Manisnya Harapan: Ajwa Bakery & Adina Charity Circle Lancar Program “Care Cake” Untuk Kanak-Kanak Kanser



Program “Care Cake” – Setiap Potongan Kek Membawa Harapan Buat Anak-Anak Pesakit Kanser

Kota Damansara, 4 Oktober 2025 – Dalam suasana penuh kasih dan keinsafan, Ajwa Bakery dengan kerjasama Adina Charity Circle (ACC) melancarkan Program “Care Cake”, satu inisiatif kebajikan yang menjadikan setiap potongan kek bukan sekadar sajian manis, tetapi simbol harapan untuk anak-anak pesakit kanser.



Pelancaran rasmi yang diadakan di Ajwa Bakery, Kota Damansara itu turut disertai dengan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak, menandakan bermulanya kolaborasi rasmi yang menyatukan dunia perniagaan dan kebajikan dalam satu matlamat — membantu mereka yang paling memerlukan.

Kek yang Menghidupkan Harapan




Melalui program ini, Ajwa Bakery memperkenalkan produk baharu mereka, Marbeles Series (marble with cheesecake), yang diinspirasikan daripada simbol kasih sayang dan kekuatan jiwa kanak-kanak yang berjuang melawan penyakit kanser.

Apa yang menjadikan program ini istimewa ialah komitmen Ajwa Bakery untuk menyalurkan 30% daripada hasil jualan kek tersebut terus ke Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina. Dana itu akan digunakan bagi menampung keperluan asas seperti lampin pakai buang, susu bernutrisi, peralatan kebersihan dan bantuan rawatan ringan untuk pesakit kecil yang memerlukan perhatian berterusan.

“Kami percaya bahawa perniagaan boleh menjadi jambatan kebaikan. Melalui Program Care Cake ini, setiap potongan kek bukan sekadar dinikmati, tetapi turut membawa harapan kepada anak-anak yang sedang berjuang,”

ujar Puan Dahlia Nazmi, Pengasas Ajwa Bakery, dalam sidang media yang diadakan di Ajwa Bakery Kota Damansara semalam.


Beliau turut berkongsi bahawa Ajwa Bakery menyasarkan untuk menjual 5,000 keping kek dalam tempoh tiga bulan pertama pelaksanaan program ini.

Sekiranya sasaran itu tercapai, dianggarkan jumlah sumbangan yang bakal disalurkan kepada Tabung Kanak-Kanak Kanser Adina akan dapat membantu lebih 100 keluarga pesakit kanser kanak-kanak di seluruh negara.

“Kami tidak hanya melihat ini sebagai kempen jualan, tetapi sebagai gerakan kasih. Dengan sokongan pelanggan dan masyarakat, kami yakin Care Cake boleh menjadi sumber inspirasi kepada lebih banyak perniagaan untuk menyumbang dengan cara mereka sendiri,” tambah Puan Dahlia lagi.



Kolaborasi Antara Perniagaan dan Kebajikan

Sementara itu, Pengerusi Adina Charity Circle, Puan Nurdieana Mohd Mardzi, menegaskan bahawa inisiatif ini mencerminkan kekuatan kolaborasi antara sektor perniagaan dan badan kebajikan dalam memperluas impak sosial di negara ini.


“Care Cake membuktikan bahawa kebaikan boleh hadir dalam pelbagai bentuk – termasuk melalui makanan. Setiap pembelian bukan sahaja mengenyangkan, tetapi juga memberi makna yang besar kepada kehidupan anak-anak pesakit kanser,” katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa Adina Charity Cirlce dan Ajwa Bakery merancang untuk menganjurkan pelbagai kempen kesedaran dan aktiviti bersama kanak-kanak pesakit kanser sepanjang tempoh kerjasama, termasuk lawatan hospital, sesi seni dan aktiviti terapi emosi bersama para sukarelawan.





Menyambung Jejak Kasih – Program Adina Charity Circle Sebelum Ini

Program Care Cake merupakan kesinambungan daripada pelbagai inisiatif kebajikan yang telah dijalankan oleh Adina Charity Circle sejak penubuhannya. Antara program yang meninggalkan kesan mendalam termasuk:


  • Program “Santuni Harapan” – pengedaran bantuan asas kepada keluarga pesakit kanser dan keluarga kurang berkemampuan.
  • “Ramadan Kasih” – majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak pesakit kanser dan penjaga mereka di hospital.
  • “Gift of Hope” – kempen pengumpulan dana bagi membantu kos rawatan kanser kanak-kanak dari keluarga B40.Dan banyak lagi program yang sering diadakan setiap bulan sepanjang tahun sejak penubuhannya.


Kesemua program ini dijayakan dengan kerjasama rakan media, sukarelawan, penderma individu dan korporat, yang telah menjadi tulang belakang kepada perjuangan Adina Charity Circle dalam membawa cahaya ke dalam hidup anak-anak yang diuji.


Puan Nurdieana juga ada berkongsi tentang kesayuan hatinya apabila menerima panggilan telefon daripada salah seorang ibu pesakit kanak kanak kanser yang baru sahaja diziarahinya bersama team Adina. Kanak kanak diusia yang sangat kecil dan tidak mengerti apa apa itu telah menerima sang penciptanya. 


Kadangkala kita tidak menyangka sama sekali bila mereka dan kita ini akan pergi. Beliau sangat berharap dikesempatan yang ada ini kita dapat membantu menyalurkan bantuan kepada anak anak syurga ini. Walaupun sedikit tetapi besar maknanya di mata mereka dan pencipta. 


Ucapan Terima Kasih kepada Media & Sukarelawan

Adina Charity Circle turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan media, para sukarelawan dan penyokong setia yang tidak pernah jemu membantu menjayakan pelbagai program kebajikan yang dianjurkan.


“Sokongan media sangat penting dalam menyebarkan mesej kebaikan. Begitu juga dengan sukarelawan yang sentiasa hadir tanpa mengira waktu dan tenaga. Mereka adalah nadi kepada setiap kejayaan program kami,”

ujar Puan Nurdieana penuh terharu.



Kek yang Membawa Manisnya Harapan


Marbeles Series di bawah Program Care Cake kini boleh didapati di Ajwa Bakery Kota Damansara dan Taman Melawati, dan bakal diperluas ke platform jualan dalam talian dalam masa terdekat.


Setiap kepingan kek bukan sekadar rasa manis di lidah tetapi manisnya kasih, semangat dan harapan untuk anak-anak pesakit kanser yang sedang berjuang untuk sembuh.


Maklumat lanjut:


Ajwa Bakery:

📞 019-380 0530 (Noor Balqis Mohd Hairuddin)

📧 ajwabakery77@gmail.com

📱 Facebook/Instagram/TikTok/Threads/X: @ajwabakery


Adina Charity Circle:

📞 019-980 7181 (Farah Raehan Mohd Mardzi)

📧 adina.charitycircle@gmail.com

📱 Facebook/Instagram/TikTok/Threads/X: @adinacharitycircle


 “Setiap potongan kek adalah secebis kasih. Bersama, kita maniskan perjuangan mereka.”


Comments