MUNAFIK KEMBALI MENGGANAS! VERSI INDONESIA ‘MUNAFIK: MELAWAN IBLIS’ BAKAL TEMUI PENONTON MALAYSIA
KUALA LUMPUR, 30 September 2026 – Karya seram ikonik Malaysia, Munafik arahan Syamsul Yusof, kini kembali menggegarkan layar perak menerusi adaptasi Indonesia berjudul Munafik: Melawan Iblis, yang bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Oktober 2026.
Filem yang diangkat daripada naskhah asal fenomena tersebut telah mencipta kejayaan luar biasa di Indonesia apabila merekodkan hampir 150,000 penonton pada hari pertama tayangan. Malah, sebelum tayangan rasmi bermula pada 3 September lalu, kesemua tiket pratonton dilaporkan habis terjual, sekali gus membuktikan kekuatan jenama Munafik yang terus mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton Nusantara.
Munafik: Melawan Iblis merupakan hasil kerjasama Unlimited Production dan Skop Productions dengan sokongan Legacy Pictures, AZ Films serta Komet Productions, manakala Astro Shaw bertindak sebagai rakan pemasaran rasmi di Malaysia.
Menurut Penerbit Eksekutif Munafik: Melawan Iblis, Datuk Dr Yusof Haslam, kejayaan yang diraih di Indonesia membuktikan bahawa jalan cerita dan tema yang diketengahkan dalam Munafik mampu merentasi sempadan negara dan dekat di hati masyarakat serantau.
Beliau turut menyifatkan adaptasi tersebut bukan sekadar mengulangi kejayaan karya asal, malah berjaya membentuk identiti tersendiri yang relevan dengan generasi penonton masa kini.
Diarahkan oleh pengarah terkenal Indonesia, Guntur Soeharjanto, filem ini menampilkan pendekatan baharu yang lebih segar dan emosional. Nama Guntur bukan asing dalam kalangan penonton Malaysia menerusi beberapa filem popular seperti Ayat-Ayat Cinta 2, Makmum 2 dan Norma: Antara Mertua dan Menantu.
Mengangkat kisah Ustaz Adam, seorang pengamal ruqyah yang berdepan krisis kepercayaan selepas kehilangan insan tersayang, filem ini bukan sahaja menyajikan elemen seram dan gangguan mistik, malah menyelami konflik dalaman, rasa bersalah serta perjuangan mempertahankan iman ketika berhadapan ujian yang berat.
Watak Ustaz Adam dibawakan oleh pelakon terkenal Indonesia, Arya Saloka, yang melakukan persediaan intensif termasuk mendalami ilmu ruqyah dan memperkemaskan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran bagi menjayakan watak tersebut.
Menurut Arya, penglibatan dalam filem itu bukan sahaja membantu perkembangan kerjayanya sebagai pelakon, malah memberi peluang untuk memperbaiki bacaan Al-Quran serta menambah ilmu agama.
Turut mencuri perhatian ialah lakonan Acha Septriasa sebagai Fitri, watak yang disifatkannya antara peranan paling mencabar sepanjang hampir dua dekad bergelar pelakon. Selain perlu membawa emosi seorang wanita yang bergelut dengan kehilangan, beliau juga melakukan sendiri beberapa babak fizikal mencabar termasuk adegan kerasukan dan merayap di dinding.
Selain Arya Saloka dan Acha Septriasa, filem ini turut dibintangi Dimas Aditya, Faqih Alaydrus, Donny Damara, Widi Dwinanda, Annisa Hertami, Nova Eliza, Oce Permatasari dan Elvira Devinamira.
Dengan gabungan elemen seram, emosi dan konflik spiritual yang mendalam, Munafik: Melawan Iblis dijangka menjadi antara filem seram yang dinanti-nantikan oleh peminat genre tersebut di Malaysia.
Jangan lepaskan peluang menyaksikan Munafik: Melawan Iblis di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026. Ikuti perkembangan terkini filem ini menerusi platform digital rasmi Skop Productions dan Astro Shaw serta gunakan tanda pagar #MunafikMelawanIblis.
.jpeg)
.jpeg)
.jpeg)

Comments
Post a Comment