KUALA LUMPUR – Taman Teknologi Silver Valley (SVTP) terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelaburan industri generasi baharu menerusi kerjasama strategik antara Advancecon Development Sdn Bhd dan ACEN C&I MY Holdings Sdn. Bhd. bagi membangunkan penyelesaian tenaga bersih yang mampan, cekap kos dan bersedia untuk masa depan.
Kerjasama yang dimeterai menerusi Memorandum Persefahaman (MOU) itu bertujuan menyediakan akses kepada tenaga boleh diperbaharui untuk bakal pelabur di SVTP, sekali gus membantu syarikat mengurangkan kos operasi, memenuhi komitmen ESG serta meningkatkan daya tahan tenaga dalam jangka panjang.
Inisiatif tersebut mencerminkan transformasi berterusan Advancecon daripada sebuah syarikat yang terkenal dalam pembangunan infrastruktur kepada peneraju pembangunan ekosistem perindustrian moden yang menggabungkan teknologi, kemampanan dan kemudahan strategik bagi menyokong pertumbuhan pelabur.
Dalam landskap industri yang semakin kompetitif, pemilihan lokasi pelaburan kini tidak lagi bergantung kepada faktor tanah dan infrastruktur semata-mata. Sebaliknya, akses kepada tenaga hijau, kecekapan kos operasi dan keupayaan memenuhi sasaran penyahkarbonan menjadi antara pertimbangan utama syarikat multinasional dan pengeluar bernilai tinggi.
Melalui kerjasama ini, syarikat yang beroperasi di SVTP dijangka memperoleh manfaat daripada penyelesaian solar atas bumbung serta bekalan tenaga boleh diperbaharui berskala besar menerusi Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS). Pendekatan ini berpotensi membantu mengurangkan kos tenaga sambil menyediakan sumber tenaga yang lebih stabil dan mampan.
Selain itu, pelabur juga akan mendapat akses kepada atribut alam sekitar yang berkaitan dengan tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menyokong keperluan penyahkarbonan serta pematuhan terhadap piawaian ESG yang semakin menjadi keutamaan dalam rantaian bekalan global.
Kerjasama berkenaan turut mengambil kira perkembangan pesat penggunaan kenderaan elektrik dalam sektor komersial. Antara perancangan yang sedang diteroka termasuk pembangunan infrastruktur pengecasan EV yang disokong oleh tenaga boleh diperbaharui bagi memenuhi keperluan mobiliti industri masa hadapan.
Bagi memperkukuhkan lagi ketahanan tenaga, kedua-dua pihak juga akan menilai potensi penggunaan sistem penyimpanan tenaga bateri, penyelesaian pengurusan tenaga pintar dan pembangunan Rangkaian Pengedaran Persendirian (PDN) yang mampu mengintegrasikan pelbagai sumber tenaga boleh diperbaharui dalam satu ekosistem yang lebih cekap.
Pengarah Urusan Kumpulan Advancecon Holdings Berhad, Phum Boon Eng berkata, selama lebih tiga dekad syarikat itu membina infrastruktur yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan kini membawa kepakaran tersebut ke dalam pembangunan perindustrian.
Menurut beliau, pengeluar hari ini memerlukan lebih daripada sekadar tanah industri yang sedia dibangunkan kerana mereka juga memerlukan ekosistem yang mampu menyokong operasi serta pertumbuhan perniagaan dalam jangka panjang.
“Peranan kami adalah untuk menjangka keperluan masa depan dengan menyatukan rakan kongsi, teknologi dan keupayaan yang tepat bagi memudahkan perniagaan melabur, beroperasi dan berkembang. Kerjasama dengan ACEN C&I merupakan contoh penting pendekatan tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa ketika Advancecon bersiap sedia melancarkan fasa pertama SVTP seluas 816 ekar, syarikat itu bukan sekadar menawarkan tanah industri tetapi sedang membina asas kepada sebuah ekosistem perindustrian generasi baharu yang mampu mencipta nilai berpanjangan kepada pelabur.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ACEN C&I, Kelvin Yuen berkata taman perindustrian memainkan peranan penting dalam mempercepatkan peralihan tenaga dan integrasi tenaga boleh diperbaharui sejak peringkat perancangan adalah pendekatan paling praktikal untuk mengurangkan kos serta mencapai sasaran ESG dalam tempoh jangka panjang.
Menurutnya, kerjasama dengan SVTP membuka peluang untuk bekerjasama dengan pengguna tenaga industri yang bertanggungjawab dalam memacu pertumbuhan perniagaan yang mampan dan menguntungkan.
SVTP merupakan pembangunan perindustrian bersepadu seluas 2,700 ekar di Ipoh, Perak dengan fasa pertama seluas 816 ekar yang dibangunkan secara bersama oleh Advancecon Holdings Berhad dan Perak Corporation Berhad. Pembangunan itu disasarkan untuk menyokong industri pembuatan maju dan bernilai tinggi melalui gabungan lokasi strategik, infrastruktur lengkap, sokongan kerajaan serta rangkaian rakan strategik yang terus berkembang.
Kerjasama bersama ACEN C&I ini menjadi sebahagian daripada strategi lebih luas Advancecon untuk mewujudkan ekosistem industri yang komprehensif, sekali gus menawarkan nilai tambah kepada pelabur dari peringkat pemilihan tapak, pembangunan projek sehingga operasi jangka panjang.





Comments
Post a Comment