TERPERANGKAP ANTARA SUAMI TOKSIK DAN CINTA BAHARU DALAM SEKALI LAGI, BAHAGIA
“RED FLAG” ATAU “GREEN FLAG”? DRAMA TERBAHARU iQIYI BAKAL CETUSKAN PERDEBATAN PENONTON
Ada luka yang tidak terlihat pada mata, namun diam-diam menghakis keyakinan, meruntuhkan harga diri dan membuat seseorang terlupa akan siapa dirinya sendiri. Dalam sebuah perkahwinan, cinta seharusnya menjadi tempat pulang, tetapi tidak semua kisah berakhir dengan bahagia. Ada yang terpaksa pergi setelah terlalu lama bertahan, lalu belajar berdiri semula dengan hati yang masih dipenuhi serpihan masa lalu.
‘Bagaimana jika lelaki yang pernah berjanji untuk melindungi kita sebenarnya menjadi punca kita kehilangan diri sendiri dan bagaimana pula jika seseorang yang tidak pernah datang sebagai “penyelamat” memilih untuk memahami, menghargai dan memberikan ruang untuk kita bangkit semula?’
Persoalan inilah yang menjadi tunjang kepada Sekali Lagi, Bahagia, drama keluarga dan romantik terbaharu di iQIYI yang mengangkat kisah penuh emosi tentang perceraian, stigma masyarakat, keibubapaan, trauma serta peluang kedua dalam kehidupan.
Terbitan Orange Tree dan diarahkan oleh Jamal Khan, Sekali Lagi, Bahagia bakal menemui penonton bermula 25 September 2026 menerusi 12 episod berdurasi 30 minit setiap satu. Drama ini menampilkan gandingan mantap Zara Zya sebagai Ekin, MK K-Clique sebagai Han dan Izzue Islam sebagai Remy.
Lebih daripada sekadar kisah cinta tiga segi, naskhah ini membawa penonton menyelami perjalanan seorang wanita yang pernah berada di titik paling rendah dalam hidupnya sebelum bangkit mendapatkan semula suara, maruah dan identitinya.
Kekuatan Sekali Lagi, Bahagia terletak pada kisahnya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini. Ia menyentuh pelbagai isu yang sering berlaku dalam diam seperti perceraian, stigma terhadap ibu tunggal, hubungan toksik, penderaan emosi serta perebutan hak penjagaan anak.
Menurut pengarahnya, Jamal Khan, drama ini bukan sekadar memaparkan konflik kekeluargaan biasa, sebaliknya mengetengahkan perjalanan manusia yang belajar daripada kesilapan dan berusaha menjadi lebih baik.
“Sekali Lagi, Bahagia bukan sekadar kisah mencari cinta baharu, tetapi tentang manusia yang melakukan kesilapan dan bagaimana mereka memilih untuk belajar serta memperbaikinya,” katanya.
Tambah beliau, walaupun menyentuh isu-isu berat, drama ini tetap disulami elemen cinta, humor dan sisi kemanusiaan yang menjadikan ceritanya lebih dekat dengan penonton. Setiap watak melalui proses pembelajaran sendiri sebelum membuat pilihan yang lebih baik dalam hidup.
Bagi Zara Zya yang menggalas watak Ekin, cabaran terbesar adalah memastikan perkembangan karakter tersebut terasa jujur dan bersebab.
“Secara peribadi, cabaran sebagai Ekin adalah memastikan setiap perubahan yang berlaku terasa natural. Ekin tidak tiba-tiba menjadi wanita yang kuat. Dia melalui pelbagai pengalaman yang mengubah cara dia melihat dirinya sebagai seorang isteri, ibu dan wanita yang berhak menentukan kehidupannya sendiri,” ujar Zara.
Sementara itu, MK K-Clique yang membawakan watak Han, seorang lelaki yang boleh dianggap sebagai ‘green flag’, mengakui wataknya turut mempunyai cabaran tersendiri.
“Saya mengambil pendekatan untuk melakukan semuanya secara jujur dan ikhlas supaya setiap emosi dan tindakan Han kelihatan natural di setiap lapisan watak,” katanya.
Berbeza pula dengan Izzue Islam yang memegang watak Remy, seorang suami yang sering dilabel sebagai ‘red flag’. Sebagai antagonis, beliau melakukan kajian mendalam bagi memahami psikologi watak tersebut agar setiap tindakannya kelihatan realistik dan tidak dibuat-buat.
Sekali Lagi, Bahagia mengisahkan Ekin yang terpaksa berdepan stigma masyarakat selepas perceraian, selain perlu memulakan hidup dari bawah apabila sumber kewangannya disekat.
Daripada seorang suri rumah yang selama ini seolah-olah kehilangan identiti sendiri, Ekin perlahan-lahan membina semula kehidupannya sebagai wanita berdikari dan usahawan yang berjaya.
Menjadikan kisah ini lebih dekat dengan realiti, drama ini turut menyentuh cabaran keibubapaan bersama bekas pasangan yang toksik serta bagaimana trauma yang dialami orang dewasa boleh meninggalkan kesan mendalam terhadap anak-anak.
Persoalannya, selepas melalui sebuah perkahwinan yang membuatkan dirinya kehilangan arah dan harga diri, adakah Ekin masih berhak memilih kebahagiaannya sendiri?
Dan apabila cinta hadir daripada seorang lelaki yang lebih muda, adakah masyarakat akan melihatnya sebagai peluang kedua untuk bahagia, atau sekadar satu lagi alasan untuk menghukum seorang wanita?
Dengan jalan cerita yang dekat dengan kehidupan sebenar serta karakter yang mampu mengundang rasa cinta, marah, simpati dan perdebatan, Sekali Lagi, Bahagia wajar diberikan perhatian dan dimasukkan dalam senarai wajib tonton penonton tempatan.
Menambah kemeriahan pelancarannya, Mentos Yes To Fresh tampil sebagai penaja dan rakan kolaborasi kempen bersama iQIYI dalam usaha menyokong kandungan tempatan serta mendekatkannya dengan penonton Malaysia.
Saksikan kisah Ekin, Han dan Remy dalam Sekali Lagi, Bahagia bermula 25 September 2026, hanya di iQIYI.
Comments
Post a Comment