SIDANG MEDIA EKSKLUSIF: “KONSERT GELOMBANG BAHAGIAKU”
Dua Jiwa, Satu Gelombang – Atilia Haron & Salamiah Hassan Bersatu di Pentas
KUALA LUMPUR, 13 Mei 2025 – Detik penuh magis bakal tercipta apabila dua figura seni yang bukan sahaja disatukan oleh darah tetapi juga muzik, Atilia Haron dan ibunya, legenda seni suara tanah air, Salamiah Hassan, bergandingan dalam sebuah konsert istimewa bertajuk “Konsert Gelombang Bahagiaku”.
Konsert yang dianjurkan oleh Mujik Wand Production ini akan berlangsung pada 16 Ogos 2025, jam 8:30 malam di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Ia menjanjikan bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi juga pengalaman emosi yang menyatukan dua generasi dalam satu nada cinta yang abadi.
Impian Jadi Nyata: Pentas Buat Ibu Tersayang
Bagi Atilia, peluang untuk berkongsi pentas dengan ibunya bukan sekadar pencapaian seni tetapi juga satu bentuk penghargaan yang mendalam buat wanita yang paling dihormati dalam hidupnya.
“This is a dream come true for me! Sejak kecil, saya teringin menjadi seperti ibu saya. Peluang dapat berkongsi pentas yang hebat bersama beliau membuatkan saya rasa seperti gadis paling bertuah di dunia!” – Atilia Haron
Dua Generasi, Dua Gaya, Satu Cinta
Salamiah Hassan, yang sedang meraikan 55 tahun penglibatannya dalam dunia seni menerusi kempen #Legacy – Celebrating 55 Years in Music, turut meluahkan rasa syukur atas peluang bersejarah ini.
“Walaupun cara nyanyian kami berbeza, saya percaya gabungan ini cukup istimewa buat para penonton. Ini kali pertama kami berkongsi pentas berskala besar, dan saya sangat bersyukur.” – Salamiah Hassan
Konsert ini akan menyatukan dua dunia – klasik dan kontemporari – dalam satu nadi muzik yang sarat emosi dan kisah kasih seorang ibu dan anak.
Duet Pertama: “Age Is Just A Number”
Salah satu detik kemuncak konsert ini adalah persembahan “Age Is Just A Number”, lagu baharu yang menjadi duet sulung mereka. Lagu ini membawa mesej mendalam tentang keberanian, kematangan dan cinta terhadap kehidupan tanpa batas usia.
“Lagu ini adalah refleksi kami – dua wanita berdikari yang mencintai apa yang kami lakukan dengan penuh semangat positif,” kata Atilia.
Bahagia Itu – Menyanyi Bersama
Atilia menyifatkan saat mereka menyanyi sambil bertentang mata sebagai detik yang paling dinanti. Manakala bagi Salamiah, dia berharap penonton dapat merasai kehangatan kasih ibu-anak yang terserlah bukan sekadar dalam vokal, tetapi juga dari jiwa mereka yang saling memahami.
“Kami berbeza, namun cinta terhadap seni menyatukan kami lebih dalam,” ujar Salamiah penuh emosi.
“Konsert Gelombang Bahagiaku” menjanjikan satu malam yang menyentuh hati, memukau jiwa dan menjadi bukti bahawa muzik adalah bahasa cinta yang merentas usia dan generasi.
Tiket telah mula dijual pada 13 May 2025 di www.tiket2u.com
Comments
Post a Comment