Ella Satukan Generasi Rock, Umum Barisan Artis Jemputan Konsert Stadium Paling Dinanti 2026
KUALA LUMPUR, 29 Januari 2026 – Dalam suasana santai namun sarat dengan emosi dan penghargaan, Ratu Rock negara, Ella, tampil meraikan rakan media serta barisan artis jemputan menerusi sebuah majlis jamuan tengah hari eksklusif yang berlangsung di Restoran Cili Kampung, Sunway Pyramid, hari ini. Majlis ini bukan sekadar pertemuan mesra, sebaliknya menjadi detik penting pengumuman rasmi artis jemputan bagi konsert berskala stadium, Majlis Tertinggi Rockqueen, yang bakal menggegarkan Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Februari 2026.
Lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tanah air, Ella memilih untuk menjadikan majlis ini sebagai ruang penghargaan kepada rakan media yang setia mengikuti dan menyokong perjalanan seninya sejak awal kemunculan sehingga kini. Dalam suasana penuh keakraban, beliau berkongsi kisah, kenangan serta perasaan terharu melihat sokongan yang tidak pernah surut terhadap karier seninya.
Kemuncak majlis menyaksikan kehadiran barisan artis ternama yang turut diumumkan sebagai artis jemputan konsert Majlis Tertinggi Rockqueen. Antaranya ialah Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta kumpulan The Boys (Ella & The Boys). Gabungan nama-nama ini bukan sahaja mencerminkan penyatuan generasi dalam dunia muzik rock tempatan, malah menjadi simbol penghormatan terhadap legasi seni yang telah dibina Ella sepanjang kariernya.
Dengan gabungan nostalgia, tenaga rock dan produksi berskala besar, Majlis Tertinggi Rockqueen bukan sekadar konsert, tetapi sebuah perayaan legasi seorang ikon yang terus relevan merentas zaman.






Comments
Post a Comment