ISTANA BUDAYA KEMBALI HIDUPKAN WATAK IKONIK SANG KANCIL, TAWAR PENGEMBARAAN MAGIKAL BUAT KANAK-KANAK








Selepas hampir enam tahun tidak menerbitkan pementasan teater kanak-kanak, Istana Budaya (IB) kembali menghidupkan watak ikonik Sang Kancil menerusi Teater Muzikal Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil (TMKPSK) yang bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya pada 13 hingga 15 November 2026.

Pementasan yang menggabungkan elemen pengembaraan, muzik, nyanyian, tarian dan jenaka itu menjanjikan sebuah pengalaman teater yang penuh warna-warni, imaginatif dan menghiburkan, khususnya buat penonton cilik serta keluarga.

Persembahan pada 13 November dijadualkan berlangsung pada jam 8.30 malam, manakala 14 November menyaksikan dua slot persembahan pada jam 2.30 petang dan 8.30 malam. Satu lagi persembahan akan berlangsung pada 15 November, jam 2.30 petang.

Kemunculan semula teater kanak-kanak terbitan IB ini cukup bermakna memandangkan pementasan terakhir genre berkenaan ialah Teater Siti di Alam Fantasi pada tahun 2020. Bagaimanapun, pementasan tersebut terpaksa dibatalkan pada saat akhir ketika sesi pratonton susulan pengumuman pelaksanaan perintah kawalan pergerakan berikutan pandemik COVID-19.

Kini, selepas hampir enam tahun, Panggung Sari kembali menjadi pentas yang menghidupkan dunia fantasi kanak-kanak menerusi kisah baharu Sang Kancil yang sarat dengan nilai keberanian, persahabatan, kebijaksanaan dan keyakinan diri.

Magika Nusantara Hidupkan Dunia Fantasi Rimba Tropika

Mengangkat konsep Magika Nusantara, TMKPSK membawa penonton menyelami dunia fantasi yang menggabungkan unsur magis, dongeng serta cerita rakyat tradisional Melayu dan Nusantara.

Konsep tersebut diterjemahkan menerusi latar Rimba Tropika Nusantara yang menampilkan pelbagai lokasi imaginatif, termasuk Perkampungan Kancil, Hutan Ajaib, Sungai, Taman Buah-buahan, Sarang Madu, Taman Kelip-kelip dan Kawasan Raja Rimba.

Setiap lokasi direka bagi membentuk sebuah dunia yang hidup, penuh warna dan imaginasi, di samping memperkenalkan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian flora dan fauna kepada penonton cilik.

Lebih daripada sekadar membawa watak Sang Kancil ke pentas, pementasan ini mengetengahkan cerita baharu mengenai impian seekor kancil untuk mengembara, keluar daripada zon selesa dan membuktikan bahawa saiz tubuh bukanlah ukuran kepada kebijaksanaan serta keupayaan seseorang.

Karya yang ditulis oleh Siti Jasmina Ibrahim ini menjadikan keberanian, persahabatan, kebijaksanaan dan keyakinan diri sebagai tema utama. Beliau merupakan penulis profesional yang berpengalaman luas dalam bidang kreatif, sastera, televisyen dan teater, selain pernah menghasilkan lebih daripada 100 judul telemovie serta drama bersiri televisyen.

Penerima Anugerah Seni Negara dan MASTERA itu turut aktif sebagai pendidik dan Munsyi Dewan.

Sang Kancil Mengembara Bersama Sahabat Baharu


Kisah bermula apabila Sang Kancil yang terkenal dengan kebijaksanaannya menyimpan impian untuk mengembara, meskipun sering diperlekehkan oleh keluarganya.

Peluang itu hadir apabila dia tersesat ke daerah lain dan bertemu dengan Wang Wang, Cergas serta Cerdas. Namun, perjalanan mereka berubah apabila dihanyutkan arus sungai sehingga terpaksa mengembara bersama-sama untuk mencari jalan pulang.

Sepanjang perjalanan, Sang Kancil menggunakan kebijaksanaannya untuk membantu haiwan yang ditindas oleh Chip Chip, ketua monyet, dan Taiko Boo, ketua buaya. Namun, tindakannya masih diragui Cerdas sehingga menyebabkan Sang Kancil membawa diri.

Dalam masa yang sama, Taring, adik kepada Raja Rimba yang tamak kuasa, merancang untuk menyerang keluarga Sang Kancil.

Apabila ancaman semakin hampir, Sang Kancil bersama-sama sahabatnya dan haiwan yang pernah dibantu bersatu mempertahankan keluarga serta keharmonian Rimba Raya.


Dengan keberanian, helah bijaksana dan pertandingan berbalas pantun, Sang Kancil akhirnya berjaya menewaskan Taring tanpa menggunakan kekerasan.

Pengembaraan tersebut bukan sahaja menguji kebijaksanaan Sang Kancil, malah mengajar semua watak tentang erti persahabatan, keberanian, kasih sayang terhadap keluarga dan kepentingan menyelesaikan masalah secara bijaksana.

16 Lagu Baharu, Diiringi 36 Pemuzik Secara Langsung

Sebagai sebuah teater muzikal, elemen muzik menjadi antara tarikan utama TMKPSK apabila hampir 60 peratus daripada keseluruhan persembahan terdiri daripada lagu, muzik dan koreografi.

Sentuhan muzik oleh Ayop Azril menyaksikan sebanyak 16 lagu baharu dicipta khas untuk mengiringi pengembaraan Sang Kancil dan rakan-rakannya.

Antara lagu yang bakal dipersembahkan termasuk Wira Bijaksana, Usah Angan-angan Tinggi, Kita Kancil Kecil, Sekawan-kawan, Cha-Cha Chip Chip, Satu Dua Tiga Lekuk dan Dondang Pantun Rimba.

Kesemua lagu tersebut akan dimainkan secara langsung oleh 36 pemuzik yang terdiri daripada pemuzik Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan bahagian strings daripada Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Persembahan muzik secara langsung ini dijangka memberikan dimensi berbeza kepada pementasan, sekali gus menjadikan pengalaman menonton lebih dinamik dan menghidupkan suasana dunia fantasi yang dipersembahkan di atas pentas.

46 Pelakon Cilik Bakal Meriahkan Panggung Sari

Kualiti persembahan turut diberikan perhatian menerusi proses pemilihan pelakon yang dijalankan secara terperinci.

Sesi uji bakat pada 16 Ogos 2026 di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, menerima penyertaan seramai 140 kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun.

Peserta dinilai berdasarkan bakat lakonan, nyanyian, lontaran vokal dan keyakinan diri menerusi tiga sesi uji bakat sebelum pemilihan dimuktamadkan pada September 2026 oleh barisan juri yang terdiri daripada penulis skrip, pengarah dan pengarah muzik.

Seramai 46 kanak-kanak terpilih akan menjayakan pementasan ini selepas menjalani latihan intensif selama dua bulan bersama pengarah. Pemilihan watak pula diinspirasikan daripada spesies haiwan yang terdapat di Malaysia dan Nusantara, selaras dengan konsep Magika Nusantara.

TMKPSK diarahkan oleh Nawfal Zamri, dengan bantuan Iefez Alaudin sebagai penolong pengarah.

Nawfal merupakan pengarah teater, sinografer dan jurulatih lakonan yang berpengalaman dalam bidang pengarahan, lakonan, reka bentuk set, prop serta pencahayaan. Graduan ASWARA dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengarahan dan Seni Persembahan itu kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kehormat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Antara pencapaian beliau termasuk mengarahkan teater muzikal Living Forest yang melibatkan kanak-kanak Down Syndrome dan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.

Barisan pelakon dewasa pula menampilkan Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai Bapa Kancil, Asmidar sebagai Ibu Kancil, Taqim Zaki sebagai Taring, Anas Ridzuan sebagai Mat Tanduk dan Khir Rahman sebagai Raja Rimba.

Bagi watak utama kanak-kanak, Ahmad Zaid bin Ahmad Zaha membawakan watak Sang Kancil, Jihad Katharsis Jiwa binti Junizam@Juna sebagai Cerdas, Firman Uzair bin Muhammad Zulfadzli sebagai Wang Wang dan Nur Humaira binti Md Aizam sebagai Cergas.

Turut menjayakan pementasan ialah Iris Alessandra Alyssa binti Hafezi sebagai Taiko Boo, Haqiqat Hamzah bin Khairulizam sebagai Chip Chip, Insyirah Fatin binti Haeriyanto sebagai Lulu, Tengku Nur Airiezara Jasmin binti Tengku Ierasulkhaier Putra sebagai Sri Enggang dan Amirul Haikal bin Hamdan sebagai Sang Hitam.

Keindahan Batik Malaysia Warnai Reka Bentuk Pentas

Keunikan TMKPSK turut terserlah menerusi rekaan visual yang mengangkat keindahan batik Malaysia dan motif flora serta fauna tempatan.

Motif bunga raya, daun, pucuk rebung, orkid, pakis dan elemen hutan tropika diterapkan dalam reka bentuk set, kostum, prop serta grafik pentas bagi membentuk identiti visual yang kaya, harmoni dan imaginatif.

Walaupun berteraskan motif batik tradisional, elemen tersebut diolah menerusi pendekatan kontemporari dengan penggunaan bentuk organik, tekstur, corak dan palet warna yang diinspirasikan daripada kekayaan alam semula jadi.

Gabungan tradisi dan kreativiti moden ini bukan sahaja menyerlahkan warisan seni Malaysia, malah menjadikannya lebih dekat dengan dunia imaginasi kanak-kanak.

Sambutan Tiket Menggalakkan, Satu Slot Matinee Ditambah

Sambutan terhadap TMKPSK menunjukkan perkembangan positif apabila jualan tiket yang dibuka pada 29 September 2026 menerima permintaan menggalakkan dalam tempoh kurang daripada lima hari.

Susulan sambutan tersebut, Istana Budaya mengumumkan penambahan satu slot persembahan matinee pada 14 November 2026, jam 2.30 petang, bagi memberikan peluang kepada lebih ramai penonton, khususnya keluarga, untuk menyaksikan pengembaraan Sang Kancil secara langsung di Panggung Sari.

Lebih menarik, pembeli empat tiket akan menerima satu tiket percuma bagi kategori Kancil dan Gajah. Sementara itu, pelajar sekolah yang membeli 20 tiket dan ke atas bagi kategori Sang Kancil dan Gajah layak menikmati diskaun sebanyak 10 peratus.

Secara keseluruhan, TMKPSK menawarkan empat slot persembahan sepanjang tiga hari, iaitu pada 13 November, jam 8.30 malam; 14 November, jam 2.30 petang dan 8.30 malam; serta 15 November, jam 2.30 petang.

Cloudjoi merupakan ejen rasmi penjualan tiket TMKPSK. Tempahan boleh dibuat menerusi platform media sosial rasmi Istana Budaya atau dengan mengimbas kod QR pada poster hebahan pementasan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari portal dan platform media sosial rasmi Istana Budaya atau menghubungi Unit Perhubungan Awam di talian 03-4026 5555 atau melalui e-mel info@istanabudaya.gov.my.

Menerusi gabungan cerita rakyat, muzik secara langsung, tarian, seni visual dan mesej positif, Pengembaraan Sang Kancil bukan sekadar hiburan untuk kanak-kanak, malah sebuah usaha menghidupkan warisan cerita Nusantara agar terus dikenali dan dihargai oleh generasi baharu.


Comments