Air Mata, Kasih dan Doa Seorang Ibu: Karya Baharu Dato’ Khadijah Ibrahim

Dato’ Khadijah Ibrahim Kembali Dengan “Ibu Doa” Sebuah Kepulangan Yang Sarat Dengan Rasa dan Kenangan


Ada artis yang popular kerana lagu-lagunya. Ada juga artis yang dihormati kerana perjalanan seninya. Namun bagi Dato’ Khadijah Ibrahim, beliau memiliki kedua-duanya.

Pada 5 Ogos 2026, saya berpeluang menghadiri majlis pelancaran single terbaharu beliau yang berjudul Ibu Doa. Apa yang menjadikan acara ini begitu istimewa bukan sekadar pelancaran sebuah lagu baharu, tetapi kerana ia menandakan kemunculan semula seorang legenda selepas 26 tahun tidak menghasilkan karya rakaman baharu.

Bagi peminat muzik tanah air yang membesar dengan lagu-lagu seperti Doa Buat Kekasih dan Kupendam Sebuah Duka, nama Dato’ Khadijah Ibrahim sememangnya tidak asing lagi. Suaranya pernah menghiasi era kegemilangan muzik Malaysia dan sehingga hari ini, lagu-lagunya masih berkumandang di radio, dipilih dalam pertandingan nyanyian serta terus menjadi kegemaran di pusat karaoke.

Melihat beliau kembali mempersembahkan karya baharu selepas lebih dua dekad memberi satu perasaan yang sukar digambarkan. Ia seolah-olah menyaksikan sebuah legasi yang terus hidup dan berkembang, membuktikan bahawa muzik yang lahir daripada keikhlasan tidak pernah luput ditelan masa.

Sepanjang lebih lima dekad berkecimpung dalam industri hiburan, Dato’ Khadijah Ibrahim telah menghasilkan 18 album yang menghimpunkan lebih 180 lagu. Beliau juga pernah bekerjasama dengan ramai tokoh besar muzik tanah air seperti Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, Allahyarham Dato’ S. Atan, Ismail Farez dan Allahyarham Adnan Abu Hassan.

Mesra disapa sebagai “Ibu” oleh peminat dan rakan-rakan industri, gelaran tersebut ternyata begitu bertepatan dengan single terbaharunya yang membawa tajuk Ibu Doa.

Sejak mendengar kisah perjalanan dan erti mengenai lagu ini, saya dapat merasakan bahawa Ibu Doa bukan sekadar sebuah karya muzik biasa. Lagu ini membawa mesej yang sangat dekat dengan kehidupan setiap insan dan tentang kasih seorang ibu yang tidak pernah mengenal batas, pengorbanan yang sering tidak ternilai dan doa yang sentiasa mengiringi setiap langkah anak-anaknya.

Dalam dunia yang semakin pantas bergerak, karya seperti ini hadir sebagai satu peringatan bahawa di sebalik setiap kejayaan dan perjalanan hidup seseorang, ada doa seorang ibu yang sentiasa mengiringi tanpa henti.

Lagu ini diterbitkan oleh Jasmine Raj Production dengan lirik dan melodi hasil ciptaan Baizura Tazri. Menurut Baizura, beliau berharap lagu ini dapat menjadi hadiah buat semua ibu serta mengingatkan masyarakat agar sentiasa menghargai insan yang telah banyak berkorban untuk mereka.

Mesej yang dibawa begitu universal dan dekat dengan hati. Tidak kira usia, latar belakang atau status seseorang, setiap kita pasti mempunyai kisah tersendiri tentang seorang ibu.

Bagi memastikan mesej lagu ini sampai kepada pendengar dengan penuh penghayatan, Ibu Doa mendapat sentuhan Pengarah Muzik, Syam Swardy Daud yang bertanggungjawab membentuk keseluruhan landskap muzik karya ini.

Turut terlibat dalam pembikinannya ialah Ruslan Imam yang menghasilkan gubahan string, Daniel Saha di bahagian dram, Kabung (bass), Syam Swardy Daud (gitar), Johan John (piano) serta vokal latar oleh Nana, Hajar dan Jupin.

Gabungan pemuzik berpengalaman ini berjaya menghasilkan sebuah karya yang bukan sahaja indah dari sudut susunan muzik, malah mampu menyampaikan emosi yang mendalam kepada pendengar.

Apa yang paling menyentuh hati pada majlis pelancaran ini ialah melihat bagaimana figura yang telah begitu lama mewarnai industri muzik tanah air masih menerima kasih sayang yang tidak berbelah bahagi daripada peminat dan rakan-rakan industri.

Kepulangan Dato’ Khadijah Ibrahim menerusi Ibu Doa bukanlah sekadar pelancaran sebuah single baharu. Ia adalah simbol kepada sebuah perjalanan seni yang panjang, penuh dedikasi dan kecintaan terhadap muzik.

Dalam era yang sering dipenuhi dengan trend yang datang dan pergi, kemunculan semula beliau mengingatkan kita bahawa karya yang lahir daripada pengalaman, keikhlasan dan jiwa yang tulus akan sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati masyarakat.

Saya percaya Ibu Doa bukan sahaja akan menyentuh hati peminat setia Dato’ Khadijah Ibrahim, malah mampu merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu melalui mesej kasih sayang seorang ibu yang bersifat universal.

Selepas 26 tahun bergelar penyanyi ‘lagend’ dan telah dua dekad tiada ‘buah tangan’ untuk peminat beliau, kini kepulangan beliau hadir bersama sebuah lagu yang cukup bermakna sebuah penghormatan kepada insan yang paling istimewa dalam kehidupan kita, iaitu ibu.


Comments