MAWAR 2025: Bila Seni Bertemu Jiwa Dan Wakaf

MAWAR 2025: Bila Seni Bertemu Jiwa dan Wakaf


Sesuatu yang luar biasa sedang menanti kita pada Oktober ini iaitu sebuah konsert yang lebih daripada sekadar persembahan seni. Dikenali sebagai Konsert Malam Wakaf Rakyat 2025 (MAWAR 2025), acara ini bukan sahaja menghiburkan tetapi turut mengetengahkan nilai spiritual, kemanusiaan dan legasi amal yang tidak pernah putus. Dianjurkan oleh Yayasan Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Kebudayaan UKM dan Kengkawan Project, MAWAR 2025 bakal membuka ruang kepada masyarakat untuk merenung, menyumbang dan menghayati makna sebenar memberi.


Dengan tema mendalam, “Biarpun Nafasmu Terhenti, Pahalamu Terus Mengalir”, MAWAR 2025 mengajak kita memahami bahawa kematian bukan penamat, tetapi permulaan kepada pahala yang terus mengalir melalui amal jariah seperti wakaf. Ia merupakan sebuah konsert berbentuk refleksi – gabungan tazkirah, nyanyian, lakonan, kisah benar dan selawat yang mendamaikan jiwa.


Barisan pengisi program juga bukan calang-calang. Antara yang bakal menjayakan malam penuh makna ini ialah Datuk Ramli Sarip, Prof. Madya Dato’ Dr. Mohd Izhar Ariff, Lah Ahmad, Caliph Buskers, Vanidah Imran, serta kumpulan nasyid tersohor Raihan dan UNIC. Turut serta ialah Abby Fana, Dr PU Razi, dan Azhar Hilmi – masing-masing membawa peranan tersendiri untuk menyampaikan mesej tentang harapan, perjuangan hidup, dan kekuatan amal.

Salah satu keunikan MAWAR 2025 ialah komitmennya terhadap inklusi OKU – menjadi konsert pertama di Malaysia yang menggunakan bahasa isyarat secara langsung sepanjang persembahan. Inisiatif ini memberikan ruang buat komuniti pekak untuk turut sama menghayati setiap mesej yang disampaikan, menjadikan MAWAR bukan hanya sebuah konsert, tetapi simbol keterangkuman dan kasih sayang sejagat.

Lebih Daripada Hiburan – Sebuah Misi Wakaf

MAWAR 2025 sebenarnya adalah sebuah pendekatan inovatif dalam mendidik masyarakat tentang kepentingan wakaf. Semua hasil jualan tiket akan disalurkan ke Dana Wakaf UKM, yang digunakan untuk menyokong pelbagai projek kebajikan, penyelidikan, pembangunan pelajar, dan inisiatif pendidikan. Ia membawa misi besar – membudayakan wakaf sebagai satu amalan biasa dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Menjadikan misi ini lebih kuat, MAWAR 2025 turut disokong oleh beberapa rakan strategik yang memainkan peranan penting di belakang tabir.

Antara rakan strategik utama ialah Adina Charity Circle (ACC), sebuah organisasi wanita yang aktif dalam kerja-kerja amal dan komuniti. Fokus terkini adalah membantu kanak kanak kanser dengan menyediakan susu, lampin pakai buang dan keperluan mereka selain menyantuni dan menghiburkan mereka yang memerlukan keperihatinan daripada masyarakat sekitar. Sokongan ACC terhadap MAWAR 2025 membantu memperluaskan lagi capaian dakwah melalui seni dan budaya.

Peranan mereka tidak hanya terhad kepada promosi dan logistik, malah turut terlibat dalam pengisian program dan penyampaian mesej-mesej utama berkaitan wakaf, kesedaran sosial dan pembangunan spiritual masyarakat.

Butiran Konsert

Konsert MAWAR 2025 akan berlangsung pada:

Tarikh: 10 Oktober 2025 (Jumaat)

Masa: 8.30 malam – 11.00 malam

Tempat: Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi

Tiket: RM49 – RM199 (boleh didapati melalui www.ticket2u.com)

Dengan harga tiket yang sangat berpatutan, anda bukan sahaja hadir sebagai penonton, tetapi juga sebagai penyumbang amal jariah yang akan terus mengalirkan manfaat untuk masa depan.

Akhir Kata

MAWAR 2025 bukan hanya untuk ditonton, tetapi untuk dihayati. Ia mengajak kita melihat ke dalam diri, menyentuh hati dan membuka mata tentang apa yang boleh kita tinggalkan untuk dunia walau hanya secebis, tetapi bermakna.

Jika anda mencari satu malam yang mampu mengubah perspektif, memberikan ketenangan dan menyuntik semangat untuk berbuat baik inilah malamnya. Tempah tiket anda, hadir bersama keluarga atau rakan, dan jadilah sebahagian daripada gerakan seni dan amal yang mengangkat jiwa.


Comments