KUALA LUMPUR – Adrenalin, keberanian dan aksi mendebarkan kembali mewarnai langit ibu negara menerusi penganjuran Kuala Lumpur Tower International BASE Jump 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Kuala Lumpur Tower.
Memasuki edisi ke-21, acara bertaraf antarabangsa yang dianjurkan oleh BASE Malaya Club ini sekali lagi menghimpunkan komuniti penerjun BASE dari seluruh dunia di salah satu mercu tanda paling ikonik negara. Lebih menarik, penganjuran tahun ini turut menyaksikan percubaan mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sempena majlis pelancarannya.
Percubaan rekod tersebut melibatkan penerjun BASE yang berkelayakan melakukan terjunan secara berturut-turut dari Sky Terrace, Kuala Lumpur Tower bagi kategori sementara “Most Participants in a Consecutive Tower BASE Jump”. Inisiatif ini bukan sahaja menguji kemahiran dan ketahanan peserta, malah mengangkat Kuala Lumpur sebagai destinasi utama bagi penganjuran acara sukan ekstrem bertaraf dunia.
Bagaimanapun, pengiktirafan rasmi rekod tersebut masih tertakluk kepada pengesahan MBOR serta penilaian aspek operasi dan keadaan cuaca sepanjang acara berlangsung.
Selain menyaksikan aksi para penerjun, orang ramai dan wakil media turut diberi peluang merasai pengalaman unik menerusi program “Sitting on the Edge”. Pengalaman eksklusif itu membolehkan peserta duduk di bahagian tepi Sky Terrace dengan memakai abah-abah keselamatan sambil menikmati panorama Kuala Lumpur dan menyaksikan sendiri detik-detik penerjun memulakan terjunan mereka.
Program tersebut memberikan perspektif berbeza kepada pengunjung untuk memahami cabaran serta keberanian yang diperlukan dalam sukan BASE Jump, sekali gus menjadikan acara ini lebih dekat dengan masyarakat.
Kuala Lumpur Tower sendiri mempunyai sejarah panjang dalam dunia BASE Jump apabila menjadi antara lokasi terawal menganjurkan aktiviti tersebut sejak tahun 1999. BASE merupakan singkatan kepada Building, Antenna, Span dan Earth, iaitu empat jenis struktur tetap yang digunakan sebagai lokasi terjunan menggunakan satu payung terjun dari ketinggian antara 60 hingga 1,300 meter.
Hanya penerjun yang memenuhi syarat kelayakan serta mempunyai pengalaman mencukupi dibenarkan menyertai acara ini bagi memastikan aspek keselamatan sentiasa menjadi keutamaan.
Tahun ini, Kuala Lumpur Tower International BASE Jump dijangka menarik penyertaan lebih 200 penerjun dari lebih 30 negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Australia, Brazil, Portugal, United Kingdom, Kanada, Bulgaria, China, Perancis, Jepun dan Singapura.
Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj. Othman berkata pihaknya amat teruja menyambut kembali penganjuran acara berprestij tersebut di Kuala Lumpur Tower.
Menurut beliau, dengan pelbagai acara besar berlangsung di sekitar ibu negara sepanjang hujung minggu berkenaan, Kuala Lumpur sekali lagi menjadi tumpuan dunia dan menawarkan pemandangan luar biasa apabila para penerjun dari pelbagai negara melakukan aksi terjunan dengan latar belakang panorama bandar raya yang memukau.
Penganjuran Kuala Lumpur Tower International BASE Jump 2026 bukan sekadar acara sukan ekstrem, malah menjadi platform yang memperkenalkan Malaysia kepada komuniti antarabangsa melalui gabungan elemen pelancongan, sukan dan pengalaman unik yang sukar ditemui di tempat lain.
#kltower #basejump2026
Credit photo: MegatzReview












Comments
Post a Comment