JUMINTEN EDAN Bukan Sekadar Filem Seram, Konflik Ibu Mentua dan Menantu Jadi Teras Cerita!
Siapa sebenarnya yang ‘edan’? Filem Indonesia ini mengangkat kisah wanita bisu dan pekak yang sanggup melakukan apa sahaja demi melindungi suami serta anaknya, di sebalik konflik keluarga dan amalan ilmu hitam.
Industri perfileman Indonesia kembali hadir dengan sebuah naskhah seram thriller menerusi JUMINTEN EDAN, yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 15 Oktober 2026.
Bagaimanapun, filem arahan bersama Jonathan Ozoh dan Dedy Mercy ini bukan sekadar bergantung pada elemen seram untuk mencetuskan ketakutan, sebaliknya menjadikan konflik kekeluargaan, pengorbanan cinta dan trauma sebagai tunjang utama penceritaan.
Diterbitkan oleh Mercusuar Film Indonesia, JUMINTEN EDAN membawa penonton menyelami kehidupan Juminten, seorang wanita bisu dan pekak yang terpaksa berdepan tentangan keluarga suaminya sendiri demi mempertahankan rumah tangga serta kebahagiaan anaknya.
Lebih menarik, persoalan yang dibangkitkan menerusi filem ini bukan hanya tentang kejadian aneh atau amalan ilmu hitam, tetapi turut mengajak penonton menilai semula siapa sebenarnya yang layak dianggap ‘edan’ apabila kebencian dan dendam mula menguasai sebuah keluarga.
Pengarah bersama, Jonathan Ozoh berkata, pihaknya mahu menghasilkan sebuah filem yang mampu mencetuskan ketakutan, namun pada masa sama memperlihatkan kekuatan seorang wanita yang sering dipandang rendah oleh orang sekelilingnya.
Menurutnya, elemen psikologi thriller menjadi antara kekuatan utama naskhah tersebut, dengan tekanan yang dialami Juminten berpunca daripada tindakan ahli keluarganya sendiri.
“Sebagai pengarah bersama Dedy Mercy, kami berusaha untuk menciptakan sebuah ketakutan, namun dalam masa yang sama ingin menonjolkan kekuatan seorang wanita iaitu Juminten yang di luar jangkaan.
“Filem ini juga lebih kepada psikologi thriller, dan kami tidak menjual keseraman dan ketakutan yang dibuat-buat. Bagaimanapun, tekanan yang wujud dari dalam diri Juminten berlaku akibat perbuatan keluarga,” jelasnya.
Cinta Manto Diuji, Ibu Mentua Menjadi Punca Konflik
Kisah bermula di sebuah pulau apabila Juminten menjalin hubungan rapat dengan Manto, anak tunggal keluarga Sandosa yang kaya dan mengusahakan perniagaan garam.
Namun, hubungan mereka tidak direstui oleh ibu Manto, Salma, yang menentang keras pilihan anaknya hanya kerana Juminten merupakan seorang wanita bisu dan pekak.
Walaupun berdepan tentangan keluarga, cinta Manto terhadap Juminten tidak pernah goyah. Dia akhirnya memilih untuk meninggalkan pulau tersebut bersama wanita yang dicintainya demi memulakan kehidupan baharu di Yogyakarta.
Mereka membina rumah tangga jauh daripada keluarga Manto, namun masa lalu kembali mengetuk pintu apabila sepucuk surat daripada Salma meminta mereka pulang ke pulau berkenaan.
Salma dikatakan sudah memaafkan mereka dan mahu bertemu cucunya buat kali pertama. Malah, bapa saudara Manto, Marlan, turut meyakinkan pasangan itu bahawa Salma sudah berubah dan bersedia menerima Juminten sebagai sebahagian daripada keluarga.
Kepulangan yang pada awalnya membawa harapan baharu bagaimanapun membuka ruang kepada konflik yang lebih gelap. Di sebalik kata-kata perdamaian, tersembunyi ancaman yang menguji kepercayaan, kesetiaan dan keselamatan keluarga kecil tersebut.
Juminten akhirnya terpaksa berjuang bukan sahaja untuk mempertahankan rumah tangganya, malah melindungi anaknya daripada ancaman yang datang daripada orang yang sepatutnya menerima mereka dengan kasih sayang.
Dimas Aditya Bawa Watak Suami yang Sanggup Berkorban Demi Cinta
Menerusi watak Manto, pelakon Dimas Aditya mengetengahkan gambaran seorang suami yang sanggup mempertahankan isterinya walaupun terpaksa berhadapan konflik dengan keluarganya sendiri.
Bagi Manto, cinta terhadap Juminten bukan sekadar perasaan, sebaliknya satu komitmen yang menuntut keberanian untuk membuat pilihan ketika berdepan situasi sukar.
“Ketika Manto sedar dan melihat konflik yang bermula daripada ibunya sendiri, titik perubahan bermula apabila dia harus membela isterinya.
“Untuk karakter Manto, ia adalah seorang lelaki yang berkorban demi cintanya. Jadi, dia akan melakukan apa sahaja demi cintanya kepada Juminten.
“Ketika Juminten berubah sehingga menjadi tidak terkawal, Manto tetap berusaha untuk mencari puncanya,” katanya.
Dimas turut menekankan bahawa penonton perlu melihat keseluruhan cerita sebelum membuat penilaian terhadap seseorang watak, terutama apabila tindakan yang kelihatan tidak rasional sebenarnya mempunyai latar belakang yang lebih mendalam.
“Selepas menonton filem ini, kita harus melihat skop yang lebih luas dalam menilai seseorang kerana Juminten adalah yang paling waras berbanding watak lain,” ujarnya.
Kenyataan tersebut sekali gus memberikan bayangan bahawa JUMINTEN EDAN bukan sekadar kisah tentang seorang wanita yang kelihatan hilang kawalan, tetapi turut mempersoalkan kewarasan moral mereka yang berada di sekelilingnya.
Meisya Amira Cabar Diri Membawa Watak Tanpa Dialog
Bagi Meisya Amira yang memegang watak utama, Juminten merupakan karakter yang menuntut penghayatan emosi dan fizikal yang tinggi.
Sebagai seorang wanita bisu dan pekak, Juminten tidak bergantung pada dialog untuk menyampaikan perasaan. Sebaliknya, setiap emosi perlu diterjemahkan melalui gerakan mata, ekspresi wajah dan bahasa tubuh agar penonton dapat memahami ketakutan, kesedihan serta kemarahannya.
Meisya mengakui antara cabaran terbesar sepanjang menjayakan watak tersebut ialah menyampaikan emosi dengan berkesan tanpa menggunakan pertuturan.
“Yang paling sukar untuk karakter Juminten itu adalah dia harus meluahkan emosi dan tenaganya tanpa dialog memandangkan dia seorang bisu dan pekak. Luahan itu adalah berdasarkan pergerakan mata dan tubuh dalam menyampaikan perasaannya,” jelasnya.
Bagi memastikan watak tersebut dibawakan dengan lebih meyakinkan, Meisya menjalani latihan bahasa isyarat selama dua minggu sebelum penggambaran bermula.
Tempoh latihan yang agak singkat itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun dia terus dibimbing oleh guru sepanjang penggambaran bagi memastikan penggunaan bahasa isyaratnya dapat diperbetulkan sekiranya berlaku kesilapan.
Di sebalik cabaran tersebut, Meisya melihat kekuatan Juminten terletak pada kasih sayangnya terhadap keluarga, khususnya anak yang menjadi keutamaan dalam hidupnya.
“Apa yang paling menarik tentang watak Juminten ini, anak merupakan yang paling penting dalam hidupnya. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi perjuangan membela anak serta suaminya.
“Untuk mengetahui siapakah yang sebenarnya ‘edan’ (gila) dalam filem ini, anda harus menontonnya di pawagam,” katanya.
Siapa Sebenarnya yang ‘Edan’?
Pemilihan judul JUMINTEN EDAN sendiri mengundang tanda tanya tentang siapa sebenarnya yang dimaksudkan sebagai ‘edan’, perkataan dalam bahasa Indonesia yang membawa maksud gila.
Adakah Juminten yang tindakannya semakin sukar difahami, atau individu lain yang didorong oleh kebencian, dendam dan keinginan untuk mengawal kehidupan orang sekeliling?
Persoalan itu menjadi antara tarikan utama filem ini, khususnya apabila penonton dibawa melihat konflik daripada sudut pandang berbeza. Watak yang pada awalnya kelihatan sebagai ancaman mungkin menyimpan sebab tersendiri, manakala mereka yang kelihatan baik belum tentu bebas daripada niat tersembunyi.
Penerbit kreatif, Ferdi Ali, turut meluahkan rasa bangga apabila JUMINTEN EDAN berpeluang menemui penonton di Malaysia menerusi tayangan di pawagam tempatan.
Beliau berharap filem tersebut mendapat sambutan baik, terutama dalam kalangan peminat genre seram, selain memberikan pengalaman tontonan yang berbeza menerusi gabungan elemen thriller dan konflik kekeluargaan.
Untuk pasaran Malaysia, JUMINTEN EDAN dibawakan oleh Inaman Films dan diedarkan oleh Juragan Kaya Sdn Bhd.
Selain Meisya Amira sebagai Juminten dan Dimas Aditya sebagai Manto, filem ini turut dibintangi Anne J. Cotto sebagai Salma, Kukuh Prasetyo sebagai Marlan, Wina Marrino sebagai Farida, Deden Bagaskara sebagai Kadir, Sharon Jovian sebagai Saskia dan Bambang Oeban sebagai Wahyu.
Diterbitkan oleh Dedy Mercy dengan Anggia Novita sebagai penerbit eksekutif, filem ini menampilkan Jonathan Ozoh dan Dedy Mercy sebagai pengarah bersama, manakala skripnya ditulis oleh Alim Sudio. Aspek sinematografi dikendalikan Asep Kalila, sementara Abas Gembel atau Abas Gimba bertanggungjawab dalam pengarahan seni.
Dengan mengetengahkan kisah pengorbanan seorang ibu, kesetiaan seorang suami serta konflik yang berakar daripada hubungan kekeluargaan, JUMINTEN EDAN menawarkan lebih daripada sekadar kejutan dan ketakutan.
Filem ini turut mengajak penonton mempersoalkan bagaimana seseorang boleh dinilai berdasarkan tindakannya tanpa memahami penderitaan yang dilalui, serta bagaimana kebencian dalam keluarga mampu membawa akibat yang jauh lebih mengerikan.
Saksikan JUMINTEN EDAN di pawagam seluruh Malaysia mulai 15 Oktober 2026. Bersediakah anda merungkai misteri di sebalik persoalan, siapakah sebenarnya yang ‘edan’?
Kepulangan yang sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan akhirnya bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang wanita bisu mula menunjukkan tingkah laku luar biasa sehingga mengancam nyawa insan-insan tersayang. Itulah premis misteri yang menjadi teras filem ini, mengangkat kisah trauma silam, rahsia yang terpendam dan kengerian yang mula menghantui sebuah keluarga di sebuah pulau.
Mengisahkan Juminten lakonan Meisya Amira, seorang wanita bisu yang kembali ke pulau tempat dia membesar selepas lapan tahun meninggalkan kampung halamannya. Kepulangannya bersama suami, Manto (Dimas Aditya), dan anak mereka, Saskia (Sharon Jovian), disambut penuh mesra oleh keluarga yang sekian lama menantikan kemunculan mereka.
Namun, di sebalik suasana penuh kehangatan itu, tersimpan sesuatu yang bakal mengubah kehidupan mereka selama-lamanya.
Kegembiraan keluarga tersebut tidak bertahan lama apabila Juminten mula memperlihatkan perubahan tingkah laku yang sukar dijelaskan. Perkara-perkara aneh mula berlaku, malah tindakannya semakin tidak terkawal sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang terdekat.
Lebih mengerikan, Juminten beberapa kali cuba membunuh suaminya sendiri, anaknya dan ahli keluarga lain. Perbuatan tersebut menimbulkan persoalan besar tentang keadaan dirinya, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa trauma daripada masa silam yang gelap mungkin menjadi punca kepada perubahan drastik itu.
Persoalannya, apakah yang sebenarnya berlaku kepada Juminten? Adakah tindakannya berpunca daripada luka emosi yang belum sembuh, atau ada rahsia lain yang masih tersembunyi di sebalik kepulangannya ke pulau tersebut?
Ketegangan bukan sahaja mengancam keselamatan Manto dan Saskia, malah mula membayangi seluruh penduduk pulau. Situasi yang pada awalnya kelihatan seperti masalah dalam sebuah keluarga akhirnya berkembang menjadi ancaman yang lebih besar, apabila orang sekeliling turut berdepan kemungkinan menjadi mangsa.
Menerusi jalan cerita yang sarat dengan misteri dan suspens, filem ini mengetengahkan sisi gelap trauma serta kesannya terhadap kehidupan seseorang dan orang di sekelilingnya. Watak Juminten menjadi tumpuan utama, dengan perubahan daripada seorang isteri dan ibu yang kembali ke pangkuan keluarga kepada individu yang tindakannya sendiri mencetuskan ketakutan.
Filem ini diterbitkan oleh Dedy Mercy menerusi Mercusuar Films dengan kerjasama Digital Frame Production. Dedy Mercy turut mengarahkan filem ini bersama Jonathan Ozoh, manakala skripnya ditulis oleh Alim Sudio.
Selain Meisya Amira, Dimas Aditya dan Sharon Jovian, barisan pelakon turut menampilkan Anne J. Coto dalam naskhah yang menggabungkan unsur drama keluarga, trauma dan kengerian psikologi.
Dengan rahsia masa silam yang perlahan-lahan membayangi kepulangan Juminten, penonton dibawa menyelami persoalan tentang apa yang tersembunyi di sebalik perubahan dirinya dan sejauh mana sebuah keluarga mampu bertahan apabila ancaman datang daripada orang yang paling mereka sayangi.
Apabila kepulangan yang dinanti-nantikan bertukar menjadi ancaman, mampukah keluarga Juminten merungkai misteri yang menghantui mereka sebelum segalanya terlambat?



Comments
Post a Comment