ELLA BAKAL TUTUP TIRAI MAJLIS TERTINGGI ROCKQUEEN, YUNA DAN DATUK ZIANA ZAIN TURUT GEGARKAN UNIFI ARENA!
Selepas menghimpunkan lebih 70,000 peminat di Kuala Lumpur, Singapura dan Pulau Pinang, Ratu Rock Malaysia, Ella, bakal menutup tirai perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 menerusi konsert istimewa Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup pada 5 Disember ini di Unifi Arena, Bukit Jalil.
Lebih istimewa, konsert anjuran Hitman Solutions bersama Rockqueen itu turut menampilkan dua penyanyi wanita tersohor tanah air, Yuna dan Datuk Ziana Zain, sekali gus menjanjikan pertemuan istimewa tiga figura muzik wanita daripada latar dan generasi berbeza.
Pengumuman yang dibuat di The Saujana Hotel Kuala Lumpur pada 20 Oktober lalu itu akhirnya menjawab persoalan peminat selepas Ella memberikan bayangan mengenai hasratnya untuk mengadakan satu lagi konsert sebelum berakhirnya tahun ini.
Hasrat tersebut disuarakan Ella kepada Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, ketika meraikan penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25 minggu lalu. Perkongsian spontan itu mencetuskan keterujaan peminat yang mengharapkan perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen diteruskan dengan sebuah persembahan penutup.
Kini, impian tersebut menjadi kenyataan menerusi Sidang Penutup yang bakal melengkapkan perjalanan konsert berkenaan sepanjang 2026.
Bagi Ella, tahun ini merupakan perjalanan yang cukup bermakna apabila berpeluang bertemu dan berkongsi muzik bersama puluhan ribu peminat di tiga lokasi berbeza.
Perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen bermula dengan konsert berskala stadium di TM Stadium Nasional Bukit Jalil yang menghimpunkan 55,000 penonton, sebelum diteruskan di Singapura dengan kehadiran lebih 5,000 peminat dan Pulau Pinang yang menyaksikan 10,000 penonton hadir memberikan sokongan.
Jumlah keseluruhan melebihi 70,000 penonton itu membuktikan pengaruh Ella yang terus utuh selepas lebih empat dekad dalam industri muzik, selain memperlihatkan bagaimana karya dan legasinya kekal dekat di hati peminat pelbagai generasi.
Menurut Ella, Sidang Penutup bukan sekadar sebuah konsert tambahan, sebaliknya menjadi ruang untuk meraikan perjalanan yang telah dikongsi bersama peminat sepanjang tahun ini.
“Tahun ini memang satu perjalanan yang sangat luar biasa dan penuh makna buat Ella. Daripada peminat di TM Stadium Nasional Bukit Jalil, kemudian ke Singapura dan Pulau Pinang, Ella sangat bersyukur kerana masih diberi peluang untuk bertemu dan berkongsi muzik dengan begitu ramai peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan.
“Setiap perjalanan pasti ada penghujungnya dan setiap cerita ada bab terakhirnya. Jadi, Ella mahu Sidang Penutup menjadi satu malam yang benar-benar istimewa untuk kita semua. Ella mahu kita menutup perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen tahun ini dengan penuh kegembiraan, kasih sayang dan kenangan yang akan kita simpan sampai bila-bila. Kalau kita sudah mulakan perjalanan ini bersama, biarlah kita tutup tirainya juga bersama,” katanya.
YUNA DAN DATUK ZIANA ZAIN BERI DIMENSI BERBEZA
Kehadiran Yuna menjadi antara tarikan utama Sidang Penutup, terutama menerusi identiti muzik kontemporari dan kejayaannya membina nama di persada antarabangsa.
Gabungan Yuna dan Ella dijangka memberikan warna tersendiri kepada konsert berkenaan, mempertemukan pengaruh rock yang sinonim dengan Ratu Rock Malaysia itu bersama sentuhan muzik moden yang menjadi identiti Yuna.
Pengarah Jenama Rockqueen, Capt Azhar, berkata pemilihan kedua-dua penyanyi itu dibuat berdasarkan keunikan bakat masing-masing serta rasa saling menghargai perjalanan seni antara satu sama lain.
Sementara itu, Datuk Ziana Zain kembali sebagai artis undangan selepas membuat penampilan menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi Permata Biru di Pulau Pinang.
Kemunculannya di Kuala Lumpur memberi peluang kepada peminat yang tidak berkesempatan menyaksikan persembahan mereka di Pulau Pinang untuk menikmati gabungan istimewa tersebut secara langsung.
PEMINAT TURUT TENTUKAN TEMA DAN SENARAI LAGU
Menariknya, Sidang Penutup turut memperkenalkan konsep Audience Choice yang memberikan peluang kepada peminat untuk menentukan beberapa elemen persembahan, termasuk tema, senarai lagu dan kejutan yang bakal disajikan pada malam konsert.
Pendekatan itu menjadikan peminat sebahagian daripada perjalanan kreatif persembahan, sekali gus memperkukuh hubungan istimewa antara Ella dengan mereka yang terus menyokong perjalanan seninya.
Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D, berkata kejayaan menghimpunkan lebih 70,000 peminat sepanjang siri Majlis Tertinggi Rockqueen 2026 merupakan pencapaian bermakna buat semua pihak yang terlibat.
Menurutnya, kejayaan sesebuah konsert bukan hanya diukur berdasarkan jumlah penonton, tetapi juga makna dan impak yang dapat dibawa kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa mesej Peace. Love. Rindu dibawa melangkaui pentas persembahan, termasuk menerusi sumbangan kepada organisasi kebajikan.
Menerusi konsep Audience Choice, pihak penganjur berharap peminat dapat merasakan bahawa Sidang Penutup turut menjadi milik mereka yang telah memainkan peranan penting dalam menjayakan perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen.
MENGANGKAT LEGASI RATU ROCK MALAYSIA
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, turut merakamkan ucapan tahniah kepada Ella atas penerimaan Anugerah Sri Wirama AIM25, yang disifatkannya sebagai pengiktirafan sewajarnya terhadap sumbangan besar penyanyi itu kepada industri muzik tanah air.
Beliau berkata, kejayaan Majlis Tertinggi Rockqueen sepanjang 2026 membuktikan Ella masih mempunyai pengaruh luar biasa dan keupayaan untuk menarik puluhan ribu peminat menyaksikan persembahannya.
Kerjasama Hitman Solutions bersama Ella bermula pada 2023 menerusi Jilid Akhir: Ella Puteri Kota, diikuti Jilid Rockestra: Rockers Juga Manusia dan seterusnya Majlis Tertinggi Rockqueen.
Sepanjang kerjasama itu, pihaknya menyaksikan sendiri dedikasi dan semangat Ella dalam memastikan setiap persembahan menawarkan nilai serta pengalaman tersendiri kepada peminat.
Kini, Sidang Penutup bakal menjadi bab terakhir perjalanan Majlis Tertinggi Rockqueen bagi tahun ini, dengan sebuah malam yang bukan sahaja meraikan muzik dan legasi Ella, malah menghargai sokongan peminat yang terus berdiri teguh bersamanya.
Tiket Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Sidang Penutup akan mula dijual pada 22 Oktober 2026, dengan harga bermula RM179. Peminat boleh mendapatkan tiket menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.
Konsert tersebut dijadualkan berlangsung pada 5 Disember 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, dengan Hitman Solutions dan Rockqueen sebagai penganjur.







Comments
Post a Comment