‘Sejarah Mungkin Berulang’, New Boyz Kembali Beraksi! Peminat Bakal Meraung di Singapura 5 Disember Ini



New Boyz Masih ‘Meraung’ Selepas 26 Tahun, Kembali Gegarkan Singapura 5 Disember Ini

Selepas lebih dua dekad mewarnai industri muzik Nusantara, New Boyz membuktikan bahawa lagu-lagu malar segar mereka masih mempunyai tempat istimewa di hati peminat. Kini, kumpulan yang sinonim dengan deretan lagu popular era 1990-an dan 2000-an itu kembali dengan berita gembira menerusi penganjuran New Boyz Meraung – Live in Singapore, yang bakal berlangsung pada 5 Disember 2026.

Bertempat di The Star Theatre, Singapura, pada pukul 8 malam, konsert anjuran MSN Entertainment itu dijangka menjadi medan pertemuan semula antara New Boyz dengan peminat yang mengikuti perjalanan seni mereka sejak awal kemunculan, selain membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengenali muzik kumpulan berkenaan dengan lebih dekat.

Selepas lebih 20 tahun mengharungi pelbagai cabaran dalam industri hiburan, New Boyz kekal relevan menerusi karya-karya yang terus dimainkan dan dinyanyikan oleh peminat merentasi generasi. Malah, kemunculan mereka di pentas konsert sejak beberapa tahun kebelakangan ini memperlihatkan bagaimana lagu-lagu lama masih mampu membangkitkan kenangan dan menyatukan peminat melalui muzik.

Konsert kali ini membawa makna tersendiri apabila nama Meraung dipilih sebagai judul utama, merujuk kepada lagu popular daripada album Akur yang diterbitkan pada tahun 2000. Selepas 26 tahun, lagu tersebut masih menjadi antara karya yang cukup dekat dengan identiti New Boyz dan peminat setia mereka.

Menurut wakil MSN Entertainment, Aynn, pemilihan nama itu bukan sekadar untuk mengimbau nostalgia, sebaliknya turut melambangkan perjalanan panjang kumpulan berkenaan dalam industri muzik.

“Meraung adalah lagu yang cukup hit daripada album Akur yang diterbitkan pada tahun 2000 dan kini, selepas 26 tahun, ia masih relevan serta sangat signifikan kepada peminat lama, selain bakal menjadi salam kenal kepada semua peminat generasi baharu,” katanya.

Bagaimanapun, peminat tidak perlu menjangkakan persembahan yang hanya tertumpu kepada lagu Meraung. Sebaliknya, konsert itu turut menjanjikan rangkaian karya popular New Boyz yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan muzik generasi terdahulu.

Antara lagu yang pastinya dinantikan ialah Sejarah Mungkin Berulang, sebuah karya yang terus dikenang dan mempunyai nilai sentimental tersendiri dalam kalangan peminat. Malam tersebut bakal menjadi peluang untuk menghayati semula lagu-lagu yang pernah menemani pelbagai fasa kehidupan, daripada zaman persekolahan hinggalah ke alam dewasa.

Bagi vokalis New Boyz, Tomok, pemilihan Singapura sebagai lokasi permulaan baharu buat kumpulan itu amat bermakna, terutama apabila negara berkenaan mempunyai sejarah panjang dalam perjalanan seni mereka.

Selepas dua tahun tidak mengadakan persembahan, New Boyz mahu menjadikan konsert ini sebagai tanda penghargaan kepada peminat di Singapura yang tidak pernah putus memberikan sokongan sejak awal kemunculan mereka.

“Selepas dua tahun kami tidak mengadakan persembahan, New Boyz memilih untuk memulakan konsert di Singapura sebagai apresiasi kepada peminat di sini yang tidak pernah putus menyokong perjalanan seni kami sejak dahulu sehingga kini.

“Jika diimbau, Singapura adalah negara yang paling kerap New Boyz singgahi pada zaman awal kemunculan dan tanggal 5 Disember 2026 ini, kami mahu kembali dengan New Boyz Meraung – Live in Singapore, bukan sahaja untuk membangkitkan nostalgia tetapi merayakan kesetiaan semua peminat buat kami,” ujar Tomok.

Beliau turut berharap konsert tersebut dapat menghimpunkan peminat dari Brunei, Indonesia dan Malaysia untuk bersama-sama meraikan perjalanan muzik New Boyz di Singapura.

Selain Tomok selaku vokalis, New Boyz turut dianggotai Jay dan Afiez pada gitar, Zack pada bes serta Along dan Ristoe pada dram. Gabungan anggota ini bakal menghidupkan kembali karya-karya yang membentuk identiti muzik mereka sepanjang perjalanan seni kumpulan itu.

Bagi peminat yang mahu menyaksikan sendiri kemunculan New Boyz di pentas Singapura, tiket ditawarkan dalam lima kategori, bermula daripada SGD99 untuk Silver, SGD149 bagi Gold, SGD159 untuk Platinum, SGD169 untuk Diamond dan SGD259 untuk VIP.

Kategori VIP turut menawarkan pengalaman lebih eksklusif menerusi sesi bertemu dan beramah mesra (meet and greet) bersama anggota New Boyz, pas VIP, lanyard, poster serta beg tote. Pemegang tiket kategori ini juga menikmati akses laluan ekspres bagi pemeriksaan barangan dagangan dan tiket.

Tiket boleh dibeli menerusi platform SISTIC, manakala JEN Singapore Tanglin diumumkan sebagai hotel rasmi. Trmaya dan Gerobok KuehSG pula menjadi rakan F&B rasmi serta rakan pencuci mulut rasmi bagi konsert berkenaan.

Dengan gabungan lagu-lagu nostalgia, kenangan yang tidak pernah luput dan peluang untuk kembali menyaksikan New Boyz beraksi secara langsung, New Boyz Meraung – Live in Singapore pastinya menjadi satu pertemuan yang dinantikan peminat.

Jadi, bersedialah untuk menyanyi bersama, mengimbau kenangan lama dan meraung sekali lagi bersama New Boyz pada 5 Disember 2026 di The Star Theatre, Singapura.

Jangan sampai terlepas peluang untuk menjadi sebahagian daripada malam yang meraikan perjalanan muzik sebuah kumpulan yang terus dikenang merentasi generasi.

Informasi Konsert:

Artis: New Boyz

Konsert: New Boyz Meraung – Live in Singapore

Tarikh: 5 Disember 2026

Masa: 8.00 malam

Lokasi: The Star Theatre, Singapura

Penganjur: MSN Entertainment

Harga tiket:

● VIP: SGD259

● Diamond: SGD169

● Platinum: SGD159

● Gold: SGD149

● Silver: SGD99

Pembelian tiket: SISTIC


Comments