MIBS 2026 BAKAL HIMPUNKAN 700 PAMERAN, SASAR 10,000 PELAWAT DAGANGAN DI KLCC
KUALA LUMPUR, 29 September 2026 – Malaysia International Branding Showcase (MIBS) kembali untuk edisi ke-21 apabila MIBS 2026 dijadual berlangsung pada 3 hingga 5 Disember 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform perniagaan antarabangsa yang menghubungkan jenama, pengeluar, pembeli dan pengedar dari Malaysia serta pelbagai negara serantau.
Acara yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 6 petang itu dianjurkan bersama oleh Malaysia Promas International Business Society (PROMAS) dan Dewan Perniagaan Usahawan Malaysia (DPUM), dengan sokongan Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta lebih 60 persatuan perdagangan dan organisasi perniagaan tempatan dan antarabangsa.
Menurut Honorary Life President Malaysia Promas International Business Society, Lady Puan Sri Dr Susan Cheah, MIBS sejak lebih dua dekad lalu berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan perniagaan dengan pasaran baharu serta membuka peluang kerjasama rentas sempadan.
Beliau berkata dalam persekitaran perniagaan global yang semakin kompetitif, syarikat bukan sahaja memerlukan produk berkualiti, malah memerlukan rangkaian strategik, pembeli, pengedar dan rakan niaga yang mampu membantu mereka berkembang ke pasaran antarabangsa.
“Dengan kedudukan strategik Malaysia di tengah-tengah Asia Tenggara, MIBS menyediakan platform yang bernilai untuk syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka peluang di pasaran ASEAN yang lebih luas.
“Nilai sebenar sesebuah pameran bukan hanya terletak pada jumlah gerai atau pengunjung, tetapi pada hubungan perniagaan bermakna yang terjalin dan peluang yang berjaya diwujudkan,” katanya pada sidang media MIBS 2026 di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
MIBS 2026 dijangka menampilkan lebih 700 ruang pameran dengan penyertaan syarikat dan delegasi dari Malaysia, Jepun, Korea Selatan, India, Taiwan, Indonesia, Singapura, Bangladesh serta beberapa wilayah di China termasuk Zhejiang, Jilin dan Bozhou.
Sepanjang tiga hari penganjurannya, acara itu disasarkan menarik kira-kira 10,000 pelawat perdagangan dan perniagaan dari dalam serta luar negara.
Pelbagai sektor pengguna dan perdagangan akan diketengahkan termasuk kesihatan dan kesejahteraan, kecantikan, makanan dan minuman, budaya teh, elektronik pengguna, produk pintar, fesyen dan tekstil, barangan kulit, hadiah dan produk pengguna serta kelengkapan dekorasi rumah.
Bagi memperkukuhkan jaringan perniagaan, MIBS 2026 turut menampilkan pelbagai sesi padanan perniagaan yang menghubungkan pembeli profesional tempatan dan antarabangsa secara langsung dengan peserta pameran. Inisiatif itu dijangka membuka lebih banyak peluang kerjasama antara pengeluar, pengimport, pengeksport, pengedar dan pemilik jenama.
Selain itu, program khas pembeli turut diperkenalkan dengan kerjasama persatuan perdagangan dan organisasi perniagaan di seluruh negara. Kumpulan pembeli yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 25 peserta akan menikmati kemudahan pengangkutan bas dua hala secara percuma, manakala pembeli korporat yang layak akan menerima penginapan satu malam di hotel bertaraf tiga bintang.
MIBS 2026 juga bakal dimeriahkan dengan pelbagai forum dan sesi padanan perniagaan khusus seperti Malaysia International Traditional & Complementary Health Forum (MTH 2026), Malaysia Tea Culture Forum 2026, Malaysia International Lighting & Electronics Business Matching 2026, Zhejiang Export Products (Malaysia) Business Matching 2026 serta Jilin Export Products & Taiwan Select Business Matching 2026.
Majlis perasmian rasmi MIBS 2026 akan berlangsung pada pagi 3 Disember 2026 dengan kehadiran wakil agensi kerajaan, pejabat perdagangan asing di Malaysia, persatuan perniagaan tempatan dan antarabangsa, rakan strategik serta komuniti perniagaan.
Melalui gabungan pameran, sesi padanan perniagaan dan perkongsian industri, MIBS 2026 menyasarkan untuk memperkukuhkan hubungan antara syarikat Malaysia dan antarabangsa selain membantu perniagaan meneroka peluang baharu di Malaysia dan rantau ASEAN.
Penganjur turut mengalu-alukan penyertaan pemimpin perniagaan, usahawan, pembeli serta profesional perdagangan dari seluruh dunia untuk bersama-sama meneroka peluang baharu, memperluaskan rangkaian dan mengukuhkan kerjasama rentas sempadan di KLCC pada 3 hingga 5 Disember 2026.



Comments
Post a Comment