ANITA RIDE NUSANTARA - SERUMPUN MALAYSIA & INDONESIA BAWA MISI KEMANUSIAAN MERENTAS DUA NEGARA, SANTUNI KOMUNITI DAN ERATKAN SILATURAHIM BIKERS ASEAN
KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER 2026 – Mengangkat semangat persaudaraan tanpa sempadan, Anita Entertainment & Productions bakal menganjurkan program ANITA Ride Nusantara – Serumpun Malaysia & Indonesia, sebuah kembara kemanusiaan yang menghimpunkan komuniti bikers dari Malaysia dan Indonesia menerusi perjalanan selama tujuh hari enam malam bermula 22 hingga 28 November 2026.
Program yang dianjurkan dengan kerjasama Anita Bikers itu bukan sekadar sebuah aktiviti konvoi motosikal atau kembara santai, sebaliknya membawa misi lebih besar dalam menyemarakkan semangat keprihatinan, persaudaraan dan hubungan dua negara serumpun menerusi aktiviti kemasyarakatan serta kunjungan ke beberapa lokasi menarik di Indonesia, khususnya Bali dan Lombok.
Penganjuran tersebut diperkenalkan menerusi Majlis Sidang Media & Bacaan Doa Misi Ride Serumpun 2 Negara, Kembara Kemanusiaan Malaysia & Indonesia yang berlangsung di LKitchen XGadysMatcaa pada Khamis.
Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Datuk Dr. Nor Hasnal bin Hashmi, Presiden Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM), yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha menghimpunkan komuniti bikers Malaysia dan Indonesia dalam sebuah program yang menggabungkan elemen pelancongan, kebajikan dan hubungan persahabatan serantau.
Penganjuran ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada beberapa rakan strategik termasuk Coop Bank Pertama, NH Mall Worldwide Empire, Dia Laris Event serta Sambal Tokey.
Menariknya, misi kali ini menjadi satu lagi pencapaian penting buat Anita Entertainment & Productions yang telah menggerakkan pelbagai siri jelajah kemanusiaan sejak 2016. Sepanjang perjalanan tersebut, pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan di seluruh Malaysia, termasuk sehingga ke Borneo, selain meluaskan jaringan kembara ke negara ASEAN seperti Brunei dan Thailand.
Berbekalkan pengalaman dalam mengendalikan program jelajah serta aktiviti kemasyarakatan, Anita Entertainment & Productions kini melangkah lebih jauh dengan membawa misi serumpun ke Indonesia, menerusi destinasi pilihan iaitu Bali dan Lombok.
ANITA BIKERS: LEBIH DARIPADA SEKADAR KOMUNITI KONVOI
Di sebalik penganjuran Anita Ride Nusantara ini, Anita Bikers memainkan peranan penting sebagai rakan kerjasama yang menggerakkan penyertaan komuniti penunggang motosikal dalam menjayakan misi berkenaan.
Anita Bikers bukan sekadar menghimpunkan peminat dunia permotoran yang berkongsi minat terhadap aktiviti menunggang motosikal, malah menjadi platform untuk membina jaringan persahabatan, mengeratkan hubungan sesama ahli serta menyemai semangat kebersamaan menerusi aktiviti yang membawa manfaat kepada masyarakat.
Menerusi konsep kembara yang diterapkan, setiap perjalanan bukan hanya dinilai berdasarkan jarak yang ditempuh atau destinasi yang berjaya dikunjungi, tetapi turut memberi ruang kepada peserta untuk berkongsi pengalaman, mengenali budaya masyarakat setempat dan menyumbang kepada komuniti yang memerlukan.
Pendekatan ini selari dengan semangat yang dibawa Anita Entertainment & Productions sejak memulakan siri jelajah kemanusiaannya pada 2016, iaitu menjadikan aktiviti kembara sebagai medium untuk menyampaikan mesej keprihatinan dan membina hubungan lebih erat antara masyarakat.
Penglibatan Anita Bikers dalam misi rentas negara kali ini juga memperlihatkan bagaimana komuniti permotoran boleh memainkan peranan lebih luas dalam aktiviti sosial dan kemanusiaan, sekali gus mengubah persepsi bahawa dunia permotoran hanya berkisar tentang hobi, jentera dan perjalanan jarak jauh.
Dengan membawa semangat Safe Ride, Go Green & Kami Prihatin, peserta bukan sahaja digalakkan mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan, malah turut menerapkan kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar serta keprihatinan terhadap masyarakat yang dikunjungi.
TUJUH HARI MENYUSURI KEINDAHAN BALI DAN LOMBOK
Sepanjang tujuh hari enam malam, peserta bakal melalui pengalaman kembara yang menggabungkan aktiviti permotoran, lawatan pelancongan, sejarah, alam semula jadi dan program kemasyarakatan.
Misi akan dimulakan dengan acara simbolik flag off sebelum peserta berangkat ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memulakan perjalanan ke Indonesia.
Setibanya di Lombok, peserta akan menerima sambutan ketibaan sebelum menuju ke Welcome Base Camp SMC Mataram, yang menjadi antara lokasi persinggahan dalam perjalanan mereka.
Pengembaraan kemudian diteruskan ke Bali menerusi aktiviti Bali Island Tour Ride, memberi peluang kepada peserta menyusuri keindahan pulau berkenaan sambil menikmati pengalaman bermotosikal di destinasi pelancongan terkenal Indonesia itu.
Antara pengisian menarik di Bali termasuk lawatan ke Tugu Pengeboman Bali sebagai simbolik mengenang sejarah hitam yang pernah meninggalkan kesan mendalam kepada masyarakat setempat dan dunia. Peserta turut berpeluang menikmati aktiviti Coffee Healing di kawasan Alun-Alun Bali sebagai ruang santai untuk menghayati suasana dan budaya tempatan.
Memasuki hari keempat, rombongan kembara Nusantara akan kembali berada di Lombok untuk meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya, termasuk kawasan Sembalun yang terletak di sekitar pergunungan Rinjani.
Di sini, peserta bakal menikmati suasana alam semula jadi yang menyegarkan menerusi lawatan ke kawasan kebun serta aktiviti memetik strawberi. Pengisian ini turut membawa semangat Go Green yang menjadi antara teras utama misi berkenaan.
Tidak ketinggalan, peserta akan dibawa mengunjungi kawasan air terjun bagi menikmati keindahan alam semula jadi Lombok, selain menyelami keunikan landskap dan persekitaran tempatan.
Kembara seterusnya akan membawa peserta ke Pantai Pink dan Pulau Gili Trawangan, dua destinasi yang cukup sinonim dengan tarikan pelancongan Lombok.
Selain menikmati keindahan pantai dan suasana pulau, rombongan turut dijadualkan mengadakan lawatan ke Litar Antarabangsa Mandalika bagi melihat lebih dekat kemudahan litar perlumbaan bertaraf antarabangsa yang menjadi kebanggaan Indonesia.
Peluang mengenali kehidupan masyarakat tempatan turut diselitkan menerusi aktiviti tinjauan dan membeli-belah di pasar Lombok, sekali gus memberi pengalaman lebih dekat dengan budaya serta suasana perdagangan setempat.
PENUTUP PENUH MAKNA, ERATKAN HUBUNGAN DUA NEGARA
Menjelang penghujung kembara pada hari keenam, satu majlis makan malam penutup Ride Serumpun Malaysia – Indonesia bakal diadakan bersama komuniti bikers Lombok.
Majlis tersebut menjadi ruang untuk meraikan perjalanan yang telah dilalui, selain mengukuhkan hubungan persahabatan antara peserta Malaysia dan Indonesia menerusi semangat silaturahim dua negara.
Lebih bermakna, misi ini turut disertakan dengan kunjungan bantuan prihatin sebagai manifestasi komitmen kemanusiaan yang menjadi asas kepada penganjuran program berkenaan.
Jamuan penutup bersama komuniti bikers Lombok diharap menjadi simbolik kepada hubungan erat yang terjalin sepanjang kembara, sekali gus membuktikan bahawa semangat persaudaraan tidak mengenal sempadan negara, bangsa mahupun latar belakang.
Secara keseluruhannya, ANITA Ride Nusantara – Serumpun Malaysia & Indonesia membawa mesej bahawa dunia permotoran mampu menjadi jambatan untuk menyatukan masyarakat, memupuk rasa tanggungjawab sosial dan memperluas jaringan persahabatan di rantau ASEAN.
Dalam masa sama, penganjuran ini diharap menjadi permulaan kepada lebih banyak misi kembara serumpun pada masa akan datang, dengan menggabungkan elemen keselamatan, kelestarian alam sekitar, pelancongan dan kemanusiaan.
Orang ramai serta komuniti bikers yang berminat untuk menyertai misi istimewa ini masih berpeluang mendapatkan maklumat lanjut berhubung penyertaan.
Sebarang pertanyaan dan urusan penyertaan boleh menghubungi talian RSVP di 017-908 9946.
ANITA RIDE NUSANTARA – SERUMPUN MALAYSIA & INDONESIA





Comments
Post a Comment