CIPTA FENOMENA! VIU ORIGINAL CELA RAMPAS TAKHTA #1, CECAH 50 JUTA TONTONAN 2. CELA MENGGANAS DI VIU! LONJAK KE #
VIU ORIGINAL CELA LONJAK KE #1, DOMINASI CARTA VIU MALAYSIA DENGAN LEBIH 50 JUTA TONTONAN
KUALA LUMPUR, 25 Ogos 2026 – Bahang drama tempatan semakin hangat apabila Viu Original Cela mencetuskan fenomena tersendiri dengan melonjak ke tangga #1 di Viu Malaysia, hasil prestasi tontonan luar biasa sejak hari pertama tayangan.
Bukan sekadar mencuri perhatian penonton di platform penstriman, fenomena Cela turut merebak ke media sosial apabila kandungan berkaitan siri romantik gelap dan thriller psikologi itu berjaya meraih lebih 50 juta tontonan dalam tempoh kurang seminggu selepas tayangan.
Angka berkenaan direkodkan berdasarkan data Meta & TikTok Analytics, sekali gus membuktikan bahawa Cela bukan sahaja berjaya menarik penonton untuk mengikuti jalan ceritanya, malah mencetuskan perbualan dan keterujaan dalam kalangan pengguna media sosial.
Lebih menarik, Cela tampil dengan gandingan sulung Nabila Huda dan Hun Haqeem sebagai teraju utama, menawarkan kombinasi lakonan yang pastinya menjadi antara tarikan utama siri ini.
Turut membintangi siri berkenaan ialah Zarif Ghazzi, Ellyza Azizi, Datuk Seri Eizlan Yusof, Lisdawati dan Zain Saidin, manakala lagu tema rasmi, Sejambak Bunga, dinyanyikan oleh penyanyi terkenal Ernie Zakri.
Cinta Dalam Sekam Kekal Di Tangga #2
Dalam pada Cela mengambil alih kedudukan teratas, Cinta Dalam Sekam pula masih kukuh di tangga #2 di Viu Malaysia, biarpun siri berkenaan telah melabuhkan tirai pada 21 Ogos lalu.
Kedudukan kedua-dua siri ini memperlihatkan momentum tontonan yang semakin positif buat Viu Malaysia, khususnya apabila penonton kini boleh menonton keseluruhan musim Cinta Dalam Sekam secara binge-watch, sambil mengikuti episod baharu Cela yang disiarkan setiap minggu.
Situasi ini turut memberikan pilihan kepada penonton untuk menghabiskan kisah penuh Cinta Dalam Sekam sebelum meneruskan keterujaan mengikuti perkembangan episod demi episod Cela.
Dua Siri Teratas, Satu Rumah Produksi
Apa yang lebih menarik, kedua-dua karya yang kini menghuni dua tangga teratas carta Viu Malaysia itu mempunyai satu persamaan — kedua-duanya diterbitkan oleh Global Film Station Sdn. Bhd. di bawah arahan Feroz Kader.
Pencapaian tersebut sekali gus menyerlahkan keupayaan produksi tempatan dalam menghasilkan karya yang mampu menampilkan kepelbagaian genre, daripada drama sentimental berlatarkan era 1980-an menerusi Cinta Dalam Sekam, hinggalah thriller psikologi moden yang penuh misteri menerusi Cela.
Kejayaan ini juga memperlihatkan bahawa kandungan tempatan terus mempunyai tempat yang kuat dalam hati penonton apabila digarap dengan jalan cerita, karakter dan persembahan yang mampu mencetuskan rasa ingin tahu.
Jangan Lepaskan Cela Di Viu
Bagi peminat drama yang gemarkan kisah romantik dengan sentuhan gelap dan elemen thriller psikologi, Cela pastinya antara naskhah yang wajar dimasukkan dalam senarai tontonan.
Viu Original Cela kini bersiaran secara eksklusif di Viu dengan episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.
Sementara itu, kesemua episod Cinta Dalam Sekam juga boleh distrim sepenuhnya di Viu untuk penonton yang mahu menikmati kisahnya secara maraton.
Dengan Cela kini menduduki takhta #1 dan Cinta Dalam Sekam terus bertahan di kedudukan #2, persaingan drama tempatan di platform penstriman ternyata semakin menarik untuk diikuti.

Comments
Post a Comment