UNIC Lakarkan Sejarah, Martabatkan Nasyid Di Pentas Arus Perdana
“This Is UNIC: Live In Concert” Bukti Nasyid Kekal Relevan Selepas Dua Dekad
KUALA LUMPUR, 21 Disember 2025 – Idea Live Arena menjadi saksi detik bersejarah apabila kumpulan nasyid kontemporari tersohor, UNIC, akhirnya merealisasikan impian mementaskan konsert solo penuh pertama mereka, “This Is UNIC: Live In Concert”, selepas lebih 20 tahun konsisten mewarnai industri muzik berteraskan dakwah, nilai kemanusiaan dan cinta sejagat.
Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini bukan sekadar hiburan, sebaliknya sebuah manifesto seni yang menegaskan bahawa muzik nasyid masih berakar kuat dan mampu berdiri megah dalam landskap hiburan arus perdana masa kini.
Dua Dekad Perjalanan Seni Dalam Satu Malam
Tirai konsert dibuka dengan alunan lagu “Hanyut”, membawa penonton menyelami perjalanan panjang UNIC sejak awal penubuhan. Nostalgia terus disemarakkan menerusi lagu-lagu terawal seperti “Balqis”, “Remaja” dan “Sebuah Pertemuan”, yang mengimbau era permulaan kumpulan ini menawan hati peminat.
Persembahan kemudiannya berkembang dengan karya-karya yang lebih matang dari segi mesej dan susunan muzik seperti “Jalinan”, “Keroncong Kasih Sayang” dan “Kawan”, membuktikan evolusi UNIC sebagai sebuah kumpulan yang tidak pernah statik.
Menurut Bazli Hazwan, konsert ini cukup istimewa dan bersifat peribadi.
“Apabila kami menyanyikan lagu-lagu lama seperti Balqis dan Remaja, kami seolah-olah kembali ke titik awal perjalanan UNIC. Melihat penonton menyanyi bersama membuatkan kami sedar lagu-lagu ini masih hidup dan bermakna,” katanya.
Muzik Sebagai Dakwah, Lagu Sebagai Renungan
Konsert ini turut membawa penonton ke dimensi yang lebih tenang dan mendalam menerusi segmen reflektif dengan lagu-lagu seperti “Hakikat Bahagia”, “Doa Dhuha”, “Anak Soleh”, “Jom Solat” dan “Qunut Nazilah”.
Suasana Idea Live Arena berubah menjadi ruang penghayatan rohani apabila ribuan penonton larut dalam alunan penuh keinsafan, mencerminkan teras sebenar perjuangan UNIC.
Dr. Fitri Haris menjelaskan,
“Nasyid bukan sekadar muzik, tetapi medium untuk mengajak, menyentuh dan mengingatkan. Apabila seluruh dewan menghayati lagu seperti Doa Dhuha dan Qunut Nazilah, ia menjadi momen yang sangat menyentuh hati.”
Lagu Ikonik & Detik Sing-Along Paling Mengharukan
Sorakan penonton memuncak apabila UNIC mempersembahkan lagu-lagu ikonik yang sinonim dengan nama mereka seperti “Hanya Tuhan Yang Tahu”, “Mahligai Kasih”, “Demi Cinta Suci”, “Atas Nama Cinta” dan “Ainul Mardhiah”.
Idea Live Arena bergema dengan nyanyian beramai-ramai, membuktikan lagu-lagu UNIC terus dekat di hati peminat pelbagai generasi.
Bagi Fakhrul Radhi, momen ini paling memberi kesan.
“Apabila ribuan penonton menyanyi bersama Hanya Tuhan Yang Tahu dan Ainul Mardhiah, kami benar-benar merasakan hubungan yang sangat kuat. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi perkongsian rasa,” ujarnya.
Kolaborasi Istimewa, Simbol Persahabatan
Konsert ini turut diserikan dengan kemunculan Naufal Isa dan Nizam Laksamana sebagai artis jemputan khas. Kehadiran mereka bukan sahaja mencetuskan sorakan gemuruh, malah melambangkan semangat persaudaraan serta sokongan dalam kalangan penggiat seni yang berkongsi nilai dan visi sama.
“Mereka bukan sekadar artis jemputan, tetapi sahabat seperjuangan. Kehadiran mereka melengkapkan perjalanan This Is UNIC malam ini,” kata Bazli Hazwan.
Bukan Penamat, Tetapi Titik Mula Baharu
Menutup tirai konsert dengan “Ainul Mardhiah”, UNIC meninggalkan kesan mendalam kepada setiap yang hadir. Konsert ini bukan sahaja menjadi imbasan perjalanan lalu, malah membuka lembaran baharu dalam usaha mengangkat martabat muzik nasyid ke pentas lebih besar dan berprestij.
Mengakhiri malam penuh emosi itu, UNIC sebulat suara menyatakan rasa syukur.
“Konsert ini bukti muzik nasyid masih relevan, masih kuat dan masih diperlukan. Insya-Allah, ini bukan penamat, tetapi permulaan kepada lebih banyak karya dan perkongsian bermakna,” ujar mereka.
Konsert ini turut disokong oleh Astro Gempak sebagai rakan digital rasmi, Hot FM, Kool 101 MY dan Molek FM sebagai rakan radio rasmi, serta Bazli Channel, Lauraent Entertainment dan JGX Excellent sebagai rakan strategik. Busana eksklusif UNIC pada malam tersebut direka khas oleh Eja Shahril.

Comments
Post a Comment