MASDO Umum Konsert Ulang Tahun ke-10: “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun”

MASDO Raikan Satu Dekad Dalam Industri Muzik Dengan Konsert Istimewa “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun”

KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 – Kugiran retro moden kesayangan ramai, MASDO, telah mencipta satu lagi sejarah apabila mereka mengumumkan konsert ulang tahun ke-10 mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Sambutan sedekad dalam industri muzik ini diraikan secara penuh bergaya menerusi majlis eksklusif bertajuk “Perjumpaan Ahli Mesyuarat Tingkap” yang diadakan pada 30 April 2025 di Saloma, Kuala Lumpur.

Petunjuk Misteri Sebelum Pengumuman

Beberapa hari sebelum majlis berlangsung, suasana menjadi hangat di media sosial apabila ahli kumpulan MASDO – Ali Sariah, Asmawi, dan Putu Ceri – memuat naik hantaran misteri di Instagram. Gaya kriptik mereka itu mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat, yang tertanya-tanya apakah kejutan besar yang sedang dirancang oleh kumpulan yang sinonim dengan muzik berunsur retro dan irama Melayu klasik ini.

Segala persoalan akhirnya terjawab pada malam 30 April, apabila MASDO mendedahkan bahawa mereka bakal mengadakan konsert mega bagi memperingati perjalanan seni selama satu dekad, yang pastinya menjadi detik bersejarah buat mereka dan seluruh peminat.

Mini Showcase Sarat Nostalgia


Majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan mini showcase secara langsung oleh MASDO, yang mengimbau kembali lagu-lagu hits yang telah melonjakkan nama mereka dalam industri. Lagu-lagu seperti “Dinda”, “Lautan Asmara”, “Janji Manis”, “Bunga”, dan “Berchanda di Malam Indah” dimainkan secara eksklusif, mengundang sorakan dan nyanyian bersama daripada lebih 200 tetamu yang hadir termasuk para peminat setia dan rakan media.

Suasana yang cukup hangat dan mesra ini membuktikan betapa kuatnya hubungan antara MASDO dan peminat mereka yang tidak pernah jemu menyokong sejak awal penubuhan kumpulan ini.

Pengumuman Konsert Ulang Tahun “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun”

Kemuncak acara tiba apabila MASDO mempersembahkan grand reveal konsert ulang tahun ke-10 mereka. Dengan penuh simbolik, mereka menurunkan kain besar yang menutupi bangunan MATIC, memperlihatkan poster rasmi konsert sambil diserikan dengan letupan bunga api.

Konsert yang diberi nama “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun” ini akan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Idea Live Arena KL @ 3 Damansara — sebuah lokasi konsert baharu yang bakal menjadi tumpuan industri hiburan tanah air. MASDO juga merupakan artis pertama yang mengumumkan konsert di venue ini, yang boleh memuatkan hingga 7,000 penonton, menjanjikan suasana lebih dekat dan intim bersama para peminat.

Harga Tiket & Pendaftaran Awal

Peminat MASDO yang tidak mahu terlepas peluang menyaksikan persembahan ikonik ini boleh mula membuat pra-pendaftaran dari 30 April hingga 1 Mei untuk mendapatkan tiket pada harga promosi Early Bird Rockzone – RM128.

Sekiranya terlepas fasa pra-pendaftaran, anda masih boleh mendapatkan tiket semasa jualan umum (Public Sale) dengan harga seperti berikut:

  • Rockzone (Free Standing) – RM148
  • Cat 1 (Free Seating) – RM198

Maklumat lanjut mengenai pembelian tiket akan diumumkan tidak lama lagi.

Siapa Di Sebalik Konsert Ini?

Konsert ini dianjurkan oleh Hitman Solutions, syarikat penganjur yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam menganjurkan konsert berskala besar – baik tempatan mahupun antarabangsa. Hitman Solutions terkenal dengan keupayaan untuk merealisasikan acara dengan kualiti produksi bertaraf tinggi, dan konsert ini dijangka tidak terkecuali.

Menurut Rohit Rampal, CEO dan Pengasas Hitman Group:

“Kami sentiasa mencari peluang untuk menyokong artis tempatan. Dengan bakat, pengalaman dan legasi MASDO yang konsisten selama satu dekad, kami percaya konsert ini perlu diraikan secara besar-besaran. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu penghargaan kepada perjalanan seni mereka yang luar biasa.”


Rakan-Rakan Rasmi Konsert

Konsert “Al-Kisah Masdo Sepuloh Tahun” turut mendapat sokongan daripada beberapa rakan rasmi termasuk:

  • Kugiran Masdo Empire (Pengurusan Artis)
  • Saloma Kuala Lumpur (Venue Rasmi)
  • ERA, Sinar & Gegar (Radio Rasmi)
  • Astro Gempak (Media Rasmi)
  • Warner Music (Kerjasama Label)

Ikuti Perkembangan dan Beli Tiket

Untuk tidak terlepas sebarang pengumuman penting mengenai konsert, peminat digalakkan mengikuti akaun rasmi MASDO dan Hitman Solutions di media sosial:


Comments