TAK SABAR NAK RAYA! Kisah Sebelum “Raya Mana?” Lengkapkan Naratif Raya Nabila Razali
Bahagia menanti Syawal sering hadir lebih awal daripada takbir pertama. Saat Ramadan masih berbaki beberapa hari, hati sudah mula dihiasi rasa teruja baju raya digosok rapi, beg balik kampung siap dikemas dan fikiran mula melayang membayangkan suasana berkumpul bersama keluarga tercinta.
Perasaan inilah yang diterjemahkan dengan cukup manis oleh Nabila Razali menerusi single raya terbaharunya berjudul TAK SABAR NAK RAYA!, sebuah karya yang membawa pendengar kembali kepada memori paling jujur menjelang Aidilfitri.
Selepas kejayaan lagu raya popularnya Raya Mana? yang pernah menjadi fenomena dan trending dua tahun lalu, Bella kembali memeriahkan musim perayaan dengan pendekatan penceritaan yang lebih unik. Menariknya, lagu ini bukan kesinambungan kepada karya terdahulu, sebaliknya hadir sebagai prekuel yang melengkapkan perjalanan kisah raya versinya sendiri.
Jika Raya Mana? menggambarkan dilema seorang wanita selepas berkahwin memilih kampung untuk beraya, TAK SABAR NAK RAYA! pula membawa pendengar ke masa lalu ketika dirinya masih bujang, tinggal bersama keluarga dan menikmati keterujaan pulang ke kampung setiap kali Syawal menjelang.
Bella menggambarkan perasaan yang sangat dekat dengan rakyat Malaysia rasa tidak sabar sehingga kadangkala terlupa Ramadan masih berbaki sehari. Dari memilih fesyen tudung, membayangkan duit raya, hinggalah detik paling dinanti untuk bertemu saudara-mara, semuanya menjadi inti pati utama lagu ini.
Lebih menarik, muzik video lagu ini turut menjadi titik pertemuan fiksyen antara Bella dan watak lakonan Aizat Amdan, sekaligus menghubungkan jalan cerita yang akhirnya membawa kepada naratif dalam Raya Mana?.
Lagu Raya Ceria Dengan Sentuhan Ikhlas
Single ini merupakan hasil ciptaan Brendan Lim Seng Meng, Denise Chan Li-Hsia, Foong Le Xin serta Asyraf Nasir dengan kumpulan produksi MFMF bertindak sebagai produser dan penyusun muzik.
Menurut komposer Brendan, lagu ini sejak awal memang dicipta khas buat Nabila Razali. Warna vokalnya yang cerah dan manis menjadi inspirasi utama dalam menghasilkan lagu raya yang mudah diingati serta sesuai dinyanyikan semua peringkat umur.
Struktur lagu sengaja dibuat ringkas dan berulang dengan frasa “Tak Sabar Nak Raya” sebagai hook utama menangkap emosi universal masyarakat Malaysia menjelang Aidilfitri; bukan sekadar pagi 1 Syawal, tetapi detik debaran sebelum pulang ke kampung, membeli baju raya dan menikmati persiapan tradisi seperti membakar lemang.
Bella sendiri turut menyumbang idea kreatif apabila mencadangkan elemen joget perlahan bersama sebutan ikonik “ea ea ea”, yang akhirnya menjadi antara bahagian paling melekat dalam lagu ini.
Gandingan Istimewa Bersama Haji Nabil Ahmad
Rakaman vokal lagu ini disiapkan dalam tempoh kira-kira empat jam dan turut menampilkan kemunculan khas pelawak serta pengacara terkenal Nabil Ahmad.
Menurut Bella, kerjasama bersama Nabil berlangsung dalam suasana santai namun profesional, dengan pelbagai idea spontan dan elemen humor yang berjaya menambah warna serta karakter kepada lagu tersebut.
Penggambaran MV Sarat Suasana Kampung
Muzik video TAK SABAR NAK RAYA! menjalani penggambaran selama hampir 12 jam di sebuah rumah kampung tradisional di Hulu Langat bagi menghidupkan suasana raya klasik yang penuh nostalgia.
Antara cabaran utama termasuk babak tarian beramai-ramai yang memerlukan keserasian gerakan pada bahagian korus lagu. Faktor cuaca yang tidak menentu juga hampir mengganggu jadual penggambaran, namun semuanya berjaya diselesaikan hasil komitmen pasukan produksi.
MV ini turut dimeriahkan dengan kehadiran beberapa pempengaruh media sosial serta bakat pelbagai usia, menjadikan keseluruhan visual terasa lebih hidup dan autentik persis suasana raya sebenar di kampung.
Lagu Tema Mini Siri Raya
Dalam perkembangan lain, Nabila Razali turut bakal muncul menerusi mini siri 20 episod berjudul Di Sebalik Cahaya Raya yang ditayangkan di platform penstriman Viu.
Menariknya, TAK SABAR NAK RAYA! turut dipilih sebagai lagu runut bunyi rasmi siri tersebut yang mengisahkan perjalanan seorang penyanyi berdepan kecaman netizen selepas pelancaran single rayanya.
Diterbitkan oleh Nabila Razali Entertainment bersama Sony Music Entertainment Malaysia serta Malika Entertainment & Management, lagu TAK SABAR NAK RAYA! kini boleh dinikmati di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.
Dengan melodi ceria dan naratif yang dekat di hati masyarakat, lagu ini hadir bukan sekadar hiburan, tetapi sebagai simbol keterujaan menyambut kemenangan selepas sebulan berpuasa satu perasaan yang pasti dirasai setiap kali Syawal menghampiri.







Comments
Post a Comment