PENGORBANAN TERLARANG TERUNGKAP DALAM ‘SENYAWA’

PENGORBANAN TERLARANG TERUNGKAP DALAM ‘SENYAWA’

iQIYI Mempersembahkan Drama Bersiri Terbaharu Lakonan Mantap Trisha Ooi, Shahz Jaszle & Siti Hariesa

 



KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2024 - Mungkin jarang diperkatakan tentang isu tabu ini, perihal ‘ibu tumpang’ di kalangan umat Islam, namun pengorbanan terlarang bakal terungkap dalam drama bersiri terbaharu berjudul ‘SENYAWA’ pada 25 Oktober ini. Aplikasi penstriman popular Asia, iQIYI sekali lagi mempersembahkan sajian istimewanya melalui barisan pelakon handalan tanah air seperti Trisha Ooi, Shahz Jaszle, Siti Hariesa, Datin Nina Juren, Liang Chia, Aleza Shadan, Heryanto Hassan dan ramai lagi, manakala arahan oleh pengarah berpengalaman, Eyra Rahman.

Drama ini mengisahkan tentang Zabrina (lakonan Trisha Ooi), seorang ahli perniagaan wanita berjaya hidup dalam rumah tangga yang bahagia, namun di sebalik kejayaannya, Zabrina berdepan dengan pelbagai konflik. Setelah mendirikan rumah tangga dengan Iskandar (lakonan Shahz Jaszle), Zabrina mengalami keguguran dan disahkan menghidap ‘cervical insufficiency’. Tertekan dengan desakan ibu mertuanya, Dato’ Asmida (lakonan Datin Nina Juren) yang mahukan cucu, Zabrina tekad mendapatkan ibu tumpang kerana tidak sanggup dimadukan. Pertemuan dengan Lutfiyah (lakonan Siti Hariesa), seorang gadis kampung berpewatakan seakan dirinya membuatkan Zabrina merasakan Lutfiyah calon yang sesuai sebagai ibu tumpang. Semuanya bakal terjawab dalam SENYAWA.

Trisha berkongsi tentang watak Zabrina yang dibawakannya bukanlah sesuatu yang mudah, “Cabaran saya memainkan watak Zabrina sangat banyak kerana perlu membuat pelbagai persiapan demi menjayakan watak tersebut.

“Saya banyak berbincang dengan pengarah, Eyra untuk membina dan mencipta watak seberat Zabrina. Bayangkan saya perlu bermain dengan emosi dari seorang yang dominan dan pada masa yang sama sangat rapuh hatinya, berlaku pergolakan jiwa di situ. Namun, saya puas dapat berikan yang terbaik dan berharap penonton turut merasainya.

Bagi Shahz Jaszle, watak suami sering dilakonkannya tetapi apabila melibatkan isu ibu tumpang tidak pernah, “Saya perlu menyelami watak Iskandar yang terlalu menyayangi isterinya sehingga sanggup berkorban melakukan perkara yang dilarang dalam agama.

“Nasihat saya, sebagai khalifah dalam sebuah keluarga, suami harus membimbing rumah tangga kerana kunci utamanya adalah agama, dan sebagai orang Islam kita harus mempertahankan yang halal dan menidakkan yang haram.


Siti yang membawakan watak Lutfiyah merasakan banyak mesej berguna dalam drama ini, “Selain lakonan ketiga-tiga watak yang mencabar, banyak pengajaran berguna saya pelajari.

“Dalam sesebuah perhubungan, harus ada ketelusan dan jangan banyak berahsia, terutamanya dengan pasangan kita. Beringatlah sebelum bertindak dan jangan terlalu ikutkan perasaan sehingga agama yang tergadai.

Menurut pengarah Eyra, “Isu yang diangkat dalam drama ini sangat berat kerana ianya berkaitan dengan hukum halal dan haram. SENYAWA adalah sebuah naskah di mana pendekatan yang diambil adalah menghalalkan hukum yang haram. Kerana desakan hidup, fikiran waras seseorang terpesong dengan memilih jalan mudah iaitu menghalalkan perkara yang haram seperti ibu tumpang, semua ini berlaku di atas sifat kepentingan tanpa memikirkan keburukkan yang mendatang.



En. Jony Deng, Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura berkata, “Sebagaimana drama-drama bersiri keluaran iQIYI yang terdahulu saya berharap agar drama ini mendapat sambutan daripada penonton dan menjadikan ia sebagai pengajaran kepada masyarakat Malaysia. Saya juga berharap agar penonton dapat berhibur dengan jalan ceritanya yang asli, barisan pelakon handalan dan pengajaran tentang hukum agama yang dapat dijadikan iktibar.”

Jangan lupa temujanji anda bersama drama SENYAWA pada 25 Oktober 2024, pada jam 9:00 malam (setiap Jumaat & Sabtu) yang menjanjikan sebuah pengalaman menarik dengan aspek kekeluargaan, percintaan dan pengorbanan.

Muat turun aplikasi iQIYI di App Store atau Play Store di peranti digital anda sekarang, taipkan SENYAWA, kemudian klik ‘Pesan’ untuk menerima peringatan awal, dan tonton!


 Mengenai iQIYI International

iQiyi International yang berpangkalan di Singapura menyediakan perkhidmatan penstriman video atas permintaan dengan menawarkan pilihan hiburan dari Asia kepada para penonton global. Menawarkan perkhidmatan yang disokong oleh iklan dan juga langganan VIP, iQiyi International menyajikan drama-drama bersiri premium, tayangan filem, rancangan variasi dan anime; dalam bahasa tempatan dan sari kata; dikuasakan oleh teknologi terkini. iQiyi International turut menawarkan teknologi ini kepada perkhidmatan hiburan yang lain melalui perkongsian SaaS. iQiyi International boleh ditonton melalui sebarang peranti menerusi laman web iQ.com dan juga aplikasi. iQiyi International dimiliki oleh iQiyi, Inc. (Nasdaq: IQ).

Akaun Media Sosial iQYI Malaysia:

Instagram: iqiyimalaysia | TikTok: iqiyi_malaysia | YouTube: iQIYI Malaysia | X: iQIYIMalaysia | Facebook: iQIYI Malaysia

   

Comments