Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB: Memperkasa PKS, Memelihara Warisan Kreatif Negara
Industri kraf bukan sekadar warisan budaya, malah kini menjadi pemacu penting dalam landskap ekonomi kreatif negara. Menyedari potensi ini, CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memperkenalkan Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB, sebuah inisiatif berimpak tinggi yang bukan sahaja meraikan keindahan seni kraf tempatan, malah berfungsi sebagai platform strategik untuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah pertumbuhan mampan.
Program ini dilancarkan secara rasmi pada 4 Februari 2026 di Kuala Lumpur, menandakan komitmen berterusan CIMB dalam menyokong keusahawanan kreatif serta pemeliharaan seni dan budaya tempatan untuk generasi masa depan.
Komitmen CIMB terhadap Pertumbuhan PKS & Ekonomi Kreatif
Majlis pelancaran Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, diiringi oleh Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi CIMB Group dan Datin Azlina Mahmad, Pengerusi CIMB Islamic Bank Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin, menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan aspirasi CIMB untuk memperkasa PKS melalui pendekatan holistik yang merangkumi pembangunan keupayaan, pembinaan jaringan serta penciptaan nilai jangka panjang.
Menurut beliau, sokongan terhadap kraf Malaysia — sama ada berteraskan warisan mahupun reka bentuk kontemporari — bukan sahaja membantu perniagaan menjadi lebih mampan, malah memastikan seni dan identiti budaya negara terus terpelihara selari dengan misi CIMB untuk Advancing Customers and Society.
Platform Pembelajaran, Jaringan dan Peluang Kolaborasi
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB turut menampilkan siri sesi jaringan Saudagar CIMB yang dibuka kepada PKS daripada pelbagai sektor. Program ini direka untuk memperkukuh kemahiran keusahawanan pemilik perniagaan melalui perkongsian pengalaman oleh usahawan berjaya dari industri makanan dan minuman, fesyen serta pengurusan hartanah.
Antara topik utama yang diketengahkan termasuk pengurusan aliran tunai berbanding keuntungan, kawalan perbelanjaan, pembinaan jenama, pemanfaatan pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI), serta strategi penskalaan perniagaan daripada pengeluaran berskala kecil ke pasaran eksport.
Sesi padanan perniagaan pula membuka ruang kepada peluang kerjasama strategik, pembiayaan dan jualan silang, dengan sasaran penyertaan kira-kira 300 PKS. Penyertaan Yayasan Hasanah memperkukuh lagi ekosistem sokongan melalui pengenalan peluang geran perniagaan, manakala panel pakar CIMB berkongsi pandangan menyeluruh mengenai perniagaan PKS pada setiap peringkat kitaran hayat. Turut memeriahkan program ialah bengkel interaktif oleh komuniti kek tempatan, Cake Piknik.
Pameran Kraf Artisanal & Fesyen Raya
Sebagai nadi utama acara, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB mempersembahkan pelbagai hasil kraf artisanal merangkumi medium tekstil, kayu, kaca, logam dan bahan semula jadi lain. Pameran ini diserikan dengan koleksi fesyen Raya yang berwarna-warni hasil sentuhan pereka terkemuka serta bakat baharu industri fesyen tempatan.
Lebih 30 butik kraf dan fesyen mengambil bahagian, mempamerkan karya pilihan yang dianggap sebagai Masterpieces. Antara nama yang terlibat termasuk Toko Art, La Putri, Cipela, Earth Heir, Hara Makers, Mah Meri Cultural Village, Kakao Origin dan Aperture Café TTDI.
Pengeluar tenun dan anyaman seperti Terengganu Songket, Manang Songket, Samyama by John Ang, Tanoti dan MyPride mengetengahkan kehalusan seni tekstil tradisional, manakala barisan pereka fesyen yang mengambil bahagian termasuk Radzuan Radziwill, Tom Abang Saufi, Pink Jambu, Arun Sayfull, Shanell Harun, Tinta Sutera dan Qudyn Aziz, bersama Kekean Wastra Gallery.
Mengiktiraf Kecemerlangan Melalui Piala Seri-Ibu Kraf
Bagi menghargai bakat terbaik dalam seni kraf tempatan, CIMB dengan kerjasama Sime Darby Property menganjurkan Piala Seri-Ibu Kraf, sebuah pertandingan yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni dalam kategori Tekstil, Tukang Logam dan Bukan Logam. Turut dipertandingkan ialah Anugerah Inovasi, Anugerah Pilihan Orang Ramai, serta Anugerah Khas Seri-Ibu yang dipilih sendiri oleh KDPB Tengku Ampuan Pahang.
Inisiatif ini turut menyemarakkan semangat Kita Bagi Jadi, gerakan sosial CIMB yang meraikan daya tahan, optimisme dan nilai positif rakyat Malaysia melalui kisah PKS yang terus gigih membangunkan perniagaan sambil menyuburkan kreativiti mereka.
Pengalaman Membeli-belah Bernilai Tambah Sempena Perayaan
Menjelang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB menawarkan pengalaman membeli-belah yang unik dengan koleksi eksklusif dan imaginatif yang sedia untuk dimiliki. Dari 1 Februari hingga 30 April 2026, pemegang kad CIMB layak menikmati diskaun 10% bagi perbelanjaan minimum RM1,000 dalam satu resit menggunakan kad debit, kredit atau prabayar CIMB di peniaga terlibat, tertakluk kepada terma dan syarat.
Maklumat Acara
Minggu Seri-Ibu Kraf CIMB berlangsung dari 4 Februari hingga 1 Mac 2026, setiap hari dari 10.00 pagi hingga 10.00 malam, bertempat di Aras 3, KLGCC Mall, Kuala Lumpur. Kemasukan adalah percuma dan terbuka kepada orang ramai.


Comments
Post a Comment