Ada perpisahan yang tidak berlaku kerana sudah tiada rasa, tetapi kerana hati akhirnya mengerti bahawa tidak semua yang dipertahankan akan terus menghargai sebuah pengorbanan.
Barangkali itulah rasa yang cuba diterjemahkan Nabila Razali menerusi karya terbaharunya, Cukup Sampai Sini iaitu sebuah lagu yang hadir membawa cerita tentang keberanian melepaskan, ketika sebuah hubungan tidak lagi memberi ruang untuk dihargai.
Lebih daripada sekadar single baharu, karya ini mencatat satu detik istimewa dalam perjalanan seni Nabila apabila penyanyi dan pelakon popular tanah air itu buat julung kalinya tampil sebagai pencipta lagu.
Pada usia 34 tahun, Nabila membuka satu lagi sisi dalam dirinya sebagai seorang karyawan seni, membuktikan bahawa perjalanan seorang penyanyi tidak pernah terhenti pada suara yang didengar, sebaliknya terus berkembang melalui pengalaman, emosi dan keberanian mencuba sesuatu yang baharu.
Diterbitkan di bawah naungan Nabila Razali Entertainment dan Malika Entertainment, dengan edaran rasmi oleh Sony Music Entertainment, Cukup Sampai Sini memperlihatkan sisi Nabila yang lebih matang, bukan sahaja dari segi penghayatan, malah menerusi perkembangan vokalnya.
Lagu ini membawa kisah seseorang yang sampai pada satu titik dalam hidup apabila segala keikhlasan dan usaha dalam mempertahankan hubungan tidak lagi dihargai. Dalam keadaan sedemikian, melepaskan akhirnya menjadi pilihan yang lebih jujur terhadap diri sendiri.
Namun, Cukup Sampai Sini tidak sekadar berkisar tentang sebuah hubungan yang berakhir.
Di sebalik judulnya yang ringkas, tersimpan mesej tentang nilai diri, keberanian dan kesejahteraan emosi. Ada masanya seseorang perlu berhenti mengejar sesuatu yang tidak lagi seiring dengan dirinya. Ada waktunya juga, berkata “cukup” bukan bererti menyerah, tetapi memilih untuk tidak terus kehilangan diri sendiri.
Mungkin kerana itu juga lagu ini terasa dekat dengan kehidupan. Hampir setiap orang pernah berada pada persimpangan yang memerlukan mereka membuat pilihan antara terus bertahan atau melangkah pergi. Tidak semua perpisahan hadir dengan kebencian, dan tidak semua keputusan untuk meninggalkan sesuatu bermakna rasa itu sudah hilang.
Sebaliknya, ada perpisahan yang lahir daripada kesedaran bahawa diri sendiri juga berhak untuk dihargai.
Buat Nabila, Cukup Sampai Sini menjadi ruang untuk menyampaikan emosi tersebut menerusi perspektif yang lebih dekat dengan dirinya. Tanggungjawab sebagai pencipta lagu memberikan dimensi baharu kepada perjalanan muziknya, sekali gus memperlihatkan perkembangan seorang artis yang semakin berani meneroka kemampuan kreatif di luar ruang persembahan.
Keistimewaan karya ini turut diserikan menerusi Muzik Video (MV) Rasmi Cukup Sampai Sini yang menghimpunkan barisan selebriti dan rakan artis popular tanah air.
Antara yang tampil ialah Ain Edruce, Yaya Zahir, Siti Khadijah, Adriana Adnan, Riena Diana, Fadhli Masoot, Kahoe Hon dan Tengku Ratu, selain ramai lagi.
Kehadiran mereka memberikan warna tersendiri kepada visual lagu, melengkapkan perjalanan cerita yang ingin disampaikan menerusi karya tersebut.
Bagi Nabila, mungkin Cukup Sampai Sini adalah sebuah permulaan tapi bukan noktah.
Sebuah permulaan untuk mengenali dirinya bukan hanya sebagai penyanyi dan pelakon, tetapi juga sebagai pencipta yang mempunyai cerita sendiri untuk dilagukan.
Dan seperti judulnya, apabila sampai pada satu titik yang memerlukan keberanian untuk melepaskan, mungkin tiada lagi yang perlu dipaksa.
Cukup sampai sini.
Cukup Sampai Sini kini boleh didengarkan di pelbagai platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music, manakala Muzik Video Rasmi lagu tersebut boleh ditonton menerusi saluran YouTube rasmi Nabila Razali.
#NabilaRazali


Comments
Post a Comment