HEYQAL MISNIN UNGGUL DI BINTANG SUARA MELILEA 2026, TEWASKAN 18 FINALIS

MUHAMMAD HEYQAL MISNIN DINOBATKAN JUARA BINTANG SUARA MELILEA 2026, KETENGAH BAKAT PENYANYI MUDA



KUALA LUMPUR, 11 Oktober 2026 – Muhammad Heyqal Misnin mencipta kejayaan apabila dinobatkan sebagai Johan Bintang Suara MELILEA 2026 menerusi persembahan lagu Oscar Winning Tears yang dipopularkan oleh penyanyi antarabangsa, Raye, pada malam kemuncak pertandingan di MELILEA APHQ, MELILEA Tower, Bangsar South, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.

Kemenangan itu melayakkan Heyqal membawa pulang trofi, wang tunai RM3,000 serta baucar produk MELILEA bernilai RM2,000.

Pertandingan anjuran MELILEA International Group of Companies itu menyaksikan penyertaan lebih 200 peserta sebelum 19 finalis terbaik berentap di pentas akhir. Acara berkenaan turut mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 700 penonton hadir memberikan sokongan kepada para peserta.

Berlandaskan tagline “IMPIAN ANDA · SUARA ANDA · MASA DEPAN ANDA”, Bintang Suara MELILEA 2026 dianjurkan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk mencungkil, membimbing dan memperkasa bakat baharu dalam bidang seni dan muzik, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Persaingan pada malam kemuncak berlangsung menarik apabila setiap finalis menampilkan keupayaan vokal, karakter dan gaya persembahan tersendiri dalam usaha memikat hati barisan juri.

Tempat kedua menjadi milik Muhammad Hadi Hafsham Hanapi yang mempersembahkan lagu I (Who Have Nothing), lagu yang dipopularkan oleh Ben E. King. Beliau menerima trofi, wang tunai RM1,500 serta baucar produk MELILEA bernilai RM1,500.

Sementara itu, Ema Fazuana Mehat menduduki tempat ketiga menerusi persembahan lagu Cinta nyanyian Masrah Milan. Beliau membawa pulang trofi, wang tunai RM1,000 dan baucar produk MELILEA bernilai RM1,000.

Selain tiga pemenang utama, seramai 14 peserta turut menerima Anugerah Kecemerlangan sebagai pengiktirafan terhadap bakat dan persembahan yang ditampilkan sepanjang pertandingan.










Mereka ialah Che Nurulsyafika Che Roslan, Hidayat Zainal, Lee Yee Keat, Mohammad Zulhusni Saidin, Mohd Fikri Abdullah, Nuhammad Zulfeka Nasrun, Nur Diyana Jeffri, Oliver Brad Martell, Putera Jefry Sham Bin Jisham, Putera Muhaymin Bin Hamizan, Putra Daniel Akasha Mohd Shamsukri, Siti Nur Atikah Mohamad Asri, Wan Aqilah Sofea Wan Mohd Noor dan Nurul Ainie Muhamad.

Setiap penerima Anugerah Kecemerlangan membawa pulang trofi, wang tunai RM300 serta baucar produk MELILEA bernilai RM500.

Bagi kategori Anugerah Penampilan Terbaik, Sulaiman Ibrahim dipilih sebagai pemenang kategori lelaki, manakala Najmi Najihah Azlan memenangi kategori wanita. Kedua-duanya menerima trofi, wang tunai RM300 dan baucar produk MELILEA bernilai RM500.

Nurul Ainie Muhamad turut membawa pulang Anugerah Populariti hasil Undian Penonton dengan ganjaran trofi, wang tunai RM300 serta baucar produk MELILEA bernilai RM500.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Pengasas dan Pengerusi Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua, bersama Pengasas Bersama dan Presiden Eksekutif Kumpulan MELILEA International Group of Companies, Datuk Prof. Dr. Stella Chin.

NAS ADILA DAN DANCE CREW HANGATKAN MALAM KEMUNCAK

Kemuncak pertandingan turut diserikan dengan persembahan pembukaan dan penutup yang bertenaga daripada penyanyi jemputan, Nas Adila, bersama Dance Crew. Nas Adila merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia Musim Ke-8. Beliau juga merupakan bekas pesakit kanser yang kini menjadi jurulatih aktiviti sihat dance dan zumba. 

Persembahan tersebut menambahkan kemeriahan acara, sekali gus menghidupkan suasana sepanjang malam yang meraikan bakat dan kreativiti anak seni tempatan.



Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin turut mencuri perhatian apabila tampil menyanyi pada malam berkenaan, mencetuskan suasana mesra dalam kalangan tetamu dan penonton.

Pertandingan itu dinilai barisan juri yang berpengalaman dalam industri muzik dan hiburan, terdiri daripada Edrie Hashim, komposer, pengarah muzik, pemain gitar kumpulan Wings serta pemilik Neo Gendang Studio; Ong Peng Chu, Pengurus Pembangunan Artis SWYM Entertainment Group; Erul Samah, penyanyi dan jurulatih vokal; Amanda Imani, komposer dan penyanyi; serta Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua dan Datuk Prof. Dr. Stella Chin.

Seorang lagi tetamu undangan iaitu Kim Dong Gyun turut memeriahkan acara dengan menyampaikan lagu melayu. Beliau berasal dari Korea yang menetap di Malaysia.

KEPELBAGAIAN BAKAT JADIKAN PEMILIHAN JUARA CABARAN BESAR

Mengulas mengenai pertandingan tersebut, Ong Peng Chu berkata kepelbagaian bakat, genre muzik dan karakter vokal yang ditampilkan peserta menjadikan proses penilaian satu cabaran besar kepada barisan juri.

Menurutnya, lebih 200 peserta yang mendaftar memperlihatkan potensi dan keunikan tersendiri, dengan setiap individu mempunyai kekuatan masing-masing dari segi vokal, persembahan serta identiti muzik.

Katanya, pemilihan Heyqal sebagai juara menepati kriteria yang dicari oleh pihak juri berdasarkan kelebihan yang ditonjolkannya dari segi vokal, teknik nyanyian, penghayatan lagu dan persembahan secara keseluruhan.

Keputusan itu sekali gus memperlihatkan bahawa pertandingan berkenaan bukan sekadar menilai kekuatan suara, malah turut mengambil kira keupayaan peserta menyampaikan lagu dengan penghayatan dan persembahan yang meyakinkan.

MELILEA KOMITED MEMPERKASA BAKAT GENERASI MUDA

Datuk Prof. Dr. Alan Wong Kwai Hua berkata beliau berbangga melihat begitu ramai penyanyi berbakat di Malaysia yang berpotensi untuk melangkah lebih jauh sekiranya diberikan peluang, bimbingan dan platform yang tepat.

Menurutnya, Bintang Suara MELILEA 2026 bukan sekadar pertandingan untuk mencari juara, sebaliknya menjadi ruang kepada golongan muda untuk berani mengejar impian, menyerlahkan bakat dan membina keyakinan diri.

Beliau berkata, penganjuran program itu turut mencerminkan kepercayaan MELILEA bahawa setiap individu mempunyai potensi yang boleh dikembangkan melalui peluang serta sokongan yang sewajarnya.

“Inisiatif ini selari dengan falsafah MELILEA, ‘Transforming Lives’, serta visi kami, ‘Transforming People’s Lives, Transforming The World’. Kami percaya bahawa apabila seseorang diberikan peluang, bimbingan dan sokongan yang sewajarnya, mereka bukan sahaja dapat mengembangkan potensi diri, malah berpeluang membawa perubahan positif kepada masyarakat,” katanya.

Tambah beliau, MELILEA berharap pertandingan itu dapat diteruskan sebagai platform yang memberi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk mengasah bakat, melangkah ke hadapan dan merealisasikan impian dalam bidang seni serta muzik.

Kejayaan penganjuran Bintang Suara MELILEA 2026 mencerminkan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan bakat tempatan melalui pendekatan CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Selain menjadi medan persaingan, program itu turut memberikan peluang kepada peserta untuk menimba pengalaman, meningkatkan keyakinan diri serta memperoleh pendedahan dalam suasana persembahan profesional.

MELILEA berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan bagi membuka lebih banyak peluang kepada bakat baharu untuk berkembang dan meneroka potensi mereka dalam industri seni dan muzik.

MENGENAI MELILEA

Ditubuhkan pada 2002, MELILEA diasaskan dengan visi untuk mentransformasikan kehidupan ke arah kesihatan, kecantikan, kejayaan dan kebahagiaan.

Syarikat itu membangunkan rangkaian produk kesihatan dan kecantikan, selain menyediakan platform latihan, bimbingan serta mentoring bagi membantu individu mengembangkan potensi diri dan mencapai matlamat kehidupan.

MELILEA turut menggabungkan pendekatan gaya hidup organik dengan peluang keusahawanan, berteraskan falsafah “Transforming Lives. Creating Possibilities.”


Comments