Syria Care Sasar Hantar Dua Kontena Pakaian Musim Sejuk ke Syria Tahun Ini

SHAH ALAM, 22 Oktober 2025 – Ketika suhu di Syria mula menurun menandakan ketibaan musim sejuk, Syria Care meneruskan komitmennya terhadap misi kemanusiaan global dengan melancarkan Kempen Winter Aid 13.0.

Inisiatif tahunan ini menyasarkan bantuan kepada komuniti rentan di Syria serta pelarian Syria di Lubnan yang bakal berdepan musim sejuk yang ekstrem satu ujian yang bukan sahaja mengancam keselesaan, malah mampu meragut nyawa sekiranya tiada persediaan mencukupi.



Kempen Winter Aid 13.0 berlangsung dari 26 September hingga 31 Disember 2025, dengan fokus kepada tiga bentuk bantuan utama iaitu:

  1. Bahan bakar (diesel, kayu api, briket zaitun)
  2. Pakaian musim sejuk
  3. Barangan keperluan asas musim sejuk


“Warm Their Winter” – Projek Teras Syria Care

Di bawah kempen ini, inisiatif ‘Warm Their Winter’ menjadi tunjang utama sejak diperkenalkan pada tahun 2013. Projek tersebut bertujuan menyediakan perlindungan dan kehangatan buat rakyat Syria menjelang musim sejuk.

Tahun ini, program pengumpulan pakaian akan diadakan pada 22 hingga 26 Oktober 2025 bertempat di Dewan Kiambang, Seksyen 7, Shah Alam.

Antara barangan yang dikumpul termasuk pakaian tebal, jaket, selimut, kasut dan aksesori musim sejuk lain.

Setakat ini, sebanyak 17 kontena bantuan telah berjaya dihantar ke Syria dan Lubnan. Untuk tahun 2025, Syria Care menyasarkan dua kontena bersaiz 40 kaki bagi memuatkan 1,584 kotak bantuan musim sejuk seberat antara 10 hingga 15 kilogram setiap satu.

Bantuan tersebut akan dihantar melalui jalan laut dan dijangka mengambil masa 50 hari untuk tiba di Pelabuhan Latakia, Syria.

2025 merupakan tahun pertama Syria Care menghantar terus ke Syria tanpa melalui negara lain. 

Memberi Harapan Kepada 12,000 Individu

Menerusi kempen kali ini, Syria Care menyasarkan manfaat kepada lebih 12,000 individu, menjadikan jumlah keseluruhan penerima manfaat sejak 2013 mencecah sekitar 250,000 orang.

Siti Sakinah Meor Omar Baki, Pengerusi Syria Care.

“Musim sejuk di Syria bukan hanya cabaran cuaca, tetapi satu ujian kehidupan buat mereka yang kehilangan tempat tinggal dan keselamatan. Melalui kempen ini, kami ingin menyampaikan bukan sahaja pakaian, tetapi juga kasih sayang, keselesaan dan harapan daripada rakyat Malaysia,” ujar Siti Sakinah binti Meor Omar Baki, Pengerusi Syria Care.

Kerjasama Strategik & Seruan Sumbangan

Kempen ini mendapat sokongan padu daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 3 (MPP Zon 3) serta rakan strategik HUMAM Relief dan Pertubuhan Ihsanku Malaysia.

Bagi menampung kos logistik dan operasi projek Warm Their Winter, Syria Care menyasarkan kutipan dana sebanyak RM150,000.00.

Orang ramai, syarikat korporat dan NGO dijemput untuk turut sama menjayakan misi kemanusiaan ini.

Setiap sumbangan besar atau kecil memberi makna besar buat mereka yang sedang bergelut menghadapi kesejukan tanpa persediaan sempurna.


Sumbangan boleh disalurkan ke akaun:

Maybank Syria Care – 562106653575

atau melalui laman sesawang rasmi:

👉 https://syriacare.org.my/winteraid/


Comments