Menyemai Harapan dari Puncak Kota: Menara Kuala Lumpur Santuni 100 Kanak-Kanak Melalui Program CSR Reach for the Sky





KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 — Menara Kuala Lumpur memperkukuh komitmennya terhadap pembangunan komuniti menerusi penganjuran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Reach for the Sky, satu inisiatif bermakna yang menyantuni 100 orang kanak-kanak kurang berkemampuan dan berkeperluan khas daripada lima buah rumah kebajikan terpilih.


Program ini dirangka bagi memberikan pendedahan pembelajaran, pengalaman penerokaan serta membina keyakinan diri dalam kalangan kanak-kanak yang berdepan keterbatasan peluang. Lima institusi kebajikan yang terlibat ialah Pertubuhan Keluarga Berkebajikan (Family of Charity), Persatuan Sinaran Hidup (The Beacon Society), Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Raudhatul Nurr Jannah, Rumah Kanak-kanak Triniti serta Pertubuhan Anak Yatim dan Asnaf An-Naafi Selangor.


Pengalaman Penerokaan yang Membuka Perspektif Baharu


Sebagai sebahagian daripada pengisian program, para peserta dibawa menyertai lawatan sambil belajar ke beberapa tarikan utama Menara Kuala Lumpur, termasuk Sky Terrace, Glass Box dan Observation Deck. Pengalaman menyaksikan panorama bandar raya Kuala Lumpur dari aras ketinggian yang mengagumkan telah mencetuskan rasa kagum, keterujaan serta memperluas perspektif baharu dalam kalangan peserta.



Bagi memperkukuhkan elemen pendidikan, Menara Kuala Lumpur turut memperkenalkan Kuala Lumpur Tower Edu Passport, sebuah buku interaktif yang direka khusus untuk pengunjung cilik. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan penerokaan, kanak-kanak digalakkan untuk memerhati, berinteraksi dan memahami keunikan Menara Kuala Lumpur secara lebih mendalam dan menyeronokkan.


Inisiatif ini sekali gus mengukuhkan peranan Menara Kuala Lumpur bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan ikonik, malah sebagai pusat pembelajaran yang memupuk rasa ingin tahu, pengetahuan serta penghargaan terhadap seni bina, landskap bandar dan hutan bandar Malaysia.


Jamuan Istimewa dan Penyampaian Sumbangan


Program diteruskan dengan jamuan makan tengah hari di HEMISFERA Luxury Sky Hall, diikuti ucapan alu-aluan oleh Khairil Faizal Hj Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., selaku pengurusan Menara Kuala Lumpur.



Sebagai kemuncak program, Menara Kuala Lumpur menyampaikan sumbangan berjumlah RM5,000 kepada setiap lima rumah kebajikan yang terlibat, mencerminkan komitmen berterusan organisasi tersebut dalam menyokong kebajikan komuniti serta memperkasa kanak-kanak yang memerlukan.


“Program CSR Reach for the Sky mencerminkan kepercayaan kami bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk menikmati kegembiraan, pembelajaran dan inspirasi. Melalui pengalaman serta inisiatif pendidikan seperti Kuala Lumpur Tower Edu Passport, kami berharap dapat menyemai rasa ingin tahu dan meninggalkan kenangan bermakna yang akan kekal dalam ingatan mereka,” kata Khairil Faizal Hj Othman.


Memperkasa Generasi Muda, Membina Impak Berkekalan


Program CSR Reach for the Sky mencerminkan aspirasi Menara Kuala Lumpur dalam membina hubungan komuniti yang bermakna serta mencipta impak sosial yang berterusan. Dengan menggabungkan elemen pendidikan, penerokaan dan kebajikan, inisiatif ini selari dengan visi Menara Kuala Lumpur sebagai mercu tanda negara yang melambangkan pertumbuhan, harapan dan inspirasi untuk generasi masa hadapan.


#kltower #csrReachForTheSky

Comments