Menara Kuala Lumpur Merintis Visi Destinasi Ikonik Bertaraf Dunia Menjelang Visit Malaysia 2026



Menara Kuala Lumpur Merintis Visi Destinasi Ikonik Bertaraf Dunia Menjelang Visit Malaysia 2026

Kuala Lumpur, 29 Januari 2026 — Menara Kuala Lumpur, antara mercu tanda paling berprestij di persada langit negara, terus memperkukuh peranannya sebagai aset strategik pelancongan Malaysia apabila mengumumkan hala tuju strategik dan pelan pembangunan destinasi bagi tahun 2026, bersempena sambutan ulang tahun ke-30 penubuhannya serta kempen nasional Visit Malaysia 2026 (VM2026).

Di bawah pengurusan LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), Menara Kuala Lumpur kini berada pada fasa transformasi berfokuskan pengalaman, beralih daripada fungsi asal sebagai menara telekomunikasi kepada sebuah destinasi pelancongan moden yang menyokong pertumbuhan ekonomi pelawat, pengukuhan identiti bandar Kuala Lumpur dan peningkatan daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa.

Dengan ketinggian 421 meter, Menara Kuala Lumpur kekal sebagai menara telekomunikasi tertinggi di Asia Tenggara dan ketujuh tertinggi di dunia. Setiap tahun, hampir satu juta pengunjung dari dalam dan luar negara berkunjung ke menara ini, menjadikannya platform penting bagi promosi pelancongan, penganjuran acara, ekspresi budaya dan penglibatan antarabangsa.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal bin Hj. Othman, Menara Kuala Lumpur memiliki kedudukan unik sebagai ikon nasional dan pemangkin ekonomi pelancongan.

“Menara Kuala Lumpur bukan sekadar mercu tanda negara, tetapi sebuah aset strategik. Memasuki ulang tahun ke-30, keutamaan kami adalah memastikan menara ini kekal relevan dan berdaya saing melalui pengalaman terkurasi, kerjasama strategik serta program berimpak tinggi yang menyokong aspirasi Visit Malaysia 2026 dan seterusnya,” katanya.



Bagi memperkukuh nilai penawaran, LSHSM menyusun pembangunan Menara Kuala Lumpur berlandaskan tiga teras utama, iaitu pengalaman pelawat yang imersif, hospitaliti dan sajian premium, serta pengurusan acara dan venue bertaraf dunia. Antara tarikan utama termasuk Sky Terrace, Glass Box, Observation Deck serba cuaca, pencahayaan malam ikonik, ORBIT Revolving Dining, serta ruang acara eksklusif seperti HEMISFERA Luxury Sky Hall, Sky Mega Hall dan Tower Terrace.


Pendekatan ini, jelas Encik Khairil Faizal, berpaksikan strategi jangka panjang yang menekankan placemaking, bukan sekadar penciptaan tarikan bersifat sementara.

“Kami memberi tumpuan kepada pembentukan Menara Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi yang menyatukan budaya, gaya hidup dan inovasi. Matlamatnya adalah untuk mewujudkan nilai ekonomi yang mampan, meningkatkan keterlihatan media dan menawarkan pengalaman bermakna kepada pelawat domestik serta antarabangsa.”


Seiring dengan VM2026, Menara Kuala Lumpur turut memperkenalkan kalendar program istimewa sepanjang tahun 2026 yang dirangka untuk merangsang kunjungan berulang dan memanjangkan tempoh lawatan. Program ini merangkumi penganjuran acara kebudayaan dan perayaan nasional, inisiatif gaya hidup dan komuniti, tarikan pelancongan sukan seperti Kuala Lumpur Tower Run International Challenge dan International Base Jump, selain acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-30 pada Oktober 2026.

Dalam masa yang sama, LSHSM menegaskan komitmen berterusan terhadap kecemerlangan operasi, keselamatan, kelestarian dan pelancongan inklusif, selaras dengan keperluan pembangunan mampan dan kepentingan komuniti setempat.

Usaha strategik ini turut menerima pengiktirafan di peringkat nasional dan antarabangsa. Antara pencapaian terkini Menara Kuala Lumpur termasuk TRIP.BEST 2025 Global 100 Nightlife Award oleh Trip.com Group, rekod Malaysia Book of Records bagi Highest Altitude Lantern Walkabout, serta Anugerah Khas Datuk Bandar Kuala Lumpur 2025 bagi pencahayaan bangunan ikonik.





Menjelang tahun 2026, Menara Kuala Lumpur dijangka melancarkan pelbagai pakej ulang tahun, promosi bersepadu dan kolaborasi strategik bagi memperkukuh daya tarikan pasaran serta nilai pengalaman pelawat.

Dengan visi yang jelas dan strategi yang tersusun, Menara Kuala Lumpur terus berdiri bukan sekadar sebagai simbol kebanggaan negara, malah sebagai pemacu utama kepada pembangunan ekonomi pelancongan, budaya dan pengalaman Malaysia di persada global.


Comments