SHOWCASE PISTOL & BUNGA: Legenda Rock Bergabung di ASWARA, Buka Peluang Baharu Untuk Generasi Muda
KUALA LUMPUR, 8 September 2025 – Dunia muzik rock Malaysia sekali lagi mencatat sejarah apabila dua nama besar dalam industri, Edrie Hashim dan kumpulan rock wanita legenda Candy, tampil dengan kolaborasi unik di bawah label Neo Gendang Records. Lebih istimewa, kerjasama ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi menjadi sebahagian daripada modul pembelajaran kursus APS 5123: Pengurusan Produksi Muzik di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA).
Program yang dinamakan “PISTOL & BUNGA” ini dilancarkan secara rasmi melalui sidang media hari ini, menjadikan ASWARA sebagai lokasi pertama siri jelajah universiti di seluruh Malaysia. Selepas Kuala Lumpur, siri jelajah ini akan dibawa pula ke universiti-universiti lain termasuk UiTM Shah Alam, Universiti Malaya (UM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Simbolik “Pistol” dan “Bunga”
Nama program ini sendiri membawa makna mendalam. “Pistol” mewakili figura ikonik rock tanah air, Edrie Hashim, gitaris dan penerbit muzik yang pernah bekerja dengan nama-nama besar seperti Amy Search, Awie, Ella, Hattan, Misha Omar, Jaclyn Victor, Def Gab C, dan ramai lagi. Beliau juga dikenali sebagai ketua kumpulan Projek Pistol dengan lagu popular Wanita Seluruh Dunia, selain menjadi pemain gitar kumpulan Wings sejak 2015.
Manakala “Bunga” melambangkan kumpulan Candy, band wanita yang menjadi legenda sejak 1996 dengan lagu hits mereka Akan Ku Tunggu. Dianggotai oleh Patricia Robert (Pat), Nancy Graggory, Anis Kalisa, dan Bulan Terry, Candy dikenali sebagai kumpulan wanita penuh tenaga, namun tetap mengekalkan sisi lembut dan keindahan yang disimbolkan melalui bunga mawar.
Candy Kembali Dengan Nafas Baharu
Selepas lebih dua dekad dalam industri, Candy membuktikan mereka masih relevan dengan pelancaran single terbaru, Setia2u (September 2024), ciptaan Edrie Hashim sendiri. Lagu ini bukan sahaja menjadi buah tangan baharu untuk peminat setia, malah menjadi simbol kebangkitan Candy dengan semangat baharu dan keanggotaan yang lebih segar.
Kejayaan mereka turut diiktiraf apabila menerima Malaysia Book of Records (2023) untuk kategori Most All Female Bands Performing Simultaneously.
Lebih menarik, Candy turut memberi kejutan kepada peminat apabila mengumumkan bakal mempersembahkan semula lagu-lagu dari album pertama mereka yang pernah mendapat sambutan hangat di Singapura. Antara lagu yang akan diketengahkan ialah karya ikonik yang menjadi nadi kepada populariti awal Candy, membuktikan bahawa muzik mereka masih evergreen dan kekal relevan merentas generasi.
Platform Belajar & Berkarya untuk Pelajar
Menurut Edrie Hashim, kolaborasi ini lebih daripada sekadar konsert atau siri jelajah. Ia adalah platform pendidikan praktikal untuk pelajar universiti, khususnya di ASWARA.
“Saya mahu pelajar bukan hanya melihat dari jauh, tetapi merasai pengalaman mengurus produksi sebenar – daripada pentas, promosi, kewangan sehinggalah berdepan dengan artis profesional. Inilah ilmu sebenar yang tidak boleh diperoleh hanya melalui teori,” jelas Edrie dalam sidang media.
Pensyarah kursus berkenaan, Encik Wan Mohamed Syamil bin Wan Shamsul Anuar, turut menekankan bahawa program ini memberi nilai tambah kepada fakulti kerana melibatkan pelajar secara langsung dalam projek industri berskala besar.
Ujibakat di ASWARA & Showcase Perdana
Pagi tadi, Edrie Hashim telah mengadakan sesi audition eksklusif di Aswara, bertujuan mencari bakat baharu untuk digandingkan dalam persembahan utama “PISTOL & BUNGA”. Ujibakat yang bermula dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu menyaksikan kehadiran pelajar berbakat yang ingin mencuba nasib dalam posisi gitaris, pemain bass, pemain drum dan pemain keyboard.
Tiga panel juri berpengalaman – Edrie Hashim, Hafiz Shah dan Reza Mohammad – diberi mandat untuk menilai serta memilih peserta terbaik. Mereka yang berjaya akan dibentuk sebagai sebuah band pelapis dan diberikan peluang keemasan untuk tampil sebaris di pentas besar bersama Edrie Hashim & Candy.
Peluang ini bakal direalisasikan dalam Showcase Perdana “PISTOL & BUNGA” yang akan berlangsung pada:
20 September 2025 (Sabtu)
Jam 8.30 malam
Bertempat di Orchestra Hall, ASWARA
Tema: Pistol & Bunga - Gaya rockers - Jaket Kulit & Denim
Objektif & Harapan
Program ini dirangka dengan pelbagai objektif, antaranya:
- Menghargai sumbangan legenda rock Malaysia dan menyemai minat generasi muda terhadap muzik.
- Menyediakan platform pelajar untuk membina jaringan industri, mempelajari selok-belok produksi muzik, serta mempromosikan muzik tempatan.
- Mengangkat nama fakulti melalui penganjuran program berskala industri.
- Menjadi asas kerjasama masa depan antara universiti dengan artis dan syarikat produksi.
Edrie menegaskan bahawa “PISTOL & BUNGA” bukan sekadar projek muzik, tetapi sebuah perjalanan budaya yang menggabungkan warisan rock Malaysia dengan bakat muda generasi kini.
Comments
Post a Comment