Kuala Lumpur Tower Run Kembali, Sky Garden Jadi Garisan Penamat Baharu





KUALA LUMPUR, 20 Ogos 2026 – Perlumbaan menara paling lama berlangsung di Malaysia kembali dengan cabaran yang lebih menarik apabila Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2026 (KLTRIC2026) bakal memperkenalkan garisan penamat baharu di Sky Garden, tarikan terbaharu Kuala Lumpur Tower yang terletak pada ketinggian 292 meter dari aras tanah.

Memasuki edisi ke-24, acara larian menara berprestij ini menyasarkan penyertaan rekod seramai 2,500 peserta dari 30 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara perlumbaan larian menara paling berpengaruh di rantau Asia.

Bertemakan “Victory is Vertical”, peserta akan berdepan cabaran menakluki 1,608 anak tangga ikonik Kuala Lumpur Tower sebelum melintasi garisan penamat yang kini menawarkan panorama menakjubkan bandar raya Kuala Lumpur dari Sky Garden.

Buat pertama kalinya dalam sejarah penganjurannya, Sky Garden dipilih sebagai lokasi penamat rasmi, memberikan pengalaman baharu yang lebih eksklusif kepada para peserta selepas berjaya mengharungi salah satu cabaran larian menara paling mencabar di Asia Tenggara.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Khairil Faizal Hj Othman, berkata penganjuran KLTRIC2026 mencerminkan komitmen Kuala Lumpur Tower dalam memperkasakan pelancongan sukan sambil menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan masyarakat.

“Selama lebih dua dekad, acara ini telah memberi inspirasi kepada ribuan peserta untuk mencabar kemampuan diri sambil mengetengahkan Kuala Lumpur Tower sebagai destinasi sukan dan pelancongan yang ikonik. Dengan sokongan Turkish Airlines sebagai Penaja Utama untuk tahun kelima berturut-turut, kami berharap dapat menyambut rekod 2,500 peserta yang bakal merasai pengalaman penamat baharu di Sky Garden,” katanya.

Enam Kategori Untuk Semua Peringkat

Turkish Airlines KLTRIC2026 akan menampilkan enam kategori pertandingan iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran, Wanita Veteran, Lelaki Kanak-Kanak dan Perempuan Kanak-Kanak, memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai peringkat umur untuk bersaing mengikut kategori masing-masing.

Selain merebut gelaran juara dan hadiah wang tunai menarik, peserta juga berpeluang mengumpul mata ranking Towerrunning World Association (TWA), menjadikan acara ini antara platform penting bagi atlet larian menara antarabangsa.

Lebih daripada sebuah pertandingan, KLTRIC2026 turut menjadi medan pertemuan atlet profesional, pelari rekreasi, keluarga dan komuniti kecergasan dalam suasana penuh semangat kesukanan dan perpaduan.

Sokong Kempen Visit Malaysia 2026

Sebagai salah satu acara utama pelancongan sukan negara, KLTRIC2026 dijangka menarik kehadiran atlet serta penyokong dari Asia, Eropah dan Australia, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan, hospitaliti dan peruncitan negara.

Penganjuran acara ini turut menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026, dengan memperkenalkan Kuala Lumpur dan Malaysia kepada komuniti larian antarabangsa.

Turkish Airlines Terus Bersama Untuk Tahun Kelima

Turkish Airlines kembali sebagai Penaja Utama buat tahun kelima berturut-turut, membuktikan komitmen jangka panjang syarikat penerbangan antarabangsa itu terhadap pembangunan sukan larian menara di Malaysia.

Naib Presiden Jualan (Timur Jauh) Turkish Airlines, Ümit Develi, berkata kerjasama tersebut selari dengan misi syarikat dalam menghubungkan masyarakat dan budaya melalui sukan.

“Sukan mempunyai kuasa untuk menyatukan masyarakat dan budaya merentasi sempadan. Ia selari dengan peranan Turkish Airlines yang menghubungkan dunia melalui rangkaian penerbangan global kami. Kami berbangga dapat terus menyokong acara yang meraikan semangat keazaman, ketahanan dan kecemerlangan ini,” katanya.

AmBank Sertai Sebagai Rakan Perbankan Rasmi

Tahun ini turut menyaksikan penyertaan AmBank Group sebagai Rakan Perbankan Rasmi buat pertama kali, menambah kekuatan kepada barisan rakan strategik yang menyokong acara berprestij tersebut.

Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran Kumpulan AmBank, Shazman Shahid, berkata penglibatan AmBank amat bermakna memandangkan ibu pejabat kumpulan itu terletak bersebelahan Kuala Lumpur Tower.

Beliau menyifatkan KLTRIC2026 sebagai platform terbaik untuk menghimpunkan peserta dari seluruh dunia sambil mempromosikan Kuala Lumpur sebagai destinasi global yang dinamik dan moden.

Turkish Airlines KLTRIC2026 turut mendapat sokongan pelbagai jenama dan organisasi terkemuka termasuk 100PLUS, MILO, Farm Fresh, Spritzer, Coffee Bean & Tea Leaf, KLIA Ekspres, Berjaya Times Square Theme Park, KL Bird Park, LaLaport dan beberapa rangkaian hotel utama di Kuala Lumpur.

Dengan pengalaman penamat baharu di Sky Garden, penyertaan antarabangsa yang semakin meningkat serta sokongan kukuh daripada pelbagai pihak, Turkish Airlines Kuala Lumpur Tower Run International Challenge 2026 dijangka menjadi antara acara pelancongan sukan terbesar dan paling dinantikan tahun ini.


Comments