Le Méridien Putrajaya Rai Sedekad Kecemerlangan, Terus Perkasa Putrajaya Sebagai Destinasi Pilihan
PUTRAJAYA, 28 Ogos 2026 – Hotel gaya hidup bertaraf antarabangsa, Le Méridien Putrajaya, meraikan ulang tahun ke-10 menerusi majlis eksklusif 10 Years of Excellence Anniversary Soirée, menandakan satu dekad kejayaan dalam menawarkan pengalaman hospitaliti, gaya hidup dan penemuan yang tidak dapat dilupakan kepada para tetamu.
Majlis penuh bermakna itu diserikan dengan kehadiran Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Yang Berusaha Encik Chua Choon Hwa, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOI Properties Group, Dato’ Lee Yeow Seng, selain wakil-wakil daripada Marriott International, IOI Properties Group, rakan strategik dan tetamu jemputan.
Sejak membuka pintunya sedekad lalu, Le Méridien Putrajaya telah berkembang daripada sebuah hotel premium kepada destinasi gaya hidup bersepadu yang menggabungkan penginapan, sajian gastronomi, acara korporat, majlis perkahwinan dan aktiviti riadah. Kedudukannya yang bersambung terus dengan IOI City Mall, pusat beli-belah terbesar di Malaysia, menjadikannya pilihan utama pelancong domestik dan antarabangsa yang ingin meneroka Putrajaya dengan lebih mudah dan selesa.
Pencapaian hotel ini turut diperakui menerusi dua pengiktirafan berprestij pada tahun ini, iaitu Best Lifestyle Hotel Experience di Tourism Industry Awards 2026 serta anugerah Best Specialty Cuisine Restaurants untuk restoran Cina signaturnya, Le Mei, di HAPA® Awards 2026 Series 2.
Menurut Pengurus Besar Le Méridien Putrajaya, Sonal Malik, kejayaan tersebut merupakan hasil sokongan berterusan daripada para tetamu, rakan strategik dan warga kerja hotel.
“Sepanjang sepuluh tahun lalu, kami berpeluang menjadi sebahagian daripada pelbagai detik istimewa tetamu kami, sama ada untuk penginapan, pengalaman menjamu selera, pertemuan bermakna mahupun acara penting dalam kehidupan mereka. Setiap pengalaman itu membentuk kisah kami dan menjadi inspirasi untuk terus meningkatkan standard hospitaliti pada masa hadapan,” katanya.
Sebagai menghargai individu yang menjadi tunjang kejayaan hotel, majlis tersebut turut meraikan 14 kakitangan yang telah berkhidmat sejak hari pertama operasi hotel, sebelum mereka bersama tetamu kehormat menyempurnakan upacara memotong kek ulang tahun setinggi 10 tingkat yang menjadi simbolik perjalanan gemilang hotel selama satu dekad.
Menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-69, acara itu turut mengetengahkan elemen seni dan budaya tempatan yang menjadi sebahagian daripada identiti Le Méridien Putrajaya. Antara tarikan utama ialah karya seni hotel hasil sentuhan artis tempatan terkenal Nor Asyikin Abdullah (Lakar by Mekar) serta persembahan live speed painting oleh Syamsul Addenno dari OnWall Enterprise yang menggambarkan keindahan Le Méridien Putrajaya dan bandar Putrajaya dalam satu kanvas.
Memasuki dekad baharu, Le Méridien Putrajaya bertekad untuk terus memperkaya pengalaman penginapan, gastronomi dan gaya hidup, di samping memperkenalkan lebih banyak cara untuk pelancong menikmati keunikan Putrajaya.
Bagi memanjangkan sambutan ulang tahun ini, hotel turut memperkenalkan koleksi eksklusif 10th Anniversary Collection yang ditawarkan untuk tempoh terhad. Antaranya termasuk pakej Decade of Moments Stay yang merangkumi penginapan, sarapan untuk dua orang dan minum petang istimewa ulang tahun, serta The Art of 10, siri pengalaman kulinari istimewa di Le Mei, Latest Recipe dan Latitude 02.
Daripada menu degustasi 10 hidangan, dim sum istimewa, bufet ulang tahun, koktel eksklusif, éclair dan sajian minum petang bertemakan ulang tahun, para tetamu kini berpeluang menjadi sebahagian daripada sambutan sedekad kecemerlangan Le Méridien Putrajaya.
Dengan semangat Art of Travel, Joy of Living and Savouring the Good Life yang menjadi teras jenama Le Méridien, hotel ini bersedia melakar lebih banyak kejayaan dan pengalaman bermakna dalam dekad seterusnya.

Comments
Post a Comment