ELLA CIPTA SEJARAH DI TANAH KELAHIRAN, KONSERT HOMECOMING SOLD OUT JADI HADIAH PALING BERMAKNA SEMPENA ULANG TAHUN KE-60

Pulau Pinang sekali lagi menjadi saksi kehebatan seorang legenda. Dalam suasana penuh emosi, nostalgia dan penghargaan, Ella kembali ke negeri kelahirannya menerusi Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru, yang berjaya mencatatkan tiket habis terjual di Setia SPICE Arena, Pulau Pinang pada 23 Ogos lalu.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Homecoming menjadi simbol kepulangan seorang anak seni ke tempat bermulanya perjalanan hidupnya. Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, malam istimewa itu turut membawa makna yang lebih mendalam apabila diraikan bersempena ulang tahun ke-60 Ella bersama ribuan peminat yang setia mengiringi perjalanan kariernya selama lebih tiga dekad.

Bagi peminat yang hadir, konsert ini bukan sekadar peluang menyaksikan persembahan Rockqueen Malaysia di atas pentas, tetapi juga menjadi sebuah perjalanan mengimbau kenangan bersama lagu-lagu yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka sejak dahulu.

Pulang Ke Akar, Kembali Ke Hati Peminat

Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat yang cukup istimewa dalam hati Ella. Negeri inilah yang menjadi tanah kelahirannya sebelum beliau melakar sejarah sebagai antara ikon muzik paling berpengaruh di Malaysia.

Jika kemunculan terakhirnya di Pulau Pinang menerusi konsert Jilid Akhir Ella Puteri Kota pada tahun 2023 meninggalkan kenangan tersendiri, kepulangan kali ini hadir dengan dimensi yang lebih besar menerusi jenama Majlis Tertinggi Rockqueen, sekali gus membuka lembaran baharu dalam siri konsert tersebut.

Kejayaan mencatatkan status sold out menjadikan malam itu lebih bermakna apabila peminat dari seluruh negara termasuk dari wilayah Sumatera, Indonesia hadir bagi menyaksikan sendiri pengalaman eksklusif yang ditawarkan dalam konsert berkenaan.

“Pulau Pinang sentiasa mempunyai tempat yang sangat istimewa di hati saya kerana di sinilah saya dilahirkan. Jadi apabila kita namakan konsert ini ‘Homecoming’, ia benar-benar membawa maksud pulang ke tempat awal permulaan.

“Lebih istimewa, saya dapat meraikan hari jadi bersama mereka yang dekat serta orang-orang yang saya sayangi. Melihat arena penuh malam ini merupakan satu hadiah yang sangat bermakna buat saya,” ujar Ella penuh terharu.

Sambutan Hari Jadi Yang Paling Bermakna

Sebelum tirai persembahan dibuka, suasana kemeriahan sudah mula terasa apabila Ella meluangkan masa meraikan ulang tahun kelahirannya bersama sekumpulan pemegang tiket bertuah.

Detik yang cukup peribadi itu memperlihatkan hubungan erat antara Ella dan para peminat yang telah membesar bersama karya-karyanya selama puluhan tahun. Ia menjadi pembuka kepada sebuah malam yang sarat dengan penghargaan dan kasih sayang.



Apabila lampu arena mula malap dan muzik bergema, Ella membawa penonton menyelusuri perjalanan seninya menerusi rangkaian lagu malar segar seperti Rama-Rama, Kesal, Bayangan, medley Cinta Selembut Sutera dan Retak, sebelum diteruskan dengan Tiada Tangis Lagi, Kasih serta Pedih.

Setiap lagu dinyanyikan bersama ribuan peminat yang memenuhi arena, membuktikan karya-karya Ella terus relevan dan dekat di hati pelbagai generasi.

Pertemuan Tiga Legenda Warnai Pentas Homecoming

Antara momen yang paling dinantikan malam itu pastinya kemunculan Dato’ Ramli Sarip, yang menyaksikan dua figura besar muzik rock tanah air berkongsi pentas yang sama.

Ramli Sarip memukau penonton menerusi persembahan lagu Istilah Bercinta dan Teratai sebelum bergandingan bersama Ella menerusi lagu Kembara Kita.

Kolaborasi dua legenda tersebut mencetuskan sorakan luar biasa daripada penonton dan menjadi antara kemuncak utama konsert yang akan terus dikenang.

Tidak terhenti di situ, pentas Homecoming turut diserikan dengan kemunculan istimewa Ziana Zain yang membawakan lagu ikonik Madah Berhelah sebelum bergandingan bersama Ella menerusi medley Senja Nan Merah dan Nuri.

Gabungan dua diva tersohor negara itu menghadirkan momen magis yang menyentuh hati, sekali gus membuktikan bahawa karya hebat akan terus hidup merentasi zaman.

Apabila Muzik Menjadi Platform Untuk Memberi Kembali

Di sebalik kemeriahan persembahan, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming turut membawa misi yang lebih besar menerusi kempen Peace.Love.Rindu.

Inisiatif tersebut memperlihatkan bagaimana muzik bukan sahaja mampu menyatukan manusia, malah menjadi medium untuk membantu mereka yang memerlukan.

Melalui kempen itu, RM2 daripada setiap tiket yang terjual disalurkan kepada organisasi kebajikan yang dipilih oleh pembeli tiket.

Sumbangan bagi kategori Peace disalurkan kepada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang, kategori Love kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN), manakala kategori Rindu disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Artis Tanahair.

Usaha ini selari dengan semangat yang dibawa oleh Majlis Tertinggi Rockqueen dalam menghubungkan peminat melalui muzik sambil mencipta impak positif kepada masyarakat.

Bukti Kekuatan Legasi Ella

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal, kejayaan konsert yang mencatatkan tiket habis terjual membuktikan bahawa karya artis tempatan masih mempunyai kuasa besar dalam menyatukan peminat daripada pelbagai lapisan umur.

Beliau menyifatkan Homecoming sebagai lebih daripada sekadar sebuah konsert, sebaliknya satu perayaan terhadap sejarah muzik Malaysia dan legasi yang dibina Ella sepanjang kariernya.

Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D., berkata Majlis Tertinggi Rockqueen kini berkembang menjadi satu pengalaman eksklusif yang turut dimiliki dan dihargai oleh para peminat.

Dengan berakhirnya Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming – Edisi Permata Biru, Pulau Pinang bukan sekadar menjadi lokasi sebuah konsert.

Sebaliknya, negeri itu menjadi saksi kepada kepulangan seorang anak kelahiran Pulau Pinang yang diraikan dengan penuh kasih sayang menerusi sebuah malam yang dipenuhi muzik, persahabatan, nostalgia dan penghargaan.

Dan bagi Ella, sambutan ulang tahun ke-60 yang diraikan bersama ribuan peminat setia di tanah kelahirannya sendiri mungkin menjadi antara hadiah paling indah sepanjang perjalanan seninya sebagai Rockqueen Malaysia.


Comments