Penggunaan Teknologi RFID Dalam Silinder Gas Bakal Lonjak Jualan ACGAS 2026

Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira Dilantik sebagai Duta Jenama ACGAS 2026



KUALA LUMPUR, 4 Februari 2026 — ACGAS melangkah ke fasa baharu dalam pengukuhan jenamanya dengan melantik dua tokoh tersohor industri hiburan tanah air, Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira, sebagai Duta Jenama ACGAS 2026.

Pelantikan ini mencerminkan komitmen strategik ACGAS dalam membentuk persepsi baharu terhadap penggunaan gas domestik, khususnya dari aspek keselamatan, inovasi dan kepercayaan pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif ACGAS, Nik Mohd Fareez Nik Ahmad Azman, berkata pemilihan kedua-dua ikon tersebut selari dengan aspirasi syarikat untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan keselamatan dalam penggunaan gas LPG di kediaman.

“Gas bukan sekadar keperluan harian, tetapi berkait rapat dengan keselamatan keluarga. Dengan kehadiran Dato’ Rosyam Nor dan Erra Fazira sebagai duta jenama, kami ingin membina hubungan yang lebih kukuh dengan pengguna berteraskan kepercayaan, keyakinan serta kesedaran terhadap penggunaan silinder LPG komposit yang lebih selamat dan moden,” katanya.


Menurut beliau, langkah ini turut mengukuhkan kedudukan ACGAS sebagai peneraju pembekalan silinder LPG komposit yang selamat, ringan dan inovatif di pasaran Malaysia. Berbanding silinder besi tradisional, silinder komposit ACGAS direka tanpa karat, lebih mudah dikendalikan serta menawarkan tahap keselamatan yang lebih tinggi, khususnya untuk kegunaan di dapur isi rumah.

Dalam mendepani landskap industri tenaga yang semakin kompetitif, ACGAS terus memperkukuh strategi perniagaannya dengan menumpukan kepada inovasi produk dan pendigitalan perkhidmatan. Syarikat kini giat memperluaskan penggunaan silinder komposit ke sektor komersial di samping menambah baik fungsi aplikasi mudah alih ACGAS bagi memudahkan pembelian dan pengurusan bekalan gas oleh pengguna.

Sejak diperkenalkan, ACGAS telah mencatat pelbagai pencapaian penting, termasuk menjadi perintis pengedaran silinder LPG komposit bersubsidi di Malaysia serta memperluaskan rangkaian pengedarannya ke seluruh Semenanjung Malaysia.

Penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan RFID pada setiap silinder membolehkan pemantauan inventori secara masa nyata, penjejakan pengedaran yang lebih telus serta pengurusan proses pengisian semula yang lebih cekap, sekali gus meningkatkan kecekapan keseluruhan rantaian bekalan.

Melangkah ke hadapan, ACGAS turut mencatat perkembangan fizikal yang signifikan menerusi kerjasama pelaburan bernilai hampir RM100 juta bagi membangunkan fasiliti pembuatan silinder komposit tempatan. Projek ini dijangka meletakkan Malaysia sebagai hab eksport silinder komposit untuk pasaran Asia, sekali gus memperkukuh peranan ACGAS sebagai pemain strategik serantau dalam industri LPG.

Dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, ACGAS menyasarkan penguasaan sekurang-kurangnya 10 peratus pasaran LPG Malaysia melalui penggantian berperingkat silinder besi kepada silinder komposit yang lebih selamat dan mesra pengguna. Syarikat juga merancang untuk membangunkan ekosistem “Smart Energy” secara menyeluruh menerusi pendigitalan, termasuk keupayaan menjejak silinder serta membuat pesanan gas secara pintar.

“Visi jangka panjang kami adalah untuk menjadikan silinder komposit sebagai standard keselamatan baharu di Malaysia. Kami berhasrat memacu revolusi keselamatan dalam penggunaan LPG, sambil memastikan rakyat mendapat akses kepada produk yang moden, selamat dan berkualiti tinggi,” ujar Nik.



Comments