NASIR BILAL KHAN TERAJUI DOL SAID: PAHLAWAN NANING, NASKHAH SEJARAH SARAT EMOSI









Kisah sejarah perjuangan Dol Said dan masyarakat Naning bakal dihidupkan semula menerusi pementasan Teater Muzikal Dol Said: Pahlawan Naning, sebuah karya yang menggabungkan elemen sejarah, drama, muzik, nyanyian, koreografi dan visual pentas bagi membawa penonton menyelami kisah perjuangan tokoh bersejarah tersebut.

Pementasan yang diterbitkan, ditulis dan diarahkan oleh YM Raja Azrey bin Raja Kamaruzzaman menerusi Pondok Karya Kreatif Venture itu akan berlangsung pada 9 dan 10 Oktober 2026, jam 8.30 malam di Panggung Seri JKKN Melaka.

Menurut Raja Azrey, naskhah ini bukan sekadar mengangkat semula peristiwa sejarah, tetapi memberi tumpuan kepada jiwa, emosi dan konflik manusia yang berada di sebalik perjuangan Dol Said mempertahankan tanah dan maruah masyarakat Naning.

Beliau berkata, Dol Said tidak seharusnya hanya dikenang sebagai nama yang tercatat dalam buku sejarah, sebaliknya sebagai seorang pemimpin yang berdepan pelbagai cabaran dan pengorbanan demi mempertahankan amanah serta kedaulatan tanah airnya.


Keistimewaan teater ini terletak pada pendekatan muzikal yang menjadikan lagu, muzik, dialog, lakonan dan koreografi sebagai sebahagian penting dalam penceritaan. Melalui gabungan elemen tersebut, penonton akan dibawa menelusuri kehidupan masyarakat Naning, kepimpinan tempatan, tekanan kuasa British serta konflik yang mencetuskan perjuangan menentang penjajahan.

Selain mengangkat kisah sejarah, naskhah ini turut mengetengahkan nilai maruah, amanah, kesetiaan, persaudaraan, pengorbanan dan keberanian yang menjadi teras perjuangan Dol Said.

Antara tarikan utama pementasan ini ialah kemunculan semula pelakon berpengalaman, Nasir Bilal Khan, yang membawakan watak Dol Said Tua selepas sekian lama tidak muncul di pentas teater. Beliau akan bergandingan dengan pereka fesyen terkenal A. Aris Kadir yang memegang watak Dol Said Muda.

Turut membarisi produksi ini ialah Ani Maiyuni, Lando Zawawi, Man Raja Lawak, Wan Raja, Riez Radzi, Ucop Zaidey, Hairie Mohamad, Hery Sejagat dan Najip Rahim, selain barisan ensemble daripada PERKASE TARI. Gerak tari pementasan pula diarahkan oleh pereka tari Aznizar Abd Ghani.

Raja Azrey berkata, kekuatan teater ini bukan hanya terletak pada seorang pelakon, tetapi pada gabungan pengalaman dan komitmen seluruh barisan pelakon yang bersama-sama menghidupkan perjalanan cerita.

Dalam pada itu, pihak produksi merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) atas sokongan menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang membantu merealisasikan pementasan tersebut.

Penghargaan turut diberikan kepada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka selaku rakan strategik, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), serta Malaysia Tourism Centre (MATIC) yang menyediakan ruang latihan sepanjang tempoh persiapan produksi.

Melalui pementasan ini, pihak produksi berharap kisah Dol Said dan perjuangan masyarakat Naning dapat diperkenalkan kepada generasi baharu dalam bentuk yang lebih segar, dekat dan mudah dihayati.

Naskhah ini bukan sahaja memaparkan peperangan dan konflik, malah mengajak penonton memahami nilai kemanusiaan di sebalik sejarah, termasuk pengorbanan seorang pemimpin dan kesan keputusan yang dibuat terhadap generasi akan datang.

Teater Muzikal Dol Said: Pahlawan Naning

Tarikh: 9 & 10 Oktober 2026
Masa: 8.30 malam
Lokasi: Panggung Seri JKKN Melaka

Pelakon Utama:

  • Nasir Bilal Khan – Dol Said Tua
  • A. Aris Kadir – Dol Said Muda
  • Ani Maiyuni – Isteri Dol Said
  • Lando Zawawi – Gabenor Ibbetson
  • Man Raja Lawak – Yamtuan Ali Rembau
  • Wan Raja – Captain Wyllie
  • Riez Radzi – Syed Syaaban
  • Ucop Zaidey – Penghulu Linggi
  • Hairie Mohamad – Panglima Naning
  • Hery Sejagat – Panglima Naning
  • Najip Rahim – Pembesar Rembau

Harga Tiket:

  • Gold – RM50 (berserta hadiah)
  • Open Seat – RM25

Tempahan Tiket:


Comments