Syria Care Lancar HUMAM Relief: Misi Kemanusiaan Malaysia Kini Menyeluruh ke Peringkat Global
SHAH ALAM, 28 September 2025 – Perjalanan panjang lebih sedekad Syria Care dalam kerja-kerja kemanusiaan kini membuka lembaran baharu dengan kelahiran Pertubuhan Amal HUMAM (HUMAM Relief), sebuah sayap global yang bakal memperluas misi bantuan Malaysia ke seluruh dunia.
Pelancaran HUMAM Relief disempurnakan hari ini oleh Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, yang menegaskan organisasi baharu ini lahir daripada pengalaman, pengorbanan dan kejayaan Syria Care sejak mula ditubuhkan pada 2012.
“HUMAM Relief lahir sebagai ‘adik’, tetapi dengan mandat lebih luas, ia akan berperanan sebagai ‘abang’ kepada Syria Care. Syria Care kekal fokus di bumi Syam, manakala HUMAM Relief membawa pengalaman itu ke peringkat global. Kami mahu setiap komuniti yang dibantu bukan sahaja terus hidup, tetapi hidup dengan martabat,” katanya.
Dari Syria ke Uganda, Indonesia dan Malaysia
Walaupun baru setahun berdaftar, HUMAM Relief telah mula menjejakkan kaki ke pelbagai negara. Antara projek awalnya termasuk:
- Pembinaan telaga air bersih di Uganda dan Indonesia.
- Pemulihan rumah rosak akibat konflik di Syria.
- Projek W.A.S.H (Air, Sanitasi dan Kebersihan) di Malaysia, dengan memberi penekanan kepada Inisiatif Kebersihan Wanita dan Kesihatan Haid melalui kerjasama bersama agensi kerajaan serta sektor korporat.
Langkah ini, jelas Siti Sakinah, hanyalah permulaan. HUMAM Relief mensasarkan menjadi antara peneraju misi kemanusiaan global yang menekankan penyelesaian mampan, inovasi dan pemerkasaan komuniti rentan.
Transformasi Syria Care
Majlis pelancaran ini turut menyaksikan pengumuman logo baharu Syria Care, simbol aspirasi baharu selepas lebih 10 tahun berbakti.
Ditubuhkan pada 2012 oleh sekumpulan sukarelawan termasuk bekas pelajar Syria di Malaysia, Syria Care bermula dari sebuah bilik kecil dan berkembang menjadi NGO kemanusiaan berpengaruh. Antara pencapaian besarnya termasuk:
- Projek Kampung Malaysia di Idlib, menempatkan 274 keluarga daripada khemah ke rumah selamat.
- Penajaan hampir 6,000 anak yatim sejak lebih sedekad.
- Pembinaan 19 sekolah termasuk sekolah khas anak yatim di Agrabat.
- Penubuhan Dar As Sakinah, rumah anak yatim dan warga emas di Jisr Al Shughur.
- Bantuan kepada hampir 6 juta penerima manfaat di Malaysia, Syria, Türkiye, Lubnan, Afghanistan, Uganda, Yemen, Nepal dan selatan Thailand.
Syria Care juga menjadi NGO Malaysia pertama yang berdaftar secara rasmi di Syria, membolehkan bantuan disalurkan secara lebih sistematik dan berkesan.
HUMAM Relief: Sayap Global, Misi Sejagat
Dengan lahirnya HUMAM Relief, Syria Care akan lebih fokus pada misi di bumi Syam – Syria, Palestin dan Lubnan – manakala HUMAM Relief akan menjadi wajah global misi kemanusiaan Malaysia. Kedua-duanya tetap digerakkan oleh pasukan yang sama, berasaskan semangat yang sama: kemanusiaan tanpa sempadan.
“Perjalanan Syria Care lebih sedekad membuktikan bahawa doa, sumbangan dan sokongan rakyat Malaysia mampu mengubah kehidupan insan lain. HUMAM Relief adalah kesinambungan daripada kekuatan ini. Misi ini bukan milik Syria Care atau HUMAM Relief semata-mata, tetapi milik kita semua sebagai manusia yang diamanahkan untuk membela manusia lain,” tegas Siti Sakinah.
Tentang Syria Care
Sejak ditubuhkan, Syria Care menjadi jambatan antara rakyat Malaysia dan Syria – bukan sahaja dalam bantuan kecemasan, tetapi juga projek jangka panjang yang berimpak besar. Dengan wajah dan aspirasi baharu, Syria Care bersama HUMAM Relief kini mengorak langkah lebih jauh: memastikan setiap komuniti rentan di mana sahaja mereka berada mampu membina semula kehidupan dengan penuh maruah dan harapan.
Comments
Post a Comment