Shah Alam, 14 Jun 2025 – Dalam satu langkah yang dilihat mampu merubah landskap pelancongan pendidikan di Malaysia, Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) dan Universiti Islam Selangor (UIS) secara rasmi telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memperkukuh sektor pelancongan berasaskan pendidikan — terutamanya dalam bidang pengajian Islam, penghayatan budaya dan pertukaran akademik antarabangsa.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Hotel Concorde Shah Alam ini turut disaksikan oleh pemain industri, penggiat pelancongan serta pemimpin akademik. Usahasama ini dilihat sebagai pencapaian penting dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia, khususnya Selangor, sebagai destinasi pilihan dalam pelancongan pendidikan, terutamanya untuk pasaran ASEAN dan Timur Tengah.
Fokus kepada Pendidikan Islam dan Pengalaman Budaya
Melalui MoU ini, MITDA dan UIS bersetuju untuk membangunkan pelbagai program pelancongan pendidikan yang tersusun dan bernilai tinggi, antaranya:
- Lawatan sambil belajar jangka pendek untuk pelajar antarabangsa
- Jejak warisan Islam dan modul pembelajaran secara pengalaman (experiential learning)
- Program penghayatan budaya untuk golongan belia dan sarjana
- Seminar bersama, pertukaran akademik dan kerjasama penyelidikan dalam bidang pelancongan
- Promosi UIS sebagai hab pendidikan Islam dan latihan pelancongan
Presiden MITDA, Kapten Mahadzir Tan Sri Mansor berkata, kerjasama ini seiring dengan usaha MITDA untuk mempelbagaikan penawaran pelancongan masuk (inbound tourism) Malaysia melalui pendekatan yang lebih akademik dan berteraskan budaya Islam.
“UIS mempunyai kredibiliti akademik yang kukuh. Gabungan ini akan menjadikan Selangor sebuah pusat tumpuan baharu dalam pelancongan berteraskan ilmu,” jelas beliau.
UIS Sasar Antarabangsakan Pengajian Islam Malaysia
Naib Canselor UIS, Dato’ Profesor Dr. Mohd Farid Ravi Bin Abdullah pula menyambut baik inisiatif ini yang dilihat sangat bertepatan dengan agenda pengantarabangsaan universiti.
“Kami percaya bahawa ilmu adalah jambatan antara budaya. Melalui MoU ini, kami ingin menarik lebih ramai pelajar, sarjana dan delegasi luar negara yang bukan sahaja datang untuk belajar, tetapi juga untuk meneroka kekayaan warisan Islam dan kepelbagaian budaya Malaysia,” ujar beliau.
Sokong Tahun Melawat Malaysia 2026
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, kerjasama ini sangat bertepatan dengan matlamat nasional. Pelancongan pendidikan dikenal pasti sebagai antara sektor berimpak tinggi yang mampu menjana hubungan jangka panjang dan kunjungan berulang, terutamanya dari rantau Timur Tengah, Asia Tengah, Indonesia dan Selatan Thailand.
Lebih menarik lagi, inisiatif ini akan melibatkan kolaborasi bersama pengusaha pelancongan tempatan, inap desa, pusat budaya serta komuniti masjid untuk membangunkan pakej pelancongan pendidikan yang lebih inklusif dan autentik.
Malaysia bukan sekadar tempat belajar, tetapi destinasi untuk menyelami keindahan ilmu, budaya dan spiritualiti. Usahasama MITDA dan UIS ini membuka pintu kepada dunia untuk mengenali Malaysia dari sudut yang lebih mendalam.
Comments
Post a Comment