminat.
Lagu-lagu berkenaan bakal dipersembahkan secara langsung dengan susunan muzik segar yang akan menghidupkan suasana Unifi Arena pada malam konsert.
Justeru, konsert ini bukan sekadar mengulang kejayaan persembahan terdahulu, tetapi menjadi satu lagi peluang untuk mengangkat legasi dua kumpulan yang telah memberikan sumbangan besar kepada perkembangan muzik rock dan pop rock Malaysia.
Bagi peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada sejarah yang bakal dilakar, tiket Slam X Exists: The Greatest Hits akan mula dijual pada 1 Disember 2026, Selasa, jam 3 petang menerusi www.ticket2u.com.my/slamexists.
Kategori tiket ditawarkan bermula RM228 bagi GERIMIS MENGUNDANG, RM288 bagi NUR KASIH, RM388 bagi KEMBALI TERJALIN, RM368 bagi MENCARI ALASAN, RM428 bagi LANGKAH SEIRINGAN, RM488 bagi SEPERTI DULU serta RM5,000 bagi ICON SOFA.
Ingat, tiada alasan dan tidak perlu lagi ‘mengintai dari tirai kamar’ kerana peminat pasti ‘rindu serindu-rindunya’ jika terlepas menyaksikan kegemilangan Slam dan Exists yang kembali terjalin di satu pentas.
MAKLUMAT PALING HIT




Comments
Post a Comment