SELEPAS GEGAR JOHOR BAHRU, WALI BAND BAWA FENOMENA KE KL! 70% TIKET SUDAH TERJUAL

70% TIKET KONSERT WALI BAND DI KUALA LUMPUR SUDAH TERJUAL, NAJWA LATIF KEMBALI MERIAHKAN PENTAS!

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER 2026 – Fenomena Wali Band di Malaysia terus mencetuskan keterujaan peminat apabila sebanyak 70 peratus tiket konsert Wali Exclusive One Night Only telah terjual menjelang persembahan mereka di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 21 November ini.

Sambutan hangat tersebut menyusuli kejayaan konsert WALI LIVE IN JB yang berlangsung di EduCity Complex, Johor Bahru pada 3 Oktober lalu dengan kehadiran seramai 14,000 penonton. Kehadiran ribuan peminat yang membanjiri lokasi konsert berkenaan membuktikan populariti kumpulan muzik dari Indonesia itu masih utuh dan terus mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik di Malaysia.

Momentum luar biasa tersebut dijangka berterusan apabila Wali Band kembali menemui peminat di Kuala Lumpur menerusi sebuah persembahan eksklusif yang dianjurkan oleh 25th Studio dan Infinity Love Creative Ventures. Konsert yang dijadualkan bermula pada jam 8 malam itu mempunyai kapasiti terhad kepada 5,000 penonton, sekali gus menawarkan pengalaman menyaksikan persembahan Wali Band dalam suasana lebih intim dan eksklusif.

Antara lagu yang pastinya dinantikan peminat termasuklah Baik-Baik Sayang, Cari Jodoh, Dik, Doaku Untukmu Sayang dan Tobat Maksiat (TOMAT). Lagu-lagu berkenaan bukan sahaja menjadi karya ikonik sepanjang perjalanan muzik Wali Band, malah terus dekat di hati pendengar menerusi melodi yang mudah diingati, lirik yang berkait rapat dengan kehidupan seharian serta mesej yang menyentuh perasaan.

NAJWA LATIF KEMBALI SEBAGAI ARTIS UNDANGAN KHAS

Lebih menarik, konsert Wali Exclusive One Night Only turut menampilkan penyanyi dan penulis lagu popular Malaysia, Najwa Latif, sebagai artis undangan khas yang bakal membuka tirai persembahan pada malam tersebut.

Najwa yang cukup dikenali menerusi lagu Cinta Muka Buku, Carta Hati dan Sahabat bakal memberikan sentuhan muzik tempatan sebelum pentas diambil alih oleh Wali Band untuk persembahan utama mereka.

Kehadiran Najwa turut mengundang keterujaan peminat yang mengharapkan satu lagi momen istimewa antara penyanyi itu dengan Wali Band. Ini berikutan kejutan yang berlaku ketika konsert di Johor Bahru baru-baru ini apabila Najwa kembali ke pentas untuk berduet bersama vokalis Wali Band, Faank, menerusi lagu popular mereka, Yank.

Kolaborasi spontan tersebut mencuri perhatian penonton dan menjadi antara detik yang menceriakan malam berkenaan. Justeru, kemungkinan untuk menyaksikan gandingan Wali Band dan Najwa Latif sekali lagi di pentas Kuala Lumpur pastinya menambahkan keterujaan peminat yang mengharapkan kejutan serupa.

Dengan 70 peratus tiket sudah terjual, peminat yang masih belum mendapatkan tempat disarankan membuat pembelian lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan, memandangkan kapasiti konsert di Megastar Arena dihadkan kepada 5,000 penonton sahaja.

Tiket ditawarkan pada beberapa kategori harga, iaitu RM182 bagi CAT 1 – Dik (ruang berdiri), RM482 bagi CAT 2 – Baik-Baik Sayang (tempat duduk bernombor), RM322 bagi CAT 3 – Doaku Untukmu Sayang (tempat duduk bernombor) dan RM252 bagi CAT 4 – Tobat (tempat duduk bernombor).

Bagi peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, tiket VIP – Berkah ditawarkan pada harga RM782, manakala kategori VVIP – Cari Jodoh dijual pada harga RM2,222. Kedua-dua kategori tersebut menyediakan tempat duduk bernombor.

Tiket boleh dibeli menerusi platform rasmi www.myticket.asia, tertakluk pada ketersediaan tiket bagi setiap kategori.

Konsert Wali Exclusive One Night Only turut mendapat sokongan Hot FM dan Kool FM sebagai radio rasmi, sekali gus memeriahkan lagi penantian peminat menjelang malam persembahan yang dijangka menjadi antara acara muzik yang dinantikan di Kuala Lumpur pada November ini.


Comments