NU FEST 2027 Himpunkan Nidji, Masdo dan The Changcuters, Stadium Merdeka Bakal Gegar 30 Januari!

Festival muzik, budaya dan kreativiti itu tampil dengan konsep “Music, Culture & Community”, menawarkan pengalaman lebih menyeluruh dengan harga tiket bermula RM88.










KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Stadium Merdeka bakal menjadi tumpuan peminat muzik apabila NU FEST 2027 membuka tirai penganjuran sulungnya pada 30 Januari 2027, menghimpunkan barisan artis tempatan dan antarabangsa dalam sebuah festival yang menggabungkan muzik, budaya, kreativiti serta gaya hidup.

Dianjurkan oleh COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni, NU FEST 2027 bukan sekadar menawarkan persembahan muzik di pentas utama, sebaliknya membawa konsep “Music, Culture & Community” yang memberi ruang kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai aktiviti dan tarikan sepanjang festival berlangsung.

Antara nama yang bakal mencuri perhatian ialah kumpulan popular Indonesia, Nidji dan The Changcuters, selain kumpulan tempatan Masdo serta Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio. Festival ini turut menampilkan kemunculan istimewa Band D_Va dan komuniti DJ tempatan, Beats & Brew.

Kehadiran barisan artis daripada pelbagai genre itu dijangka memberikan pengalaman muzik yang lebih berwarna-warni, merangkumi rock, pop, alternatif serta lagu-lagu yang membangkitkan nostalgia.

Bukan Sekadar Konsert, Tetapi Festival Gaya Hidup

Mengambil inspirasi daripada festival muzik antarabangsa, NU FEST 2027 dirancang sebagai sebuah destinasi gaya hidup yang membolehkan pengunjung menikmati kemeriahan acara seawal ketibaan mereka.

Antara tarikan yang dirancang termasuk pentas utama, zon berdiri “Rock Zone”, tempat duduk “Grandstand”, kawasan makanan, karnival, pasar kreatif dan aktiviti pengenalan jenama atau “brand activation”.

Pendekatan itu bertujuan menjadikan NU FEST sebagai ruang pertemuan golongan muda untuk berkumpul, menikmati muzik, meneroka kreativiti serta mencipta kenangan bersama rakan dan komuniti.

Wakil COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy berkata, pihaknya mahu membina pengalaman festival yang lebih menyeluruh, bukan sekadar menghimpunkan ramai artis dalam satu acara.

“Kami tidak mahu NU FEST dilihat sebagai sebuah konsert yang mempunyai ramai artis sahaja. Sebaliknya, kami mahu pengunjung datang lebih awal, menikmati suasana festival, meneroka karnival dan aktiviti kreatif sebelum menyaksikan persembahan di pentas utama.

“Konsep kami sangat mudah iaitu ‘Music, Culture & Community’. Kami mahu NU FEST menjadi tempat golongan muda berkumpul, berseronok dan mencipta pengalaman bersama,” katanya.

Nidji, Masdo dan The Changcuters Jadi Tarikan

Pengumuman barisan artis NU FEST 2027 dibuat dalam beberapa fasa, dengan Fasa 1 memperkenalkan The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio, selain Band D_Va.

The Changcuters dijangka membawa tenaga persembahan tersendiri menerusi perjalanan muzik mereka yang memasuki tahun ke-22, manakala Dukes dan Lokarya menjadi antara bakat yang diketengahkan untuk menarik perhatian peminat muzik.

The Beretta’s, Saja dan Monosterio pula melengkapkan barisan awal dengan identiti muzik masing-masing, sementara kemunculan Band D_Va dijangka mengimbau nostalgia era 2000-an.

Keterujaan diteruskan menerusi pengumuman Fasa 2 yang menampilkan Nidji dan Masdo sebagai antara nama utama festival.

Nidji dijadualkan mengadakan persembahan selama 90 minit, sekali gus memberikan peluang kepada peminat untuk menikmati himpunan lagu popular kumpulan Indonesia itu secara langsung dan menyanyi bersama-sama.

Masdo pula membawa identiti muzik retro dengan sentuhan kontemporari yang dekat dengan selera generasi muda, khususnya Gen Z.

Selain itu, kehadiran Beats & Brew, sebuah komuniti DJ di Malaysia yang menghimpunkan penggiat industri serta peminat budaya DJ, bakal menambah dimensi berbeza kepada festival menerusi persembahan yang lebih dinamik.

Penganjur turut merancang elemen istimewa yang berpotensi merangkumi gandingan artis, susunan muzik khas dan persembahan yang disediakan khusus untuk NU FEST 2027. Perincian lanjut akan diumumkan kemudian.

Menurut Zairul Addry, pemilihan artis dibuat berdasarkan kepelbagaian genre, kekuatan kelompok peminat, tenaga persembahan dan kesesuaian dengan identiti festival.

“Kami mahu barisan artis yang boleh merentasi beberapa generasi dan kelompok peminat yang berbeza. Setiap nama mempunyai karakter tersendiri, daripada rock, pop dan nostalgia hinggalah muzik alternatif serta ‘energy’ yang lebih segar.

“Gabungan ini diharap dapat memberikan pengalaman muzik yang pelbagai sepanjang berlangsungnya festival,” katanya.

Stadium Merdeka Jadi Pentas Kreativiti Anak Muda

Pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi penganjuran turut memberikan nilai tersendiri kepada NU FEST 2027, dengan venue ikonik itu bakal menjadi ruang pertemuan muzik, budaya dan kreativiti dalam suasana festival berskala besar.

Aspek produksi turut diberikan perhatian, termasuk visual, pencahayaan, skrin LED, sistem bunyi dan peralihan antara persembahan bagi memastikan setiap artis mempunyai ruang untuk menyerlah, selain memberikan pengalaman yang selesa kepada pengunjung.

Dalam jangka panjang, NU FEST berhasrat berkembang sebagai festival tahunan yang bukan sahaja meraikan muzik, malah menyediakan platform kepada jenama tempatan, usahawan, pencipta kandungan, pengusaha makanan dan bakat muda untuk mengembangkan potensi masing-masing.

“Kami mahu NU FEST menjadi sebuah festival yang mempunyai identiti tersendiri dan dinantikan setiap tahun. Kejayaan sebenar bukan hanya apabila orang datang pada hari festival, tetapi apabila mereka pulang dan mula menantikan edisi seterusnya.

“NU FEST 2027 ialah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Kami mahu membina sebuah komuniti dan pengalaman yang boleh berkembang bersama generasi muda Malaysia,” ujar beliau.

Tiket Bermula RM88

Bagi peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada festival sulung ini, harga tiket NU FEST 2027 ditawarkan bermula RM88. Tawaran khas untuk pembelian secara berkumpulan turut disediakan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat menikmati pengalaman festival bersama-sama.

Jualan tiket Fasa 1 akan dibuka terlebih dahulu bagi kategori “Standing”, manakala maklumat mengenai kategori “Seating” termasuk kawasan “Grandstand” akan diumumkan kemudian.

Dengan gabungan persembahan artis pelbagai genre, hiburan DJ serta tarikan makanan, karnival dan aktiviti kreatif, NU FEST 2027 dijangka menjadi antara acara yang dinantikan peminat muzik tempatan pada awal tahun depan.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan NU FEST 2027 pada 30 Januari 2027 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Maklumat lanjut mengenai jualan tiket, kategori tempat duduk dan pengumuman seterusnya boleh dinantikan menerusi saluran rasmi COMs. Creative Studio dan AKE Seni.


Comments