KESS Raikan “Malam Untukmu Gaza”: The Helmis Dilantik Duta Syiling Emas Khas ‘Untukmu Gaza’


KESS Raikan “Malam Untukmu Gaza”: The Helmis Dilantik Duta Syiling Emas Khas ‘Untukmu Gaza’

Kuala Lumpur, Oktober 2025 — Dalam dunia yang penuh cabaran dan pergolakan, sinar kecil dari tanah air ini membuktikan bahawa semangat kemanusiaan masih mekar. Itulah yang cuba dibawa oleh Kedai Emas Sri Semantan (KESS) melalui majlis pelancaran “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza”, sebuah inisiatif yang menggabungkan keindahan emas dengan nilai kemanusiaan sejagat.



Majlis pelancaran dan sidang media praacara telah diadakan baru-baru ini di Saloma Bistro, Kuala Lumpur, dihadiri para media, aktivis dan rakan selebriti, sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. Acara utama “Malam Untukmu Gaza” akan berlangsung pada 24 Oktober ini (Jumaat, 9 malam) di KESS Cawangan Jengka, Pahang, bersempena pembukaan rasmi cawangan ketiga syarikat itu.

Syiling Emas ‘Untukmu Gaza’: Simbol Cinta, Harapan dan Keutuhan



Majlis tersebut turut memperkenalkan syiling emas khas edisi “Untukmu Gaza”, rekaan eksklusif KESS yang membawa mesej mendalam tentang perpaduan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap Gaza.



Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KESS, Mohd Hafizal Haji Mahmood, projek ini bukan sekadar inisiatif perniagaan, tetapi satu gerakan kecil yang menyemai nilai empati dalam dunia keusahawanan.
“Kami percaya keindahan rezeki bukan hanya diukur melalui keuntungan, tetapi melalui sejauh mana rezeki itu memberi makna kepada orang lain,” jelasnya penuh tenang.


“Syiling ‘Untukmu Gaza’ bukan sekadar produk emas tetapi ia simbol kasih, doa dan solidariti rakyat Malaysia terhadap saudara kita di bumi Palestin.”

Sebahagian hasil jualan daripada syiling khas ini akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui NGO Cinta Salam Malaysia, diketuai Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang juga pernah terlibat dalam misi kemanusiaan Sumud Nusantara Flotilla ke Gaza.

The Helmis: Wajah Cinta dan Ketabahan



Momen paling istimewa dalam pelancaran di Saloma itu ialah pengumuman rasmi The Helmis — pasangan aktivis dan artis terkenal Heliza Helmi dan Hazwani Helmi sebagai duta rasmi syiling emas khas ‘Untukmu Gaza’.



Kedua-dua adik-beradik ini bukan sekadar ikon hiburan, tetapi juga figura penting dalam pelbagai misi kemanusiaan di Syria, Lubnan, Turki dan Gaza. Bagi Heliza, pelantikan ini adalah satu penghormatan besar kerana ia bukan sekadar peranan duta, tetapi tanggungjawab untuk terus menghidupkan semangat perjuangan dan doa buat Palestin.

“Insya-Allah, kami akan terus berkongsi kisah perjalanan misi kemanusiaan dan semangat rakyat Palestin yang menjadi inspirasi kepada kami,” kata Heliza dengan penuh rasa syukur.

“Lagu baharu kami ‘Mengukir Takdir’ sebenarnya dirakam sebelum berangkat ke misi tersebut, tapi bila berada di sana dan melihat sendiri penderitaan mereka barulah kami faham makna sebenar takdir dan perjuangan.”

Cabaran Misi ke Gaza: Antara Ketakutan dan Keteguhan Iman

Dalam sesi perkongsian di Saloma, The Helmis sempat membuka sedikit kisah di sebalik pengalaman misi ke Gaza pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Mereka menceritakan bagaimana setiap perjalanan misi membawa risiko nyawa, tetapi kekuatan doa dan semangat ukhuwah membuatkan segalanya terasa ringan.

Hazwani berkongsi bagaimana setiap kali mereka melangkah ke kawasan berisiko, mereka hanya berpegang pada satu perkara: niat yang ikhlas.
“Setiap kali kami ke sana, kami sedar kami mungkin tidak akan pulang. Tapi apabila melihat wajah anak-anak Palestin yang masih mampu tersenyum dalam kehancuran, hati kami jadi kuat,” katanya sebak.
Bagi mereka, perjuangan ini bukan sekadar penghantaran bantuan tetapi usaha membawa pulang kisah benar ke tanah air, supaya masyarakat Malaysia tahu betapa besar erti keamanan yang kita miliki.

“Bila kami balik, kami bukan bawa gambar atau video semata-mata, tetapi harapan. Kami mahu orang Malaysia sedar, bahawa dengan sekeping doa dan sedikit sumbangan, kita sebenarnya sedang membantu mereka terus hidup,” kata Heliza. Ini kisah mereka ke misi sebelum bersama Sumud Flotilla. 

Kisah yang lebih menyentuh hati apabila kapal yang mereka naiki rosak di pelayaran. Namun Allah maha mendengar doa hambanya. Belum sempat Hazwani memberi salam di dalam solat istikharahnya, mereka dikejutkan dengan berita gembira yang mana ada kapal ganti untuk mereka meneruskan misi mereka. Harapan mereka tidak berakhir di situ. Namun walaupun mereka dihentikan disebabkan ‘intercept’ oleh tentera Israel, mereka tidak gentar kerana keyakinan bahawa Allah ada bersama dan memang mereka dipihak yang benar. Panjang lagi perkongsian mereka ini. Sekiranya ingin mengikuti cerita perjuangan The Helmis, ianya boleh didapati di laman media sosial milik The Helmis. 

KESS: Dari Kilauan Emas ke Cahaya Kemanusiaan

KESS kini muncul sebagai antara jenama emas tempatan yang paling aktif dalam mengangkat nilai kemanusiaan dalam dunia keusahawanan. Bagi mereka, kejayaan perniagaan hanya bermakna jika mampu menyinari kehidupan orang lain.

“Kami mahu setiap cawangan KESS menjadi pusat bukan sekadar jual beli emas, tetapi juga tempat menyemai nilai kasih dan prihatin terhadap nasib umat sejagat,” ujar Mohd Hafizal.

Inisiatif Untukmu Gaza ini akan diteruskan di semua cawangan KESS di seluruh Malaysia sebagai komitmen jangka panjang terhadap perjuangan kemanusiaan global.

Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza

Acara kemuncak pada 24 Oktober di KESS Jengka nanti bakal menampilkan pelbagai pengisian spiritual dan seni termasuk solat hajat, persembahan qasidah, serta persembahan khas daripada Raihan, Mawi, The Helmis, Dr Sam Rasputin, dan sesi sumbangan untuk tabung kemanusiaan Gaza.

Majlis itu akan dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang.
Sementara itu, Ahmad Musa Al-Nuwayri dari Cinta Salam Malaysia turut menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif KESS.

“Apabila sebuah jenama seperti Kedai Emas Sri Semantan sendiri tampil menganjurkan Malam Untukmu Gaza, ia membuktikan bahawa kesedaran terhadap isu Palestin sudah sampai ke akar masyarakat,” katanya.

“Usaha seperti ini bukan sahaja memberi sumbangan, tetapi membina empati iaitu satu perkara yang amat kita perlukan di dunia hari ini.”

Dari Kuala Lumpur ke Gaza: Kilauan Emas yang Menyuluh Harapan


“Malam Untukmu Gaza” bukan sekadar satu acara ia satu peringatan. Bahawa setiap daripada kita mampu menyalakan cahaya, walaupun kecil. Bagi KESS, The Helmis, dan semua yang terlibat, emas bukan sekadar kilauan harta, tetapi cahaya kemanusiaan yang tidak ternilai.

Dan mungkin, di antara kilauan emas itu  terselit doa kecil dari bumi Malaysia, buat Gaza yang sedang berjuang. 

#UntukmuGaza #KESS #TheHelmis #CintaSalamMalaysia #KemanusiaanTanpaBatas #KilauanSemantanHarapanGaza


The Helmis bersama antara rakan media yang hadir di sidang media yang diadakan di Saloma Bistro, Kuala Lumpur.


Comments