Di sebalik kemeriahan dunia hiburan, masih ramai penggiat seni yang memerlukan perhatian dan sokongan. Menyedari hakikat itu, Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) tampil menganjurkan Hi Tea KARYAWAN, sebuah acara yang menggabungkan elemen hiburan, juadah istimewa dan usaha mengumpul dana kebajikan untuk membantu golongan karyawan yang memerlukan.
Bakal berlangsung pada 24 Oktober 2026 di STEG Hotel Kuala Lumpur, program tersebut menyasarkan kehadiran sekitar 500 tetamu. Kehadiran masyarakat, rakan industri dan pihak korporat diharap dapat menyemarakkan lagi usaha membantu karyawan seni yang berdepan kesukaran.
Menariknya, tetamu bukan sahaja bakal disajikan dengan persembahan artis, malah berpeluang menikmati kira-kira 60 jenis hidangan sepanjang majlis yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang di Level 1, STEG Hotel Kuala Lumpur.
Dengan harga penyertaan RM85 seorang, Hi Tea KARYAWAN dilihat sebagai sebuah platform yang menghubungkan tiga elemen utama iaitu hiburan, gastronomi dan kebajikan.
Antara barisan artis yang bakal membuat persembahan ialah Dato’ Ameng Spring, Rahmat Mega, Zur Eda, Helmi The Gimmick, Datin Ramziela Radzillah serta duo kembar seiras, Aishahanim.
Menurut Pengerusi KARYAWAN, Datuk Khadijah Ibrahim, pemilihan konsep hi tea dibuat bagi mewujudkan suasana yang lebih relaks dan terbuka, sekali gus memberi peluang kepada tetamu menikmati hidangan sambil berinteraksi serta beramah mesra.
“Konsep high tea dipilih kerana suasananya lebih santai dan membolehkan tetamu meluangkan masa untuk menikmati makanan, berbual serta beramah mesra tanpa terikat dengan protokol yang terlalu formal,” katanya ketika ditemui pada sidang media Hi Tea KARYAWAN di Transit @ Naan Corner, STEG Hotel Kuala Lumpur, pada 4 Oktober 2026.
Turut hadir pada sidang media berkenaan ialah Pengerusi Naan Corner, Datuk Parwiz Kausar dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shafina Parwiz; Presiden KARYAWAN, Datuk Freddie Fernandez serta artis yang terlibat dalam program berkenaan termasuk Zur Eda, Aishahanim dan Helmi The Gimmick.
Dalam perkembangan sama, Khadijah berkata penglibatan Naan Corner sebagai rakan daripada sektor makanan turut memperlihatkan bagaimana kerjasama antara dunia perniagaan dan industri seni mampu digerakkan bagi tujuan kebajikan.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Ibu Khaty berharap inisiatif sebegini dapat membuka lebih banyak ruang kepada syarikat korporat dan pemain industri lain untuk bersama-sama menyumbang kepada kesejahteraan komuniti seni, sama ada melalui bantuan kewangan mahupun penyertaan dalam program kebajikan.
“Kerjasama seumpama itu diharap dapat menggalakkan lebih banyak syarikat korporat dan pemain industri tampil menghulurkan sokongan, sama ada melalui sumbangan mahupun penyertaan dalam program yang memberi manfaat kepada komuniti seni tanah air,” katanya.
Mengenai jumlah dana yang ingin dikumpulkan pula, Ibu Khaty menjelaskan bahawa KARYAWAN belum menetapkan angka khusus kerana kutipan akan bergantung kepada sumbangan yang diterima pada hari berlangsungnya acara.
Pada masa sama, sokongan daripada golongan artis turut menjadi antara penggerak utama program berkenaan. Mereka bersedia memberikan persembahan pada kadar khas sebagai tanda solidariti terhadap rakan-rakan seperjuangan dalam industri.
“Para artis terbabit akan membuat persembahan dengan harga yang dipersetujui bersama, bukan pada harga persembahan mereka yang sebenar. Ia bukan soal untung tetapi kerana mereka sayang kepada karyawan dan menyokong apa yang kita mahu lakukan,” jelas Ibu Khaty.
Aishahanim artis kembar seiras bakal menarik anak muda ke hitea ini nanti
Komitmen sama turut dizahirkan oleh Zur Eda, Aishahanim dan Helmi The Gimmick yang menyambut baik penganjuran Hi Tea KARYAWAN. Bagi mereka, acara seperti ini memberi peluang kepada warga seni untuk saling menyokong, khususnya apabila ada rakan seperjuangan yang sedang melalui tempoh sukar.
Setiap artis yang mengambil bahagian dijangka menyampaikan sekitar tiga hingga empat lagu, merangkumi karya popular serta lagu terbaharu masing-masing.
Aishahanim, yang dianggotai Nooraisha Farizan dan Hanim Fariza, turut bakal memperkenalkan karya terbaharu mereka menerusi lagu Terlalu Cinta. Lagu ciptaan komposer Indonesia, Ade Govinda itu baru dilancarkan pada minggu lalu.
Tidak hanya memberi tumpuan kepada nama-nama yang sudah dikenali, KARYAWAN turut membuka ruang kepada pemuzik jalanan atau buskers untuk membuat persembahan pada bahagian awal acara. Langkah itu secara tidak langsung memberi peluang kepada bakat-bakat berkenaan memperkenalkan diri dan mendapatkan pendedahan dalam industri.
Lebih daripada sebuah majlis minum petang, Hi Tea KARYAWAN membawa harapan untuk mewujudkan sebuah ruang yang menemukan masyarakat, penggiat seni dan pemain korporat dalam semangat saling membantu.
Gabungan persembahan artis, pilihan sekitar 60 jenis hidangan serta misi kebajikan yang menjadi teras acara diharap dapat menarik sokongan orang ramai, sekali gus memastikan jasa dan kebajikan warga seni tanah air terus mendapat tempat.
Mereka yang berminat untuk menyertai Hi Tea KARYAWAN pada 24 Oktober ini boleh mendapatkan maklumat lanjut dan membuat tempahan menerusi talian 012-262 2020.




Comments
Post a Comment