Malam Rindu Bayangan: Malam Penuh Kenangan Buat Insan Seni Tersayang
Pada malam Ahad, 11 Mei 2025, suasana di Grand Ballroom, Grand Barakah Hotel, Ampang bertukar menjadi pentas kenangan dan kasih sayang apabila majlis “Malam Rindu Bayangan” berlangsung dengan penuh emosi. Didedikasikan buat mengenang seorang legenda seni tanah air yang telah pergi, acara ini meninggalkan kesan mendalam kepada para hadirin yang terdiri daripada keluarga, sahabat, penggiat seni serta peminat setia arwah.
Majlis ini tercetus atas permintaan anak bongsu Allahyarham, Nur Camelia atau Cammy, yang menyuarakan hasrat kepada Dato’ Freddie agar diadakan satu persembahan istimewa mengenang ayahandanya. Hasrat itu telah disambut dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih oleh para sahabat serta rakan seni yang pernah berkongsi pentas dan karya bersama arwah.
Barisan Artis Legenda Bersatu di Pentas Penuh Emosi
Sepanjang tiga jam majlis berlangsung, para tetamu dihidangkan dengan persembahan amal berserta makan malam yang menyentuh hati, menampilkan barisan artis legenda tanah air, antaranya Dato’ Ramli Sarip, Dato’ Khatijah Ibrahim, Dato’ Hattan, Dato’ Jeffrydin, Jatt (Black Dog Bone), Tam (Spider), Barisan asal kumpulan Carefree.
Paling seronok ialah Dato’ M Nasir juga telah membuat bersembahan yang sangat menarik pada malam tersebut. Setiap persembahan bukan sahaja membawa aura nostalgia, tetapi turut membangkitkan kenangan manis buat mereka yang pernah menyaksikan kehebatan arwah di pentas seni suatu ketika dahulu. Lagu-lagu yang dipilih menggambarkan eratnya hubungan persahabatan, kekaguman terhadap bakat arwah, dan penghormatan kepada warisan seni yang ditinggalkan.
Jualan Amal Lukisan Penghargaan
Sebagai tambahan kepada acara persembahan, majlis turut menampilkan jualan amal lukisan penghargaan — karya eksklusif oleh Fathullah Luqman, seorang seniman kontemporari terkenal daripada Spiral Kinetik Circus / Infectious Maggots. Lukisan ini dijual secara bidaan, di mana hasil kutipan akan disalurkan kepada tujuan amal, sebagai kesinambungan nilai murni yang menjadi sebahagian daripada perjuangan seni Allahyarham semasa hayatnya. Dato’ Yusof Haslam telah berjaya memiliki lukisan tersebut dengan hasil bidaan berjumlah RM2000. Tahniah Dato’.
Malam Penuh Makna
“Malam Rindu Bayangan” bukan sekadar acara hiburan, tetapi lambang cinta dan rindu yang tidak pernah pudar. Ia juga menjadi bukti bahawa dunia seni tanah air masih utuh dengan semangat kekeluargaan, penghargaan dan solidariti. Kenangan terhadap insan seni seperti Allahyarham terus hidup, tidak hanya dalam karya dan persembahan, tetapi dalam hati setiap yang pernah mengenalinya.
Di sebalik tirai persembahan dan tepukan gemuruh, malam itu adalah tentang satu perkara — rindu. Dan dalam rindu itu, tersimpannya warisan yang akan terus dikenang sepanjang zaman.
Comments
Post a Comment