Mansur & Liu: Hikayat Agung Kesultanan Melaka Kembali Bernyawa di Pentas Istana Budaya

Tatkala lembaran sejarah sering dibaca melalui kitab dan hikayat lama, sebuah karya teater muzikal berskala besar hadir menghidupkan semula antara kisah paling agung dalam Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Teater Muzikal Mansur & Liu bukan sekadar sebuah pementasan, tetapi sebuah perjalanan merentasi zaman yang membawa penonton menyaksikan keagungan Kesultanan Melaka, kehalusan diplomasi serta jalinan hubungan antara dua tamadun besar dunia.

Dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 10 hingga 20 September 2026, karya ini mengangkat kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dari Dinasti Ming dalam sebuah persembahan yang menggabungkan sejarah, budaya, muzik dan teater secara penuh dramatik dan imersif.

Lebih istimewa, Mansur & Liu menandakan debut maestro seni tanah air, Dato’ M. Nasir sebagai sutradara teater muzikal. Dengan sentuhan kreatif beliau, kisah bersejarah ini dihidupkan dalam bentuk yang segar dan kontemporari tanpa menghilangkan roh warisan Melayu yang menjadi tunjang penceritaannya.

Untuk menghidupkan dua watak utama yang menjadi nadi kepada hikayat ini, Roman Abadi yang diterajui Dato’ M. Nasir dan Datin Marlia Musa bersama Icon Entertainment memilih Alif Aziz sebagai Sultan Mansur Shah, manakala Melinda Dadew diberi kepercayaan membawa watak Puteri Liu.

Gabungan kedua-dua pelakon ini dijangka memberikan dimensi baharu kepada kisah yang suatu ketika dahulu menjadi simbol hubungan diplomatik antara Melaka dan China. Melalui penceritaan yang penuh emosi dan visual yang memukau, penonton dibawa menyelami sebuah era yang menyaksikan kebijaksanaan mengatasi kekuatan serta diplomasi mengatasi sengketa.

Turut memperkuatkan pementasan ini ialah barisan pelakon berpengalaman termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot, Anas Ridzuan, Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad yang bakal menghidupkan suasana istana, bala tentera, dayang serta pelbagai watak penting dalam naratif Kesultanan Melaka.

Menurut wakil Icon Entertainment, Iman Tang, lebih 30 lagu dan skor muzik asli ciptaan Dato’ M. Nasir menjadi nadi kepada keseluruhan penceritaan. Susunan muzik yang menggabungkan elemen tradisional Melayu dengan sentuhan orkestra kontemporari menjadikan setiap babak mengalir indah seperti bait-bait syair yang hidup di atas pentas.

Namun, Mansur & Liu bukan sekadar kisah percintaan. Di sebalik pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, terselit nilai tentang maruah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, kesetiaan kepada tanah air serta keindahan hubungan antara dua tamadun yang saling menghormati. Ia turut mengangkat tema kepimpinan, perpaduan dan warisan budaya yang masih relevan hingga ke hari ini.

Pementasan ini juga menjanjikan pengalaman visual yang luar biasa apabila elemen cahaya, bunyi, tari, busana, seni bina pentas dan teknologi moden digabungkan bagi menghidupkan semula kemegahan Kesultanan Melaka. Penonton bukan sahaja menyaksikan sebuah cerita, malah seolah-olah dibawa kembali ke zaman kegemilangan empayar Melayu yang pernah menjadi pusat perdagangan dan tamadun terkemuka dunia.

Seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur & Liu turut membawa misi lebih besar iaitu memperkenalkan warisan sejarah dan kesenian Melayu kepada khalayak tempatan serta antarabangsa melalui bahasa seni persembahan yang indah dan merentas zaman.

Lebih daripada sebuah teater muzikal, Mansur & Liu merupakan sebuah warkah daripada masa silam kepada generasi hari ini. Ia mengingatkan bahawa bangsa yang mengenang sejarahnya akan sentiasa menemukan jalan pulang kepada jati dirinya.

Tiket pementasan boleh didapati menerusi Ticket2U dengan harga bermula RM88 hingga RM408 mengikut kategori tempat duduk. Untuk pencinta seni, sejarah dan budaya Melayu, Mansur & Liu merupakan sebuah persembahan yang tidak harus dilepaskan.


Comments