Riang Ria Fest 2026 Meriahkan MITEC Disember Ini, Himpunkan Haiwan Peliharaan, Muzik dan Aktiviti Keluarga
KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2026 – Orang ramai bakal menikmati pengalaman hujung tahun yang lebih meriah menerusi penganjuran Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah!, sebuah pesta mesra keluarga yang menghimpunkan pelbagai aktiviti hiburan, muzik, haiwan peliharaan, permainan dan beli-belah di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur, dari 4 hingga 6 Disember ini.
Dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, pesta selama tiga hari itu diperkenalkan sebagai destinasi pilihan keluarga sempena cuti sekolah akhir tahun, selain menawarkan peluang kepada pengunjung membuat persiapan kembali ke sekolah dalam suasana santai dan menyeronokkan.
Dengan tiket masuk bermula RM5 bagi pengunjung berumur 13 tahun ke atas, Riang Ria Fest 2026 turut menawarkan kemasukan percuma kepada kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, sekali gus menjadikannya pilihan aktiviti hujung minggu yang mesra keluarga.
Antara tarikan utama yang menanti pengunjung ialah Bazar Haiwan Peliharaan bersama KeciMeow Market, petting zoo yang menampilkan hampir 20 jenis haiwan, bengkel muzik dan persembahan bakat muda Malaysia, aktiviti kanak-kanak serta pelbagai tawaran beli-belah hujung tahun.
Pengunjung juga berpeluang meneroka aktiviti menarik bersama Menara Kuala Lumpur, menikmati persembahan pentas dan mendapatkan pelbagai produk serta makanan di bawah satu bumbung.
Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia, Jessie Tan berkata, Riang Ria Fest diwujudkan bagi menyediakan ruang untuk keluarga dan orang ramai meluangkan masa bersama menerusi aktiviti yang menyeronokkan, bermanfaat dan berpatutan.
Menurutnya, pesta itu merupakan acara pertama anjuran Qube yang dikhususkan untuk keluarga dan orang ramai selepas bertahun-tahun berpengalaman dalam penganjuran pameran perdagangan, acara perniagaan dan persidangan.
Konsep ‘All Got Lah!’ mencerminkan kepelbagaian tarikan yang disediakan bagi memastikan pengunjung daripada pelbagai peringkat umur dan minat dapat menikmati pengalaman tersendiri sepanjang pesta berlangsung.
Selain menawarkan hiburan kepada pengunjung, Riang Ria Fest turut menyasarkan sokongan terhadap pelancongan domestik dan ekonomi tempatan dengan menarik kehadiran penduduk Lembah Klang serta pengunjung dari negeri lain ke Kuala Lumpur.
Jessie berkata, penganjuran acara itu juga mengutamakan semangat kemasyarakatan menerusi kerjasama dengan komuniti perumahan di seluruh Lembah Klang serta sokongan terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Gift of Joy yang diperkenalkan oleh MITEC.
Bazar Haiwan Peliharaan dan Petting Zoo Jadi Tarikan Utama
Bagi pencinta haiwan, Bazar Haiwan Peliharaan yang dikendalikan bersama KeciMeow Market bakal menghimpunkan pelbagai produk dan perkhidmatan berkaitan haiwan peliharaan, termasuk makanan, aksesori, perkhidmatan dandanan, hotel haiwan serta pusat perlindungan haiwan.
Berlangsung dari 10 pagi hingga 8 malam setiap hari, bazar itu turut memberi ruang kepada pengusaha dan penyedia perkhidmatan berkaitan haiwan peliharaan untuk mendekati komuniti pencinta haiwan, di samping memupuk kesedaran mengenai kebajikan haiwan.
Pengunjung juga boleh mengunjungi petting zoo yang dibuka dari 12 tengah hari hingga 8 malam dengan bayaran RM5 seorang.
Menampilkan hampir 20 jenis haiwan domestik, burung dan reptilia, antara haiwan yang boleh dilihat termasuk arnab, burung kakak tua, landak, meerkat, prairie dog dan naga berjanggut.
Berteraskan konsep ‘kenali, pelajari dan sayangi’, aktiviti itu memberi peluang kepada kanak-kanak dan keluarga untuk mengenali haiwan dengan lebih dekat dalam suasana pembelajaran yang santai.
Muzik dan Bakat Muda Bersama YAIKK
Riang Ria Fest 2026 turut memberi perhatian kepada pembangunan bakat muda menerusi kerjasama dengan Yayasan Amanah Industri Kreatif Kebangsaan (YAIKK), yang bertindak sebagai Rakan Rasmi Pesta Muzik.
YAIKK akan mengendalikan bengkel muzik yang merangkumi alat muzik brass dan alat tiupan, drumline dan perkusi serta colour guard. Pengunjung turut berpeluang menyaksikan beberapa persembahan terpilih yang mengetengahkan bakat pemuzik muda.
Penglibatan YAIKK dalam pesta itu turut membuka ruang untuk orang ramai mengenali perkembangan industri muzik dan seni persembahan dalam kalangan generasi muda.
YAIKK sebelum ini merupakan penganjur Asian Music Games Kuala Lumpur 2026 yang menghimpunkan kira-kira 6,000 pemuzik muda dari sembilan negara.
Aktiviti Kanak-kanak dan Pengalaman Menarik Bersama Menara Kuala Lumpur
Keluarga yang membawa anak-anak turut boleh menyertai pelbagai bengkel dan aktiviti praktikal yang merangkumi seni dan kraf, sains serta muzik.
Sementara itu, Menara Kuala Lumpur yang bertindak sebagai Sahabat Riang Ria bakal membawakan aktiviti menarik, cenderamata serta maskotnya, Kay Elle dan Tawa, untuk memeriahkan suasana pesta.
Pengunjung juga berpeluang mendapatkan tiket berdiskaun bagi menikmati panorama 360 darjah Kuala Lumpur dari Menara Kuala Lumpur, selain merasai pengalaman menjamu selera di ORBIT Revolving Dining.
Selain aktiviti tersebut, pesta ini turut menawarkan pelbagai pilihan beli-belah, makanan dan minuman, hiburan serta tawaran istimewa sempena penghujung tahun.
Biolyn, jenama penjagaan rambut, penjagaan diri dan kesihatan yang ditubuhkan pada 2002, turut menyertai pesta sebagai Rakan Sokongan. Pengunjung berpeluang menebus hadiah istimewa di reruainya, tertakluk pada kuantiti terhad setiap hari.
MITEC Perkenalkan Inisiatif CSR Gift of Joy
Selain hiburan dan aktiviti keluarga, Riang Ria Fest 2026 turut membawa mesej kebajikan menerusi sokongan terhadap Gift of Joy, inisiatif tanggungjawab sosial korporat MITEC di bawah program kelestarian #myWorld.
Inisiatif itu menggalakkan orang ramai menyumbangkan mainan baharu atau terpakai yang masih elok untuk menceriakan kanak-kanak kurang bernasib baik dari rumah kebajikan terpilih sempena musim perayaan.
Kanak-kanak yang terlibat juga akan turut memeriahkan pesta pada Disember nanti, sekali gus memberikan peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman yang menggembirakan bersama pengunjung lain.
MITEC, selaku Rakan Lokasi Strategik, menyokong penganjuran pesta itu sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan pusat pameran berkenaan destinasi yang aktif untuk aktiviti keluarga, hiburan dan penglibatan komuniti.
Selain YAIKK, MITEC, Menara Kuala Lumpur, KeciMeow Market dan Biolyn, lebih banyak rakan kerjasama, pempamer serta aktiviti dijangka diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.
Dengan gabungan hiburan, pendidikan, aktiviti mesra keluarga dan inisiatif kebajikan, Riang Ria Fest 2026 dijangka menjadi antara pilihan pengunjung untuk mengisi cuti sekolah dan menikmati suasana hujung tahun di Kuala Lumpur.
Maklumat Riang Ria Fest 2026 – All Got Lah!
Tarikh: 4 hingga 6 Disember 2026 (Jumaat hingga Ahad)
Masa: 10 pagi hingga 8 malam setiap hari
Lokasi: MITEC, Kuala Lumpur
Tiket masuk umum: RM5 bagi pengunjung berumur 13 tahun ke atas, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah masuk percuma.
Tiket petting zoo: RM5 seorang.
Tiket boleh dibeli di pintu masuk atau secara dalam talian menerusi laman web rasmi riangria.my.
Untuk maklumat terkini, ikuti @riangriafest di Instagram dan Facebook serta @riang.ria.fest di TikTok.
#RiangRiaFest #AllGotLah


Comments
Post a Comment