Lebih 200 Peminat Serbu Watch Party ‘Cinta Dalam Sekam’, Amir Ahnaf Buat Kejutan Dengan Persembahan Sulung ‘Gadis Melayu Terakhir’
KUALA LUMPUR – Fenomena drama Cinta Dalam Sekam semakin sukar dinafikan. Selepas enam minggu mendominasi carta tontonan sebagai siri nombor satu di Viu Malaysia sejak tayangan perdananya pada 16 Julai 2026, drama berlatarbelakangkan era 1980-an itu sekali lagi membuktikan pengaruhnya apabila lebih 200 peminat membanjiri WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre untuk memeriahkan acara Watch Party Episod 11 baru-baru ini.
Acara yang berlangsung penuh meriah itu bukan sahaja memberi peluang kepada peminat menyaksikan episod terbaharu bersama barisan pelakon, malah membuka ruang untuk mereka berinteraksi secara lebih dekat dengan wajah-wajah yang menghidupkan watak kegemaran mereka di layar.
Namun, apa yang benar-benar mencuri perhatian malam itu ialah kemunculan istimewa pelakon popular, Amir Ahnaf. Tanpa diduga, Amir menghadiahkan kejutan manis kepada para peminat apabila tampil mempersembahkan single sulungnya berjudul Gadis Melayu Terakhir buat pertama kali di hadapan khalayak.
Persembahan eksklusif tersebut disambut sorakan dan tepukan gemuruh daripada para peminat yang jelas teruja melihat sisi baharu Amir dalam dunia seni hiburan. Lagu Gadis Melayu Terakhir menandakan langkah pertama beliau dalam bidang muzik dan merupakan hasil ciptaan serta penulisan lirik oleh Seow Seng Tack, Aziz Harun, Mohsein Kush dan Amir Ahnaf sendiri.
Selain Amir, acara itu turut dimeriahkan dengan kehadiran hampir keseluruhan barisan pelakon utama dan pembantu Cinta Dalam Sekam yang hadir bagi menghargai sokongan luar biasa daripada para penonton.
Antara selebriti yang memeriahkan acara termasuk Siti Khadijah Halim, Haidar Hasanudin, Razak Ahmad, Riz Amin, Husna Mustaffa, Zarynn Min, Mas Anizan, Azhar Amir, Yuna Rahim, Ainina Ahmad B, Aaliyah Natasha, Shryrim Husni dan Lan Siro.
Menjelang siaran episod akhir, keterujaan penonton dilihat semakin memuncak apabila ramai tertanya-tanya siapakah yang bakal menjadi pilihan hati Laila dan bagaimana pengakhiran kisah cinta yang penuh emosi itu akan disudahkan.
Diarahkan oleh Feroz Kader, ditulis oleh Eenaz Mokhtar dan diterbitkan oleh Global Film Station Sdn. Bhd., Cinta Dalam Sekam berjaya menambat hati penonton menerusi gabungan elemen nostalgia era 1980-an, jalan cerita yang dekat dengan kehidupan serta barisan pelakon yang berjaya menghidupkan setiap watak dengan berkesan.
Bagi mereka yang masih belum mengikuti siri ini atau ingin mengulang semula episod-episod terdahulu, kesemua episod Cinta Dalam Sekam kini boleh distrim secara eksklusif menerusi platform Viu.










Comments
Post a Comment