Ketika Skrin Menjadi Pengasuh Moden, PRISTIN Lancar Kempen Screen-Free Futures Lindungi Kanak-Kanak Malaysia




Dalam era yang menyaksikan teknologi digital menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, cabaran untuk mengekalkan keseimbangan antara dunia maya dan realiti semakin menjadi perhatian, khususnya dalam kalangan kanak-kanak. Di sebalik kemudahan yang ditawarkan teknologi, timbul keperluan untuk memastikan generasi muda terus menikmati ruang untuk bermain, berinteraksi, meneroka dan membina hubungan bermakna bersama keluarga. Berlandaskan kesedaran inilah, Holista Biotech Sdn Bhd menerusi jenama PRISTIN mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan kanak-kanak Malaysia pada masa hadapan.

Sempena ulang tahun ke-25 jenama PRISTIN, Holista Biotech Sdn Bhd melancarkan kempen advokasi kebangsaan bertemakan Screen-Free Futures: Protecting Malaysia’s Children yang membawa mesej jelas tentang kepentingan mewujudkan keseimbangan antara dunia digital dan kehidupan sebenar. Kempen ini menggalakkan keluarga, sekolah serta komuniti untuk bersama-sama memberi lebih banyak ruang kepada kanak-kanak untuk bermain, bergerak aktif, berehat dan membina hubungan yang lebih erat dengan ahli keluarga.

Majlis dimulakan dengan persembahan tarian senaman dari kanak kanak Kindergarten yang penuh bersemangat dan aktif. 

Pelancaran kempen berkenaan turut mendapat sokongan Kementerian Kesihatan menerusi ucaptama yang disampaikan melalui rakaman video oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa usaha membina sebuah negara yang sihat bukan sekadar bergantung kepada sistem kesihatan, malah bermula dari rumah, sekolah dan tabiat harian setiap keluarga.

Menurut beliau, kerajaan telah mengambil langkah penting dalam mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat apabila kanak-kanak bawah usia 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial sejak Jun lalu menerusi pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian. Namun, usaha tersebut perlu disusuli dengan kesedaran untuk mewujudkan gaya hidup yang lebih sihat, memandangkan penggunaan skrin yang berlebihan sering mengorbankan waktu tidur, masa bermain di luar rumah serta peluang untuk berinteraksi bersama keluarga.

Beliau turut mengingatkan bahawa peranan ibu bapa kekal sebagai faktor paling penting dalam membentuk tabiat anak-anak. Dalam nada yang menyentuh hati, beliau menyeru keluarga untuk menyimpan telefon bimbit buat seketika, meluangkan masa bersama dan menikmati keindahan dunia di sekeliling mereka.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Avenue K, Kuala Lumpur itu menghimpunkan pelbagai pihak yang berkongsi matlamat sama dalam memperjuangkan kesejahteraan kanak-kanak. Hadir sama ialah wakil komuniti perubatan, pendidik awal kanak-kanak, rakan peruncitan dan pengamal media. Turut menyampaikan ucapan ialah Presiden Persatuan Kesihatan Integratif Malaysia (MIHA), Prof. Dr. Selvam; Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Sivanaesan A/L Letchumanan; serta Pengetua Tadika Graceful Hands, Cik Paggie Yan. Suasana majlis turut diserikan dengan persembahan khas oleh murid-murid tadika berkenaan.

Dalam ucapan pembukaannya, Ketua Digital Holista Biotech, Adham Zahyn mengajak hadirin merenung satu realiti yang semakin ketara dalam kehidupan moden. Katanya, ramai kanak-kanak hari ini lebih pantas menggeser skrin telefon berbanding memegang pensel untuk menulis, malah ada yang lebih mahir membuka kunci telefon pintar daripada mengikat tali kasut sendiri.

Menurut beliau, tanpa disedari, skrin telah mengambil pelbagai peranan dalam kehidupan keluarga moden menjadi pengasuh, taman permainan dan juga teman ketika waktu makan. Namun beliau menegaskan bahawa fenomena itu bukanlah kesalahan ibu bapa semata-mata, sebaliknya realiti dunia digital yang dibina bersama oleh masyarakat hari ini.

“Ini bukan tentang menyalahkan sesiapa. Ini adalah realiti yang sedang kita hadapi. Tetapi realiti bukan bermaksud kita tidak boleh mengubahnya,” katanya.

Beliau turut mengakui bahawa sebagai individu yang bertanggungjawab menguruskan platform digital syarikat termasuk laman web, TikTok, Facebook dan Instagram, beliau memahami bagaimana teknologi direka untuk menarik dan mengekalkan perhatian pengguna selama mungkin.

“Setiap hari saya bekerja dengan skrin. Tugas saya adalah memastikan kandungan digital mendapat perhatian pengguna. Jika orang dewasa pun sukar melepaskan diri daripada skrin, bayangkan bagaimana kesannya kepada kanak-kanak berusia empat tahun,” ujarnya.

Katanya lagi, isu penggunaan skrin berlebihan tidak lagi boleh dianggap sebagai tanggungjawab ibu bapa semata-mata. Sebaliknya, ia memerlukan penglibatan menyeluruh daripada pemimpin kesihatan, pendidik, pembuat dasar dan sektor korporat yang benar-benar prihatin terhadap masa depan generasi akan datang.

Menyedari hakikat itu, Holista mengambil langkah lebih proaktif dengan menjadi rakan pengasas kempen nasional tersebut. Sebagai syarikat kesejahteraan yang telah bertapak di Malaysia selama beberapa dekad dan menerusi jenama PRISTIN yang menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga Malaysia selama 25 tahun, Holista percaya kepercayaan pengguna membawa tanggungjawab yang jauh lebih besar daripada sekadar menghasilkan produk berkualiti.

“Pemakanan yang baik membantu tumbesaran kanak-kanak, tetapi pemakanan sahaja tidak mencukupi untuk melindungi zaman kanak-kanak mereka. Tabiat harian, persekitaran dan masa yang diluangkan jauh daripada skrin juga memainkan peranan yang sama penting,” katanya.

Kempen Screen-Free Futures diwujudkan bagi menyokong Keutamaan Strategik 8 dalam Dasar Kanak-Kanak Negara 2026–2030 yang menekankan penggunaan internet yang selamat dan sesuai untuk kanak-kanak, selain mendukung Objektif 3 dasar berkenaan yang memberi fokus kepada pembangunan holistik kanak-kanak dari aspek fizikal, kognitif, bahasa, sosioemosi, peribadi dan spiritual.

Menurut Adham, pembangunan holistik tidak mungkin tercapai sekiranya sebahagian besar masa lapang kanak-kanak dihabiskan di hadapan skrin. Sebaliknya, kanak-kanak perlu diberi peluang untuk membaca, bermain, berlari, berinteraksi dan menikmati tidur yang berkualiti bagi menyokong perkembangan mereka secara menyeluruh.

Pengarah Holista Biotech, Dato Dr. Rajen M berkata, selama dua dekad setengah PRISTIN telah menjadi sebahagian daripada kehidupan keluarga Malaysia dan kepercayaan yang diberikan oleh pengguna dilihat sebagai satu amanah yang perlu diterjemahkan melalui sumbangan yang lebih bermakna kepada masyarakat.

Beliau menjelaskan bahawa Screen-Free Futures bukan sekadar sebuah kempen korporat, sebaliknya satu gerakan yang mengajak semua pihak untuk bersama-sama memikirkan masa depan generasi akan datang. Justeru, Holista membuka ruang kerjasama kepada syarikat, institusi pendidikan dan organisasi komuniti yang berkongsi aspirasi sama dalam usaha melindungi kesejahteraan kanak-kanak.

Kempen ini turut menyediakan panduan dan langkah praktikal yang boleh diamalkan oleh ibu bapa dalam kehidupan seharian. Antaranya ialah memperkenalkan tempoh bebas skrin secara konsisten di rumah bagi memberi ruang kepada anak-anak meneroka dunia sebenar, berinteraksi dengan keluarga dan mengembangkan imaginasi mereka.

“Ini bukan tentang menolak teknologi. Teknologi akan terus menjadi sebahagian daripada masa depan anak-anak kita. Apa yang penting ialah kita mengawal teknologi, bukannya membiarkan teknologi mengawal kita,” katanya.

Beliau percaya masa bebas skrin mampu mengembalikan sesuatu yang sangat berharga kepada kanak-kanak dan perhatian, rasa ingin tahu, kreativiti, imaginasi dan hubungan yang lebih erat dengan keluarga.

Ketika dunia semakin bergerak pantas ke arah digitalisasi, kempen Screen-Free Futures hadir sebagai satu peringatan bahawa zaman kanak-kanak tidak seharusnya dihabiskan sepenuhnya di hadapan skrin. Sebaliknya, ia wajar dipenuhi dengan gelak tawa, permainan, aktiviti fizikal, penerokaan dan detik-detik bermakna bersama insan tersayang yang akan kekal menjadi kenangan sepanjang hayat.

Credit photo:MegatzReview

Comments