KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER 2026 – Festival muzik tempatan bakal menerima nafas baharu menerusi penganjuran NU FEST 2027 yang akan berlangsung buat julung kalinya di Stadium Merdeka pada 30 Januari 2027, dengan menggabungkan muzik, budaya, kreativiti dan gaya hidup dalam sebuah festival khas untuk generasi muda Malaysia.
Dianjurkan oleh COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni, NU FEST 2027 mengangkat konsep “Music, Culture & Community” sebagai teras utama penganjuran, sekali gus menawarkan pengalaman yang melangkaui persembahan muzik biasa menerusi gabungan persembahan artis, aktiviti kreatif, ruang niaga dan peluang untuk pengunjung berinteraksi serta mencipta kenangan bersama.
Bukan sekadar konsert yang menghimpunkan barisan artis popular, NU FEST 2027 dirancang sebagai destinasi gaya hidup yang membolehkan pengunjung menikmati suasana festival seawal ketibaan, meneroka pelbagai tarikan dan menghayati persembahan di pentas utama.
Inspirasi penganjuran festival ini tercetus daripada perkembangan festival muzik antarabangsa yang semakin menjadi sebahagian daripada budaya dan gaya hidup masyarakat, dengan menawarkan pelbagai pengalaman di luar persembahan pentas semata-mata.
Menerusi pendekatan tersebut, COMs. Creative Studio dan AKE Seni mahu membangunkan sebuah festival dengan identiti tersendiri yang menyediakan ruang kepada golongan muda untuk berkumpul, menikmati muzik dan meneroka kreativiti dalam suasana yang lebih menyeluruh.
Antara tarikan yang dirancang termasuk pentas utama, “Rock Zone”, tempat duduk “Grandstand”, kawasan makanan, karnival, pasar kreatif serta aktiviti pengaktifan jenama atau brand activation.
“Kami tidak mahu NU FEST dilihat sebagai sebuah konsert yang mempunyai ramai artis sahaja. Sebaliknya, kami mahu pengunjung datang lebih awal, menikmati suasana festival, meneroka karnival dan aktiviti kreatif sebelum menyaksikan persembahan di pentas utama.
“Konsep kami sangat mudah iaitu ‘Music, Culture & Community’. Kami mahu NU FEST menjadi tempat golongan muda berkumpul, berseronok dan mencipta pengalaman bersama,” jelas wakil COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy.
BARISAN ARTIS PELBAGAI GENRE, NIDJI DAN MASDO JADI TARIKAN
Menerusi pengumuman Fasa 1, NU FEST 2027 memperkenalkan barisan artis yang menggabungkan kepelbagaian genre, karakter muzik dan kelompok peminat, termasuk The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio, selain kemunculan istimewa Band D_Va.
The Changcuters bakal membawa pengalaman perjalanan muzik mereka yang memasuki tahun ke-22, manakala Dukes dan Lokarya diketengahkan sebagai bakat baharu yang berpotensi mencuri perhatian peminat.
The Beretta’s, Saja dan Monosterio pula melengkapkan barisan tersebut menerusi identiti muzik masing-masing, sementara kemunculan Band D_Va dijangka menghidupkan kembali nostalgia era 2000-an.
Pemilihan artis dibuat berdasarkan kepelbagaian muzik, kekuatan kelompok peminat, tenaga persembahan serta kesesuaian dengan identiti festival yang ingin dibangunkan.
“Kami mahu barisan artis yang boleh merentasi beberapa generasi dan kelompok peminat yang berbeza. Setiap nama mempunyai karakter tersendiri, daripada rock, pop dan nostalgia hinggalah muzik alternatif serta tenaga yang lebih segar. Gabungan ini diharap dapat memberikan pengalaman muzik yang pelbagai sepanjang berlangsungnya festival,” tambah Zairul Addry Helmy.
Keterujaan terhadap NU FEST 2027 diteruskan menerusi pengumuman Fasa 2 yang menampilkan Nidji dan Masdo sebagai antara tarikan utama festival.
Nidji dijadualkan mengadakan persembahan selama 90 minit, sekali gus menjadikan kemunculan kumpulan popular Indonesia itu antara yang dinanti-nantikan. Dengan himpunan lagu yang dekat di hati peminat, persembahan berkenaan bakal memberikan peluang kepada pengunjung untuk menyanyi bersama dan menikmati pengalaman muzik secara langsung.
Turut menyertai barisan artis ialah Masdo, kumpulan tempatan yang mendapat tempat dalam kalangan generasi muda, khususnya Gen Z, menerusi pengaruh muzik retro yang digabungkan dengan sentuhan kontemporari.
Selain persembahan artis, NU FEST 2027 turut menampilkan Beats & Brew, sebuah komuniti DJ di Malaysia yang menghimpunkan penggiat industri dan peminat budaya DJ. Kehadiran mereka bakal memberikan dimensi berbeza menerusi persembahan dinamik yang menambah kepelbagaian hiburan dan menghidupkan suasana festival.
COMs. Creative Studio dan AKE Seni turut merancang elemen istimewa yang berpotensi merangkumi gandingan artis, susunan muzik khas serta persembahan yang disediakan khusus untuk festival ini. Butiran lanjut akan diumumkan pada masa yang bersesuaian.
PRODUKSI DAN PENGALAMAN PENGUNJUNG JADI KEUTAMAAN
Bagi memastikan NU FEST menawarkan pengalaman tersendiri, aspek produksi turut diberikan perhatian, termasuk visual, pencahayaan, skrin LED, sistem bunyi dan peralihan antara persembahan.
Pendekatan ini bertujuan memberikan ruang kepada setiap artis untuk menyerlah, sambil memastikan pengunjung dapat menikmati kemeriahan acara dengan selesa.
Pemilihan Stadium Merdeka sebagai lokasi penganjuran turut memberikan nilai tersendiri memandangkan stadium ikonik dan bersejarah itu menjadi latar kepada usaha penganjur membangunkan festival yang mengutamakan mutu persembahan, keselamatan serta keselesaan pengunjung.
Dalam jangka panjang, NU FEST berhasrat untuk berkembang sebagai festival tahunan yang bukan sahaja meraikan muzik, malah menyediakan platform kepada jenama tempatan, usahawan, pencipta kandungan, pengusaha makanan dan bakat muda untuk berkembang bersama.
“Kami mahu NU FEST menjadi sebuah festival yang mempunyai identiti tersendiri dan dinantikan setiap tahun. Kejayaan sebenar bukan hanya apabila orang datang pada hari festival, tetapi apabila mereka pulang dan mula menantikan edisi seterusnya.
“NU FEST 2027 ialah permulaan kepada sesuatu yang lebih besar. Kami mahu membina sebuah komuniti dan pengalaman yang boleh berkembang bersama generasi muda Malaysia,” ujar Zairul Addry Helmy.
TIKET BERMULA RM88, TAWARAN KHAS UNTUK PEMBELIAN BERKUMPULAN
Bagi peminat yang ingin menjadi sebahagian daripada festival ini, harga tiket NU FEST 2027 bermula serendah RM88. Tawaran khas turut disediakan untuk pembelian secara berkumpulan bagi memberikan peluang kepada lebih ramai peminat menikmati pengalaman festival berkenaan.
Untuk jualan tiket Fasa 1, kategori “Standing” akan dibuka terlebih dahulu, manakala maklumat mengenai kategori tempat duduk “Seating”, termasuk kawasan “Grandstand”, akan diumumkan kemudian.
Dengan gabungan artis pelbagai genre, persembahan DJ serta tarikan kreatif dan gaya hidup, NU FEST 2027 dijangka membuka lembaran baharu dalam landskap festival muzik tempatan apabila berlangsung pada 30 Januari 2027 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Maklumat lanjut mengenai festival dan penjualan tiket akan diumumkan oleh COMs. Creative Studio serta AKE Seni dari semasa ke semasa.
Comments
Post a Comment